suria

Kecoh sotong goreng 2 ekor RM100, KPDNHEP beri notis kepada pengusaha restoran

Resit makanan mengenai harga sotong goreng yang tular pada Rabu.

KECOH sotong goreng dijual pada harga RM100 bagi dua ekor di sebuah restoran nasi kandar terkemuka di Pulau Pinang.

Susulan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan notis pengesahan maklumat barangan terhadap pengusaha restoran tersebut.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, notis dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Menurutnya, notis itu diberi selepas penguat kuasa agensi berkenaan menjalankan pemeriksaan ke atas premis tesebut di di Lebuh Campbell di Georgetown selepas tular dakwaan pelanggan mengenai sotong goreng yang dijual pada harga tidak munasabah.

"Semasa pemeriksaan pegawai penguat kuasa telah merakam percakapan peniaga mengenai isu yang tular bagi membantu siasatan lanjut.

"Pengusaha dikehendaki memberikan maklum balas notis dalam tempoh dua hari bekerja atau sehingga 26 November ini kepada pejabat Cawangan Timur Laut," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Ridzuan berkata, sekiranya maklum balas yang diminta gagal dikemukakan, pengusaha restoran boleh dikenakan tindakan mengikut AKHAP.

Jelasnya, kegagalan mematuhi arahan itu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 21(5) dan boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 57 AKHAP 2011.

Pada Rabu, tular di media sosial memaparkan resit menu makanan di restoran terbabit yang didakwa mengenakan harga tidak munasabah.

Salinan resit berkenaan menunjukkan harga bagi dua ekor sotong goreng ialah RM100, manakala sepinggan nasi beriani kosong berharga RM4.50, selain nasi putih (RM1.50), dua biji telur masin (RM2), papadom (RM3) dan timun (RM2).

Sementara itu, memetik laporan Sinar Harian, pengarah restoran terbabit, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata, harga kesemua makanan dijual di restoran itu disenaraikan dengan jelas termasuk hidangan sotong yang dijual antara RM10 dan RM150.

"Saya yang mengambil pesanan individu ini dan pasangannya. Mereka telah membungkus sotong goreng untuk dibawa pulang selain nasi beriani, nasi putih, telur masin, sebungkus papadom dan hidangan timun.

"Sotong goreng 'apollo' ini tidak murah. Kami sendiri membelinya pada harga RM35 hingga lebih RM40 sekilogram, malah harga di pasaran sentiasa berubah-ubah," jelas beliau.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain