Pemuda ini dedah cara elak jadi mangsa ‘scam’ minta simpati sasar rakyat Malaysia di Tanah Suci

Makkah adalah tempat suci bagi orang Islam namun terdapat juga pihak yang mengambil kesempatan.

RAKYAT Malaysia kebanyakannya cukup pemurah sehinggakan sering menjadi sasaran pelbagai penipuan yang ada di antaranya mencecah jutaan ringgit.

Namun begitu bukan sahaja rakyat kita menjadi sasaran di dalam negara sendiri tetapi juga ketika menunaikan ibadah Haji atau pun Umrah di Makkah.

Seperti dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook iaitu Mohd Izzat Helmy Yahya, sindiket penipuan di Tanah Suci kebanyakannya mensasarkan orang Malaysia menerusi cara meminta simpati.

ARTIKEL BERKAITAN: 4 ancaman untuk orang berhutang, kata-katanya juga dusta

ARTIKEL BERKAITAN: Jika ada 4 tanda ini... Benarlah anda orang yang mencintai Rasulullah

Kata Mohd Izzat, kebanyakan golongan yang terlibat di dalam sindiket ini terdiri daripada rakyat Pakistan atau India yang berpura-pura dalam kesusahan dan akan menyapa rakyat Malaysia untuk meminta wang.

Rakyat kita menjadi sasaran kerana mudah bersimpati dengan kisah yang diceritakan selain mereka yang melakukan penipuan ini akan mengaku kononnya dari Palestin untuk mendapat lebih simpati.

Rakyat Malaysia sering menjadi sasaran sindiket 'simpati' ini kerana rata-rata bersikap pemurah. 

Justeru, bagi mengelak daripada terpedaya dengan penipuan itu, Mohd Izzat turut menyenaraikan beberapa langkah untuk mengesan sindiket ini;

1. Individu ini wajahnya seperti orang Pakistan dan India. Mereka akan menghampiri mangsa lalu bertanya - You from Malaysia? You can speak English? (Anda dari Malaysia? Anda boleh berbahasa Inggeris?)

2. Jika jawapan anda pada langkah pertama adalah ya atau anda melayan perbualan itu, mereka akan mula membuka cerita untuk meraih simpati seperti kononnya mereka daripada keluarga susah akibat peperangan dan sebagainya. Mereka akan memberi alasan tiada wang atau memberitahu kehilangan pasport.

Mohd Izzat berkata, dia yakin golongan ini adalah sindiket kerana sepanjang urusannya di Makkah dan Madinah, kebanyakannya akan menggunakan modus operandi yang sama tetapi individu berbeza.

"Malah saya pernah jumpa orang ini tegur saya yang berpakaian ihram di depan Kaabah, ketika melakukan Saie serta dalam masjid Nabi dan merata-rata dalam Masjidil Haram.

"Susuk tubuh dan pakaian mereka juga langsung tak menunjukkan orang susah dan tidak mampu. Pakaian segak, badan tegap siap boleh berbahasa Inggeris," katanya.

Kata Mohd Izzat, sekiranya ada yang memberi sedekah SR1 (sebagai contoh), mereka tidak akan ambil sebaliknya akan minta lebih.

Jika ingin bersedekah, berilah kepada pekerja di masjid.

Bagi memastikan tiada lagi yang tertipu dengan sindiket ini, Mohd Izzat turut menyenaraikan beberapa langkah dilakukannya jika disapa oleh individu ini. 

1. Saya tidak akan layan sebaliknya tunjuk isyarat hendak mengaji, sembahyang atau sebagainya. Apabila tidak dilayan dia akan bergerak cari orang Malaysia lain pula.

2. Saya suruh dia tunggu sehingga lepas solat di dalam masjid kerana sekiranya betul memerlukan wang, dia akan tunggu.

3. Saya akan mengajaknya berjumpa polis bertugas jika dia memberitahu kehilangan pasport dan sebagainya. Dia pasti akan mengelak dan berlalu pergi.

4. Saya akan terus berkata kepadanya; 'Anta kazzab' (anda penipu). Biasanya dia akan buat muka kebingungan dan berlalu pergi.

Dalam pada itu, Mohd Izzat berkata, dia boleh sahaja memberikan wang diminta serta meniatkan pahala sedekah serta bersangka baik kepada golongan ini tetapi ia sebenarnya akan menggalakkan mereka meneruskan aktiviti tidak bermoral itu.

Sekiranya hendak bersedekah kata Mohd Izzat, terdapat pelbagai cara termasuklah;

1. Hulurkan sedekah pada pekerja Masjidil Haram atau Masjid Nabawi. Gaji mereka kecil dan kerja mereka itu mulia.

2. Beli makanan seperti roti atau air dan letakkan di tepi jalan dan jerit sedekah. InsyaAllah ramai akan datang ambil.

3. Bagi wang pada restoran atau kedai makan dan beritahu hendak bersedekah pada orang yang datang makan. Pihak restoran akan bungkus dan buka kaunter. Kebiasaannya pekerja dari Pakistan yang hidup susah akan datang ambil.

4. Bersedekahlah pada tempat disediakan. Boleh cari kaunter yang pihak berkuasa sediakan untuk melakukannya.

5. Serahkan wang kepada Mutawif dan mintanya belanja jemaah lain.

Makkah, Madinah, Sindiket, Haji, Umrah, Scam

Artikel Berkaitan

Artikel Lain