suria

Sayu lihat kedai mak ayah di Langkawi terjejas ketika PKP, anak sulung bangkit jual kerepek pisang... tak sangka bisnes meletup selepas jadi abang sado!

Megat akui perniagaan kerepek dapat membantu keluarganya di Langkawi yang terjejas ketika PKP.

UNTUNG rugi, jatuh bangun merupakan lumrah biasa dalam berniaga.

Menjadi saksi kecekalan ibu bapanya mengusahakan kedai baju di Langkawi, Kedah, sejak 28 tahun lalu turut memberi inspirasi kepada jejaka ini untuk menceburi bidang sama.

Biarpun sudah mempunyai pekerjaan hakiki, Megat Muhamad Shafiq Syarkawi, 28, turut mengambil inisiatif memulakan perniagaan kerepek pisang demi mencari pendapatan sampingan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kurus sampai digelar penagih, lagi parah ditinggalkan kekasih... lihatlah abang sekarang dah sado!

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar ‘badan tak lawa’ nyaris tinggalkan gim sebab ‘gerun’ tengok ramai bro sado, tak sangka kini dah sama level dengan mereka

Menurut penjawat awam itu, dia memulakan bisnes berkenaan sejak pertengahan tahun lalu, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa di negara ini.

"Bisnes kerepek pisang bermula ketika PKP. Saya cuba cari inisiatif sendiri selain makan gaji. Mak ayah saya pun berniaga juga, tapi kedai baju mereka terjejas ketika PKP.

"Jadi mereka cadangkan saya buat bisnes kecil-kecilan. Kebetulan saya pun minat berniaga. Jadi saya mulakan bisnes kerepak dengan pertolongan mak ayah.

"Alhamdulillah. Walaupun sibuk berniaga, ia tak ganggu jadual kerja saya. Biasanya persiapan dibuat ketika hujung minggu, jadi saya boleh buat penghantaran selepas habis waktu kerja," ujarnya kepada mStar.

Kata Megat, usaha kecilnya pada waktu itu ternyata membuahkan hasil apabila ia sedikit-sebanyak dapat membantu kelangsungan hidup keluarganya.

megat3

Megat sebelum ini pernah memiliki berat badan sehingga 90 kg.

"Waktu PKP memang terkesan, ada macam-macam nak kena bayar. Bayar bil, kereta saya, kereta keluarga lagi. Dengan berniaga kecil-kecilan, bolehlah simpan sikit untuk bantu keluarga.

"Kalau dengan gaji saya semata-mata, mungkin kena ikat perut. Alhamdulillah, kerepek pisang dapat cover sikit. Saya pun tak ambil sangat keuntungan, saya bagi kepada ibu untuk simpan. Tak kisah dia nak guna untuk apa pun.

"Apabila dah ada minat dalam bidang tu, untung tak berapa banyak pun dah buat saya gembira," kata anak sulung daripada tiga beradik itu,

Bercerita lanjut, Megat turut mengimbas kata-kata seorang rakannya yang turut menjadi kekuatan utama untuk meneruskan perniagaan berkenaan.

Menurut Megat yang meminati bidang kecergasan, dia sebelum ini berhadapan masalah berat badan dan menjadikan teguran rakannya itu sebagai batu loncatan untuk membuktikan potensi dirinya.

Pada saya, fitness juga bukan sekadar minat, tapi ia merupakan lifestyle.

MEGAT

"Kawan saya pernah kata... hang boleh ke meniaga kerepak? Ada ke orang nak beli? Hang gemuk, tak ada rupa.

"Dia cakap dalam nada bergurau, tapi saya ambil positif dan cuba untuk buktikan kata-katanya.

"Pada waktu itu, berat saya 90 kilogram (kg). Saya usaha turunkan berat badan ketika PKP, gim pun tutup. Saya banyak buat home work out. Sekarang berat saya 68 kg.

"Saya pun akui apa yang dia kata. Tengok bisnes sekarang, kalau ada rupa dan ada platform, lagi mudah orang nak kenal kita.

megat2

Kedai ibu bapa Megat di Langkawi.

"Pada saya, fitness juga bukan sekadar minat, tapi ia merupakan lifestyle. Ketika itu, berat badan memberi masalah kepada saya. Saya jadi kurang yakin, nak bekerja pun tak selesa," ujarnya lagi.

Menurut jejaka yang mesra disapa Megat itu, bisnes itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila ia terpaksa dihentikan buat sementara sekitar November tahun lalu.

"Masa PKP fasa kedua tahun lepas, sambutan memang kurang. Kebanyakan orang tak membeli. Jadi saya ambil keputusan untuk berhenti seketika.

megat4

Kata Megat, perniagaan kerepek itu akan kembali beroperasi tidak lama lagi.

"Saya juga berhenti berniaga kerana pisang tak dapat dibawa masuk dari Thailand pada waktu itu. InsyaAllah saya akan mulakan balik perniagaan ini tak lama lagi," ujarnya.

Dalam pada itu, Megat juga lega melihat situasi ekonomi di Langkawi yang kembali bernafas, sekaligus membuka ruang untuk ibu bapanya serta penduduk pulau itu meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Sekarang banyak sektor dah dibuka di Langkawi. Seronok tengok, tapi masih kena berhati-hati sebab Covid-19 belum habis.

"Selain kedai mak ayah, saya juga tengok peniaga lain dah kembali beroperasi. Sejujurnya sedih tengok situasi kawan-kawan masa PKP sebelum ini kerana banyak kedai ditutup," ujar anak jati pulau peranginan terkenal itu lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain