suria

Minat pelihara ikan... anda perlu tahu 5 perkara asas ini

Membela ikan bukan sekadar meletakkannya dalam akuarium.

MEMBELA ikan barangkali antara hobi yang memberi ketenangan kerana berbanding haiwan lain, ikan tidak sukar dijaga malah memberi banyak kelebihan seperti menceriakan suasana serta mengurangkan tekanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mencuci barang kegunaan harian memang melecehkan, jangan bimbang 'trick' ini memudahkan tugas anda!

Ikan sebenarnya mempunyai personaliti tersendiri dan adalah amat penting untuk mengetahui perkara asas sebelum memilih ikan sebagai hobi anda.

1. Pilih spesis yang tahan lasak

Sudah tentu perkara utama tentang hobi ini adalah mengenai pemilihan spesis ikan yang ingin dipelihara. Sebaiknya jangan terburu-buru, banyak bertanya tentang jenis yang diminati sebelum membeli.

Bagi yang pertama kali hendak membela ikan, digalakkan memilih spesis yang tahan lasak seperti Tiger Barb, Congo Tetra, Rosy Fin Tetra dan sebagainya.

2. Pilih saiz akuarium yang sesuai

Apabila anda sudah tahu jenis ikan yang ingin dibela, anda perlu menentukan saiz akuarium. Saiz berukuran 19 liter adalah paling ideal buat permulaan untuk ikan bersaiz kecil.

Sekiranya anda memilih untuk memelihara jenis yang lebih besar dan pelbagai, sebaiknya pilih akuarium 75 liter hingga 100 liter agar dapat memberi lebih ruang kepada ikan.

Memilih akuarium juga perlu dibuat dengan teliti bersesuaian dengan jenis dan saiz ikan.

3. Penapis dan aksesori akuarium

Penapis air akuarium sangat penting bukan sahaja untuk kebersihan, malah dalam memastikan ikan hidup lebih lama tanpa kehadiran bakteria.

Bagi yang tiada pengalaman, semasa memilih penapis air pastikan kapasitinya sesuai dengan akuarium anda selain mengambil kira aksesori untuk menghias akuarium anda.

Ini kerana sesetengah ikan lebih suka berenang bebas dan ada pula yang lebih selesa jika dapat menyorok di sebalik dedaun atau pun batu.

4. Air untuk akuarium

Aspek paling penting ketika membela ikan adalah penjagaan air akuarium. Ia perlu dikekalkan dalam keadaan bersih dan bebas daripada sebarang bakteria.

Adalah disarankan untuk memasang parameter bagi mengesan kandungan ammonia dan nitrat setiap minggu apabila menukar air akuarium.

Bagaimanapun masih ada yang tidak tahu bahawa air tidak perlu ditukar sepenuhnya setiap minggu kerana ia akan memusnahkan bakteria baik yang terdapat dalam air, sebaliknya disarankan hanya menukar 20 peratus sahaja air setiap minggu.

5. Penyelengaraan

Selain menukar air secara berkala, ada beberapa penyelengaraan yang anda perlu ambil tahu bagi memastikan ikan sentiasa berada dalam keadaan sihat.

Pastikan ikan diberi makan setiap hari selain memastikan alatan penapis berfungsi serta suhu air sesuai dengan ikan.

Ikan, Akuarium, Hobi

Artikel Lain