suria

Mak ayah buat prank ‘handphone baharu’ untuk anak bongsu, tapi terhenti separuh jalan sebab sebak lihat reaksinya

Pasangan ini buat prank kepada anak-anak mereka secara rahsia untuk melihat reaksi masing-masing.

BERBEZA dengan zaman dahulu, sesi persekolahan baharu bagi pelajar kini terpaksa dijalankan dengan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Maka, ada ibu bapa terpaksa berkongsi gajet seperti telefon pintar dan komputer riba mereka bagi melaksanakan proses pembelajaran anak-anak.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar boleh bawa telefon ke sekolah?

ARTIKEL BERKAITAN: Jika 'dirampas' anak-anak ketagih gajet pasti mengamuk... apa kata cuba aplikasi ini

Begitulah apa yang berlaku kepada Siti Nordiana Daud dan suaminya, Mohd Fauiza Mat Rifin, apabila terpaksa bersilih ganti menggunakan telefon pintar dengan dua anak mereka, Muhammad Riyadh Afham Haikal, 10, dan Muhammad Riyadh Danish yang berusia lapan tahun.

Jelas Siti Nordiana yang senang disapa Nana, telefon yang digunakan bagaimanapun sudah mengalami kerosakan kerana sering digunakan untuk urusan perniagaan dan sekolah.

Oleh itu, pasangan ini merancang kejutan untuk memberikan telefon baharu kepada dua anak lelakinya mereka secara rahsia untuk melihat reaksi masing-masing.

"Dulu anak-anak guna telefon saya dan suami untuk PdPR. Telefon saya yang anak sulung guna ni ada kerosakan sikit, sampaikan lag kadang-kadang. Mungkin sebab saya pun sering guna telefon tu untuk WhatsApp pelanggan yang nak beli kek lapis Sarawak yang saya jual.

"Jadi kami belikan dua buah telefon pintar baharu untuk anak-anak. Mula-mula nak buat surprise untuk dua beradik tu, tapi bila fikir balik si adik jenis manja dan tak pernah nak mengalah jadi kami rancang untuk prank adik. Phone baru abang kami sengaja letak atas meja supaya mudah dilihat. Jadi abang mudah jumpa dan perasan telefon tu. Abang memang seronok sangat sebab memang dari dulu dia nak telefon baru untuk mudahkan urusan PdPR.



Afham Haikal (kanan) merupakan abang kepada Danish (kiri).

"Nasib baik prank menjadi sebab selalunya adik memang akan cakap 'tak adil' dan memberontak kalau diuji, dilayan atau diberi apa-apa sedikit kurang daripada abang. Masa hari kejadian tu kami sangat sebak bila tengok abang happy tapi si adik sedih dan mencari phone kalau-kalau kami ada beli juga untuk dia. Sebenarnya nak buat lebih lama prank untuk adik, tapi tengok reaksi dia rasa tak sampai hati nak menyakat lama-lama," jelas Nana.

Bercerita lanjut mengenai pembelian dua telefon pintar itu, Nana berkata dia dan suami sebenarnya tidak mahu anak-anaknya merasakan diri mereka tersisih.

Malah, Nana yang berniaga sendiri ini turut mengakui bahawa sikap tidak adil dan membeza-bezakan anak bukanlah contoh sifat ibu bapa yang baik.



Wanita ini telah berumah tangga lebih 11 tahun dan memiliki dua anak.

"Reaksi adik yang bingung bermakna memang plan kami menjadi. Lagipun memang adik tak pernah minta phone baru, mungkin dia fikir kami tak beli untuk dia. Tapi biasalah anak-anak ada perasaan jealous tu ada walaupun sedikit. Kalau tengok video tu memang adik sangat terkejut sebab telefon baharu untuk dia pun ada.

"Sebagai ibu kalau dia minta lebih-lebih saya akan hold dulu daripada membeli sebab nak suruh mereka berfikir dan kami akan bagi nasihat dari segi kewangan, ambil pandangan macam mana kalau kita susah dapat tak beli benda tu. Lepas dah reda baru kami akan ajak mereka pergi beli apa yang dimahukan. Kami sebagai ibu bapa tak nak apa yang mereka mahu, terus dapat.

"Dari segi adil... memang kena adillah sebab ikutkan umur adik dan abang sekarang, mereka akan mencabar status kita sebagai ibu bapa dan sekali gus kami akan bertindak ikut kemampuan saja. Lagi pula untuk membezakan anak-anak bukan sifat yang baik untuk ibu bapa. Kami sering berfikir cara yang terbaik untuk mereka," jelasnya mengenai pemberian telefon pintar baharu itu.



Pasangan ini sentiasa berlaku adil kerana tidak mahu anak-anaknya merasakan diri mereka tersisih.

Menerusi perkongsian video di TikTok, rata-rata netizen memuji sikap kedua-dua ibu bapa yang sentiasa memikirkan keadilan buat anak-anak mereka.

Dalam pada itu, reaksi abang yang turut bergembira dengan hadiah yang diterima adiknya ini turut menjadi perhatian ramai di ruangan komen.

Tambah ibu yang sudah berumah tangga lebih 11 tahun ini, dia turut menyedari mengenai kebimbangan ibu bapa di zaman serba moden ini mengenai penggunaan telefon bimbit luar kawalan oleh kanak-kanak.



Kedua-dua anak Nana menerima hadiah dua buah telefon jenama yang sama.

"Pendapat saya mudah saja, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak sekarang memang tak dapat dipisahkan daripada telefon. Wajib ada untuk kerja-kerja PdPR sekolah dan sebagainya. Kalau dibiarkan mereka hanyut memang akan hanyut dalam dunia bermain gajet.

"Selepas dapat telefon kami bagi, ada beberapa syarat ditetapkan untuk dua beradik tu ikut. Sebagai contoh... ada telefon ni tapi kena buat segala kerja sekolah yang cikgu bagi, masa makan tak boleh main phone, masa nak tidur kena serah dekat kami. Alhamdulillah, setakat ni mereka patuh," jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain