suria

Sopan dengan pesakit, luar waktu kerja jururawat ini ‘pukul orang’ di gelanggang MMA - “Kami bukanlah lembut seperti disangka”

Foto kiri Syahiran bertugas sebagai jururawat, foto kanan Syahiran bertarung dalam kejohanan MMA.

GARA-gara dunia kejururawatan dimonopoli wanita, jururawat lelaki dilabel lembut oleh sesetengah pihak, malah ada antara mereka yang terpaksa menghadap cemuhan segelintir masyarakat dengan gelaran pondan.

Namun, bagi seorang pemuda yang menjadikan jururawat sebagai kerjaya ini, dia bukanlah seorang lelaki lembut, sebaliknya mempunyai kekuatan dalam seni bela diri campuran (MMA).

Menerusi video yang dikongsi di aplikasi TikTok, jejaka berkenaan meraih perhatian kerana ketangkasannya menundukkan pihak lawan di gelanggang.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu di awan biru, kini bergelar polis... pernah buat 2 kerja lain, bekas pramugara reda plan asal balik kampung tak menjadi - "Pernah ceramah remaja mencuri sampai menangis"

ARTIKEL BERKAITAN: Lupakan hasrat jadi cikgu, jejaka ini yakin dengan kerjaya pilihan mak ayah - "Tak jangka kena cuci najis tapi saya OK"

Pemuda itu, Muhammad Syahiran Osman berkata, dia selesa menggalas tugas sebagai jururawat di sebuah hospital swasta di Melaka sejak tiga tahun lalu.

Lebih mesra disapa Syahiran, dia mengakui terdapat stigma segelintir masyarakat bahawa jururawat lelaki itu mempunyai perwatakan dan jiwa yang lembut.

"Tanggapan segelintir masyarakat kena lembut baru boleh jadi nurse. Tugas jururawat perlu ada soft skill (kemahiran insaniah), tapi tak bermakna mereka lembut.

"Kena ada kesopanan ketika menjalankan tugas. Lebih-lebih lagi sebagai jururawat dewan bedah, lagi kena soft untuk mengendalikan pesakit," katanya kepada mStar.

jururawat MMA 3

Syahiran bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital swasta.

Dalam sisi lain, Syahiran yang berusia 24 tahun juga berpengalaman sebagai peserta dalam kejohanan MMA sejak 2015.

"Saya menyukai sukan ekstrem sejak sekolah menengah seperti gusti lengan. Selain itu saya juga melakukan aktiviti luar seperti mendaki, berbasikal dan sukan bar calisthenics," ujarnya yang berasal dari Bukit Rambai, Melaka.

Antara pencapaiannya adalah Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Campuran Malaysia (MIMMA) pada 2017 untuk terpilih memasuki liga seterusnya dan kejohanan MMA 'Ultimate Beatdown' Malaysia vs Singapura pada 2018 dan menduduki tempat kedua.

jururawat MMA 6

Aksi Syahiran (kiri) di gelanggang MMA.

Syahiran yang berketinggian 176 sentimeter (sm) juga merangkul tempat kedua bagi kategori 85 kilogram (kg) junior dalam pertandingan gusti lengan antarabangsa 2018.

"Pembabitan saya dalam MMA bermula selepas rajin bersenam di gim. Dulu saya gemuk dengan berat badan 95kg, dah masuk gim berat turun kepada 75kg.

Tanggapan segelintir masyarakat kena lembut baru boleh jadi nurse. Tugas jururawat perlu ada soft skill, tapi tak bermakna mereka lembut

MUHAMMAD SYAHIRAN OSMAN

"Bila badan jadi lebih cantik, saya mula menceburkan diri dalam MMA. Satu kepuasan menyertai sukan MMA, dapat hilangkan stres apabila dapat pukul orang.

"Pertarungan hanya berlaku dalam gelanggang je. Dah habis bertarung, saya dan pihak lawan lepak sama-sama macam kawan-kawan," kata ketiga daripada empat beradik itu.

jururawat MMA 7

Syahiran (tengah) bersama rakan-rakan di gim.

Meskipun terdapat perbezaan antara bidang kejururawatan dan sukan ekstrem MMA yang diceburinya, lepasan graduan Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Oriental Nilam di Melaka itu menyifatkan kedua-duanya mengajarnya untuk berfikiran lebih waras dalam membuat keputusan.

"Bila kita tengah lawan, apa kita kena buat kalau sebelum dan selepas pukul orang. Kena bayangkan apabila kita susah, fikirkan sebaik-baiknya sebelum bertindak sesuatu.

"Begitu juga dalam operasi pembedahan dan berurusan dengan doktor. Dalam keadaan sangat tegang di dewan bedah, kita perlu berfikiran waras untuk membuat keputusan," katanya.

jururawat MMA 5

Syahiran (tengah) bersama ibu (kanan) dan bapa pada majlis konveksyen kolejnya.

Bagaimanapun pada masa ini, Syahiran tidak aktif dalam MMA berikutan pandemik kerana sukan ekstrem itu melibatkan sentuhan, sambil menambah tumpuannya kini diberikan sepenuhnya dalam kerjaya.

"Perkongsian video saya di TikTok sudah cukup menjelaskan untuk menangkis stigma masyarakat terhadap jururawat lelaki. Kami bukanlah lembut seperti yang disangka.

"Selain bertanggungjawab untuk menyelamatkan orang, saya juga mempunyai hasrat untuk membuka rumah penjagaan orang tua pada masa akan datang," katanya yang turut berpengalaman sebagai jururawat sambilan menjaga pesakit warga emas.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain