suria

Juruwang sarat hamil nyaris ditipu warga asing, selamba ‘sound’ scammer... pernah melayang RM100 sebab trick sama - “Saya bukan malas...”

Rakaman CCTV memaparkan Ain didatangi pelanggan tersebut pada 15 Oktober lalu.

NAMPAK mudah, namun pekerjaan sebagai juruwang sebenarnya mempunyai cabaran yang tersendiri.

Terbaharu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan seorang juruwang wanita di sebuah restoran nyaris ditipu pelanggan lelaki warga asing.

Menurut Nurain Fitri Abdullah, 21, yang juga juruwang di MRH Burger's di Port Dickson, Negeri Sembilan, kejadian tersebut berlaku pada 15 Oktober lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Scammer tak hirau bulan mulia! Pelajar akui terpedaya tutur kata sis penjual kamera online - “Cara dia bercakap pun baik...”

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ini dedah cara elak jadi mangsa ‘scam’ minta simpati sasar rakyat Malaysia di Tanah Suci

Mesra disapa Ain, dia berkata pelanggan itu cuba mengelirukannya ketika membuat pembayaran sebotol air mineral, namun taktik itu tidak menjadi kerana dia pernah ditipu dengan modus operandi sama, tahun lalu.

"Kejadian berlaku pada 2.39 petang. Lelaki dipercayai warga Pakistan itu datang nak beli air mineral. Selepas itu, dia nak batalkan pembelian kerana dia nak air mineral botol besar.

"Lepas tu saya maklumkan tiada air botol besar, kemudian dia nak air botol kecil pula. Dia main order, cancel, order, cancel. Pada masa sama, dia dah bagi wang kertas RM50.

"Saya dah pernah kena trick macam ni tahun lepas. Tengok gaya pun macam orang sama. Dia sengaja buat saya jadi kalut untuk dapatkan semula wang RM50 serta wang baki pembelian yang dibatalkan sebelum itu.

"Saya memang peka sebab dah pernah kena. Tahun lepas rugi RM100 kerana kejadian itu," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Imbas Ain, dia yang ketika itu sedang duduk disebalik kaunter terus berdiri setelah menyedari muslihat pelanggan tersebut.

ain2

Ain sudah tiga tahun bekerja sebagai juruwang.

Malah, Ain turut menegur lelaki itu sebelum dia berlalu keluar tanpa membuat sebarang pembelian.

"Saya memang seorang yang tegas. Tapi ketika itu, semuanya berlaku secara spontan. Saya macam dah boleh syak sebab sebelum ni pun macam tu juga. Jadi saya terus berdiri dan tegur.

"Lepas tegur, terus dia berlalu pergi. Kalau dia tak salah dan bukan scammer, mesti dia akan pertahankan diri selepas saya cakap dia scammer.

Nampak dalam video macam saya malas nak layan pelanggan. Saya sebenarnya hamil sembilan bulan.

AIN

"Dia datang naik Perodua Axia. Selain tempat kerja saya, kedai haiwan dan kedai perabot berdekatan pun turut terkena kejadian sama.

"Saya syak mereka berkumpulan. Ada yang sepasang suami-isteri, tapi datang naik kereta berbeza. Saya juga terus maklumkan kepada bos untuk semak CCTV selepas kejadian itu.

"Bos saya kata memang nampak macam scammer, macam kes yang berlaku sebelum ini," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Ain turut memberi penjelasan kenapa dia duduk di kerusi disebalik kaunter ketika bekerja sebagai juruwang.

Ujar Ain, dia bukannya seorang yang pemalas, sebaliknya sedang menunggu hari untuk melahirkan anak.

ain3

Rakaman CCTV kejadian di restoran ini tular di media sosial.

"Nampak dalam video macam saya malas nak layan pelanggan. Saya sebenarnya hamil sembilan bulan, dijangka bersalin 13 November ini. Saya pun dah cuti sejak Isnin lepas," jelasnya.

Dalam pada itu, Ain turut terharu apabila sikap tegasnya mematahkan muslihat pelanggan tersebut menerima pujian netizen di media sosial.

"Saya tak jangka ramai orang akan tengok video itu. Saya terharu sebab ramai yang doakan saya walaupun tak kenal antara satu sama lain. Rasa macam dihargai.

"Pada waktu itu, saya tak fikir pun kalau dia ada bawa senjata dan sebagainya. Cuma saya memang jenis lantang, sebab tu saya tegur apabila menyedari trick yang cuba dilakukan.

"Nasihat saya kepada juruwang lain, jangan kelam-kabut. Manusia ada banyak jenis, kita kena pandai baca," ujarnya yang sudah tiga tahun bergelar sebagai juruwang.

Setakat ini, video CCTV itu meraih hampir 500,000 tontonan di TikTok.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain