Jika 'dirampas' anak-anak ketagih gajet pasti mengamuk... apa kata cuba aplikasi ini

Penggunaan gajet berlebihan boleh membuatkan anak-anak mengalami masalah ketagihan. Foto Facebook AFIZA AZIZ

GAJET bagaikan sudah tidak boleh dipisahkan dengan kehidupan kebanyakan kanak-kanak hari ini sehingga ada menjadi ketagih kerana terlalu banyak menghabiskan masa dengan telefon.

Malah ada juga yang akan mengamuk sekiranya telefon 'dirampas' daripada mereka sehingga akhirnya ibu bapa terpaksa beralah.

Banyak juga usaha dilakukan untuk menghentikan tabiat buruk itu malah baru-baru ini tular pasangan dari Johor meletakkan solekan berwarna hitam pada mata anak-anak sebagai 'prank' kesan bermain telefon tanpa henti.

Idea itu nampaknya menjadi apabila anak-anak pasangan itu enggan bermain dengan gajet lagi.

Berlainan pula dengan seorang dikenali sebagai Afiza Aziz yang memuat turun aplikasi yang akan menyekat penggunaan telefon mengikut waktu ditetapkan.

Aplikasi Family Link for Parents boleh membantu ibu bapa menghadkan penggunaan telefon dalam kalangan anak-anak.

Kata Afiza, dia memang tidak membenarkan anak-anaknya menggunakan telefon pada hari persekolahan dan hanya boleh digunakan pada Sabtu atau cuti umum.

Namun kata Afiza, dia mengehadkan penggunaan telefon itu pada hari cuti sehingga pukul 11 malam sahaja.

"Kecuali atas sebab-sebab tertentu yang dirasakan munasabah saya benarkan tetapi hari persekolahan memang saya tidak benarkan guna telefon.

"Atau pada hari mereka perlu keluar tanpa saya atau suami, saya akan berikan telefon tapi syaratnya, kena pulangkan semula sebaik sahaja mereka sampai ke rumah.

"Itu pun selalunya terlajak jugak. Bila mintak, jawapannya kejap, kejap. Bila ibu dah jadi 'hijau' barulah masing-masing kelam kabut nak bagi balik," katanya.

Sebagai langkah pencegahan, Afiza memberitahu dia menggunakan aplikasi Family Link for Parents yang dimuat turun ke telefonnya, manakala Family Link for Children & Teenagers untuk telefon anak-anaknya.

Afiza bersama suami dan anak-anak.

Kata Afiza, aplikasi itu sangat membantu kerana aplikasi itu akan block telefon anak-anak mengikut waktu yang ditetapkan.

Afiza turut berkongsi tip mengenai aplikasi itu kepada ibu bapa lain yang ingin mendisiplinkan anak-anak mereka.

1. Pergi ke Play Store dan cari Google Family Link for Parents. Install ikut arahan.

2. Pastikan telefon anak yang nak di link ada pada ibu bapa dan tahu emel yang mereka guna untuk log in Google beserta dengan password.

Kalau tidak ada password pastikan minta dengan anak-anak. Sebagai ibu bapa kita ada hak untuk tahu password setiap akaun yang mereka ada.

3. Pada telefon anak - buka Play Store dan install Google Family Link for Children & Teenagers, seterusnya emel dan password akaun anak diperlukan.

4. Bila dah siap install, boleh mula setting apa yang patut dan add bilangan akaun sekiranya ada lebih dari seorang anak atau telefon.

"Kelebihan aplikasi ini pada saya memudahkan untuk set masa penggunaan telefon anak-anak. Antaranya kurangkan penggunaan beberapa jam sehari, waktu penggunaan telefon dan mengenal pasti lokasi anak melalui GPS.

"Walaupun aplikasi ini tidak boleh mengawal sepenuhnya tapi sekurang-kurangnya dapatlah membantu sedikit sebanyak," katanya.

Gajet, Family Link for Children

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Sah! GRS menang majoriti mudah PRN Sabah

Ibu Chef Zam meninggal dunia akibat pneumonia