suria

Dulu di awan biru, kini bergelar polis... pernah buat 2 kerja lain, bekas pramugara reda plan asal balik kampung tak menjadi – “Pernah ceramah remaja mencuri sampai menangis”

Transformasi Amer yang sebelum ini bergelar pramugara (kiri, tengah) dan kini berkhidmat sebagai anggota polis.

SIAPA sangka seorang pemuda yang dahulunya bertugas di awan biru kini bertukar kerjaya sebagai anggota keselamatan negara.

"Wahh luar biasa," komen seorang netizen menerusi sebuah video yang dikongsikan seorang pemuda di aplikasi TikTok.

Perkongsiannya yang menunjukkan dirinya bergelar sebagai pramugara dan kemudiannya membuat keputusan untuk menjadi anggota polis mencuri perhatian.

ARTIKEL BERKAITAN: Bermula jadi tukang isi minyak, kerani bawa motor buruk hingga bergelar Inspektor... Isteri terima seadanya walau PJJ lebih 3 tahun - "Ada hikmah kena 'reject' 2 kali"

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu di awan biru, pramugara tak mahu terus 'terduduk' dibuang kerja! 2 hari berkurung, kemudian buka spa di rumah - "Duduk saja bukan dapat duit"

Pemuda berkenaan, Ahmad Amer Md Isa berkata, dia berkhidmat sebagai pramugara selama empat tahun di dua syarikat penerbangan yang berpangkalan di Arab Saudi sejak 2014.



Berpengalaman sebagai pramugara selama empat tahun.

Berkongsi pengalaman, anak muda berusia 28 tahun itu memberitahu, minatnya dalam bidang penerbangan kerana suka mengembara dan mengenali budaya di negara-negara lain.

"Salah satu sebab saya nak berhenti kerja dan pulang ke Malaysia adalah untuk lebih dekat dengan teman wanita (kini bekas kekasih) dan merancang untuk berkahwin.

"Kawan-kawan terkejut dan bantah dengan hasrat saya. Terfikir juga, patutkah saya berhenti kerana seorang perempuan. Tapi dalam hati, saya kata apa pun yang jadi, saya reda," katanya kepada mStar.



Selain bekerja di kedai serbaneka, Amer turut mencari rezeki sebagai penghantar makanan.

Lebih mesra disapa Amer, dia kembali ke tanah air selepas nekad untuk berhenti kerja di Arab Saudi pada akhir 2018 dan mengakui keputusannya itu memberikan cabaran buatnya.

"Bulan pertama saya menganggur. Masuk bulan kedua, saya bekerja di sebuah kedai serbaneka. Bila ada masa terluang atau hari cuti, saya jadi rider hantar makanan.

"Saya terpaksa buat dua kerja sebab gaji di kedai serbaneka tak banyak, kira-kira RM1,200 sebulan. Purata gaji termasuk elaun sebagai pramugara di Arab Saudi antara RM6,000 hingga RM7,000 sebulan, malah boleh mencecah RM13,000 bila musim Haji," ujarnya.



Menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda secara PJJ.

Bagaimanapun, jodoh anak kelahiran Klang, Selangor itu bersama gadis pilihannya tidak berpanjangan apabila hanya bertahan kira-kira tiga bulan selepas pulang ke tanah air.

"Saya ada juga memohon jawatan sebagai pramugara di sebuah syarikat penerbangan tempatan, tapi nasib belum menyebelahi saya. Kira-kira setahun juga saya menunggu.

Siapa kata kalau nak jadi polis kena garang? Apa-apa pekerjaan pun kita kena gunakan psikologi untuk mengendalikan masyarakat termasuk penjenayah

AHMAD AMER MD ISA

"Dalam tempoh buat dua kerja tu, saya menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam di Selangor secara PJJ (Pendidikan Jarak Jauh)," katanya yang sebelum itu berkelulusan diploma dan bakal menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda akhir tahun ini.

Mengulas lanjut, hasratnya untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi membolehkannya untuk memperoleh pekerjaan dan pangkat setaraf kelulusan.



Bersama rakan-rakan dan pelatih di Pulapol.

Di sebalik kerjayanya sebelum ini sebagai pramugara, anak kedua daripada tiga beradik itu sebenarnya merupakan seorang yang berjiwa kental dan gemar melakukan aktiviti lasak.

"Saya memang lasak sejak kecil. Kadang-kadang tu masa bertugas sebagai pramugara dalam pesawat, saya pernah terfikir alangkah seronoknya kalau suatu hari nanti saya dapat berada dalam pesawat pasukan keselamatan untuk melakukan terjunan udara.

"Dalam keluarga saya, hanya kedua-dua arwah datuk sebelah mak dan ayah yang berjawatan polis. Semangat dan kesungguhan mereka mendorong saya untuk meneruskan legasi sebagai polis," katanya yang menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur, akhir 2019.



Amer kini menyambung legasi kedua-dua arwah datuknya sebagai anggota polis.

Berpangkat konstabel, Amer berkata, walaupun kini bergelar anggota polis, keperibadiannya dalam menjalankan tugas semasa menjadi pramugara tidak jauh bezanya.

"Siapa kata kalau nak jadi polis kena garang? Apa-apa pekerjaan pun kita kena gunakan psikologi untuk mengendalikan masyarakat termasuk penjenayah.

"Sebagai polis, kita boleh saja bercakap baik-baik dan beri nasihat. Saya masih ingat baru-baru ini saya pernah memberi ceramah kepada seorang remaja berusia 17 tahun yang ditahan kerana kesalahan mencuri.

"Tanpa memerlukan kekerasan, ceramah tu membuatkan dia sampai menangis. Polis bukan sahaja menjaga keselamatan, tetapi turut berperanan mendidik masyarakat," katanya yang mengimpikan untuk bergelar anggota polis berpangkat tinggi pada masa akan datang.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain