suria

Gara-gara foto pemuda Banting kahwini ‘Angelina Jolie’, Hun Haqeem pula terkena tempias – “Orang Arab kata iras pelakon Korea”

Izzu (kiri) dikatakan iras Hun Haqeem (kanan) gara-gara fotonya perkahwinannya (gambar kecil).

"TAHNIAH @hunhaqeem," tulis seorang netizen di ruangan komen di akaun Instagram rasmi mStar yang memaparkan foto pasangan pengantin.

Bagaimanapun, pengantin lelaki berkenaan bukanlah pelakon kacak, Hun Haqeem yang popular dengan watak 'Jekfer' dalam drama Kampung People.

Sebaliknya, pemuda yang dimaksudkan itu merupakan seorang lelaki rakyat Malaysia yang menjadi perhatian menerusi video-video bersama isterinya warga Belarus, di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Jodoh 'tunggu' di kafe! Pemuda kembara solo ke Eropah tawan hati 'Angelina Jolie', 2 kali tiket flight batal akhirnya kahwin selepas setahun video call - "Saya sebut KLCC"

ARTIKEL BERKAITAN: Ini 5 fakta menarik tentang Hun Haqeem, pelakon kacak watak 'Jekfer' dalam Kampung People

Menerusi segmen viral di mStar pada Selasa, lelaki berkenaan, Muizzuddin Mahmud berkongsi pengalaman mengenali isterinya di sebuah kafe di Poland, pada akhir 2019 sewaktu melakukan pengembaraan solo secara backpack ke beberapa negara di Eropah.



Hun Haqeem (kanan) dan Izzu. foto instagram hunhaqeem / izzuvale

Ruang komen posting membabitkan artikel itu dihujani dengan nama Hun Haqeem termasuk membuat pautan (tagging) akaun Instagram milik pelakon itu yang kini membintangi drama bersiri Angkara Cinta yang bersiaran di saluran Astro Prima sejak November tahun lalu.

"Ingatkan Hun Haqeem tadi. Muka lelaki itu macam muka Hun," komen seorang netizen.

"Baca komen semuanya akan tulis Hun Haqeem," ujar netizen lain.



Antara komen netizen.

Lebih mesra disapa Izzu, pemuda berusia 31 tahun itu terkejut dengan komen-komen netizen yang menyamakan wajahnya dengan pelakon drama tersebut.

"Saya baca komen-komen kata macam Hun Haqeem. Jujurnya, saya tak kenal siapa dia sebab saya jarang tengok TV dan drama Melayu kerana saya lebih banyak menonton di YouTube.

"Saya pun buat carian di Google untuk tengok siapa Hun Haqeem termasuk akaun Instagam dia yang netizen tag, nak tengok adakah betul saya iras dengan dia," katanya kepada mStar.

Izzu berkata, dia sebelum ini turut menerima komen-komen yang sama membabitkan dirinya dengan pelakon itu menerusi perkongsian video-video bersama isteri di TikTok.



Izzu ketika mengembara solo ke Eropah. foto instagram izzuvale

"Saya ada beritahu isteri pasal hal ni dan minta dia check di Internet, tapi dia katakan tak ada. Masa tengok komen-komen di akaun Instagram pun saya masih tertanya-tanya.

"Bila ada staf saya turut beritahu ada sedikit persamaan terutama di bahagian mata, saya pun tengok semula... ya, mungkin sama tu di bahagian mata saja," ujarnya yang merupakan pengurus di sebuah gim di Kuala Lumpur.

Bila ada staf turut beritahu ada sedikit persamaan, saya pun tengok semula... ya, mungkin sama tu di bahagian mata saja

MUIZZUDDIN MAHMUD

Dalam pada itu, Izzu yang mendirikan rumah tangga pada 12 Januari lalu berkongsi pengalamannya ketika berkunjung ke Barcelona, Sepanyol dalam kembara solonya ke Eropah.

"Ada orang Arab dalam grup backpackers dari Timur Tengah yang saya jumpa di Barcelona beritahu wajah saya macam seorang pelakon drama di Korea Selatan.

"Dia ada beritahu nama pelakon tu, tapi saya dah tak ingat nama. Saya sempat check di Internet masa tu dan persamaannya bagi saya mungkin pada mata," ujar anak kelahiran Banting, Selangor itu sambil menambah nenek di sebelah ibunya berdarah kacukan Cina.



Pertemuan pertama Izzu (kanan) dan isteri di Poland.

Walaupun wajahnya dikatakan iras Hun Haqeem mahupun pelakon drama Korea, Izzu tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang serius dan menghormati pandangan tersebut.

"Sekarang baru saya tahu siapa Hun Haqeem. Sebelum ni saya kenal pelakon tempatan seperti Farid Kamil dan Zul Ariffin kerana suka menonton drama dan filem aksi," ujarnya.

Terdahulu, Izzu berkongsi kisah perkenalannya bersama isteri sambil menambah bahawa dia tertarik dengan mata wanita yang juga berusia 31 tahun berwarna biru, turut dikatakan mempunyai sedikit persamaan dengan pelakon Hollywood, Angelina Jolie.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain