suria

Pelajar boleh bawa telefon ke sekolah?

Pakar pendidikan saran guna telefon bimbit sebagai peranti pengajaran.

BENARKAN telefon bimbit di sekolah tetapi pastikan ada garis panduan ketat mengenai penggunaannya.

Barisan pendidik dan ibu bapa berkata sudah tiba masanya untuk membenarkan pelajar membawa peranti mereka ke bilik darjah tetapi mesti ada peraturan untuk mengelakkan kebenaran tersebut disalahgunakan.

Kementerian pada selasa menjalankan satu tinjauan secara dalam talian untuk mendapatkan pandangan masyarakat mengenai sama ada pelajar perlu dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah.

Hasil tinjauan yang berakhir pada 7 Disember ini akan digunakan kementerian untuk merancang dan memutuskan perkara tersebut.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Untuk Pendidikan (Page), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata telefon bimbit perlu dijadikan sebagai peranti pembelajaran.

Pembelajaran dalam talian perlu sebagai tambahan kepada sesi pembelajaran sekarang, katanya.

Telefon bimbit harus digalakkan di sekolah, lebih-lebih lagi sekarang kerana pelajar selesa dengan pembelajaran dalam talian, tambahnya.

“Tetapi mesti ada garis panduan untuk memastikan pelajar berdisiplin dan bertanggungjawab dalam menggunakan telefon pintar di sekolah,” katanya sambil menambah bahawa setiap sekolah harus diberi kata putus sama ada membenarkan atau tidak telefon bimbit berdasarkan latar belakang ekonomi pelajarnya dan keupayaannya menjalankan pembelajaran dalam talian.

Pakar pendidikan dan bekas Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Datuk N. Siva Subramaniam berkata kementerian perlu mengemukakan garis panduan yang holistik.

“Seiring dengan perkembangan teknologi, terdapat keperluan untuk menggunakan telefon bimbit dalam sistem pendidikan. Ia tidak dapat dielakkan.

“Kementerian perlu memastikan kebolehcapaian untuk semua pelajar termasuk pelajar B40 jika keputusan dibuat untuk membenarkan telefon bimbit di sekolah,” katanya.

Pengerusi PIBG SMK Cochrane dan SMK (P) Bandaraya Faizal Mohammad Arshad berkata perlu ada pertimbangan teliti dan hubungan rapat antara kementerian, ibu bapa, masyarakat, pentadbir sekolah dan guru sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Membenarkan telefon bimbit akan memudahkan ibu bapa berkomunikasi dengan anak-anak mereka setelah sekolah dibuka semula.

"Walaupun pelajar mungkin menyalahgunakan peranti mereka dan menyebabkan gangguan semasa pelajaran, peranti itu bermanfaat jika digunakan untuk memudahkan pembelajaran," katanya.

Naib Pengerusi PIBG SJK (C) Kota Emerald, Rawang, Ian Chooi berkata telefon bimbit boleh digunakan untuk mengakses maklumat dalam talian untuk pengajian dan ia juga boleh digunakan oleh ibu bapa untuk berkomunikasi dengan anak-anak terutama ketika kecemasan.

Beliau berkata peralihan pengajaran dan pembelajaran (PdPR) di rumah yang diperkenalkan semasa pandemik tahun lepas menyebabkan peranti elektronik seperti telefon bimbit menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan.

“Pihak sekolah mesti memberi perhatian lebih untuk menguruskan penggunaan telefon bimbit di kawasan sekolah jika tidak ia boleh mengganggu sesi pembelajaran,” katanya. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

telefon bimbit, sekolah, tinjauan, KPM

Artikel Lain