suria

Seronok berkongsi stiker imej seseorang? Awas! anda mungkin mengumpul dosa, muflis di akhirat

Ramai yang menggunakan stiker ketika membalas mesej di Whatsapp namun jika ia mengaibkan, ia mendatangkan keburukan.

KECANGGIHAN dunia komunikasi digital pada masa kini menyebabkan bertambahnya hukum-hakam lebih lebih lagi berkaitan teknologi.

Teknologi yang dimaksudkan melibatkan pebagai aplikasi-aplikasi baharu yang diperkenalkan dalam usaha menambah minat pengguna media sosial yang kebanyakannya terdiri daripada golongan remaja.

Jika kita lihat pada hari ini, penggunaan emoji dan stiker memaparkan imej tertentu dalam membalas teks seseorang merupakan sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan.

Ia juga mendatangkan rasa seronok buat semua lapisan masyarakat tidak kira tua ataupun muda.

ARTIKEL BERKAITAN: 4 ancaman untuk orang berhutang, kata-katanya juga dusta

Ini kerana penggunaan stiker itu sendiri bagi menggambarkan perasaan seseorang sama ada mereka suka, gembira, sedih ataupun marah.

Hukum menggunakan stiker dalam Islam menurut pandangan ulama kontemporari tidaklah menjadi masalah selagi mana ia tidak melanggar hukum syarak.

Stiker yang melanggar hukum syarak ialah seperti stiker yang membawa kepada keruntuhan akhlak, misalnya stiker yang berbaur lucah ataupun stiker berupa gambar orang lain yang digunakan tanpa kebenaran serta ditambah pula kata kata yang mengaibkan.

Penggunaan emoji juga sangat popular.

Ramai dalam kalangan kita yang tidak ambil peduli mengenai hukum stiker ini kerana sering memandang ringan akan dosa dan pahala yang bakal dicatatkan.

Ia boleh dikategorikan seperti berikut:

1. Menggunakan stiker identiti orang lain dengan cara mengaibkannya

Menghormati saudara seislam dalam erti kata menjaga maruah dan air mukanya merupakan satu kewajipan sesama muslim.

Sabda Baginda Rasulullah: Muslim yang satu dengan muslim yang lainnya adalah bersaudara tidak boleh menyakiti, merendahkan, atau pun menghina. Takwa itu ada di sini (Rasulullah menunjuk dadanya), Beliau mengucapkannya sebanyak tiga kali.

Seseorang telah dianggap berbuat jahat apabila ia menghina saudaranya sesama muslim. Muslim yang satu dengan yang Iainnya haram darahnya. Hartanya, dan kehormatannya. - [HR Muslim:4650].

Hadis ini dengan jelas mengharamkan seorang muslim menjatuhkan maruah muslim yang lain dalam apa-apa bentuk termasuklah dengan menggunakan stiker yang boleh menjatuhkan maruah seseorang.

Terdapat pelbagai pilihan emoji dan sticker yang terdapat dalam Whatsapp. 

2. Menggunakan stiker dengan imej orang lain bertujuan menghina

Kita mungkin akan ketawa dan seronok akan kecacatan seseorang yang diuji oleh Allah ke atas mereka. Tetapi pernah atau tidak kita memikirkan akan hukum tersebut?

Firman Allah di dalam Surah Al-Hujurat ayat 11: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puan perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka.

Allah menyeru orang yang beriman supaya menjauhi sikap merendah-rendahkan orang lain dengan menganggap diri mereka lebih mulia. Perbuatan ini merupakan perbuatan orang yang sombong.

Mereka ini akan mendapat kerugian yang sangat besar di akhirat nanti seperti mana sabda Rasulullah: Tahukah anda siapa sebenarnya muflis? Sahabat sahabat menjawab: Muflis sepanjang pengetahuan kami ialah orang yang tidak mempunyai wang dan harta.

Nabi SAW bersabda: Bukan muflis harta aku maksudkan tetapi muflis pahala pada hari Kiamat. Sebahagian umatku pada hari itu datang membawa amalan-amalan solat, puasa dan zakat.

Pada masa sama juga dia membawa dosa-dosa mengutuk orang, memfitnah orang, mengambil harta orang, membunuh orang dan memukul orang.

Penyelesaian pada hari itu adalah dengan mengambil amal kebajikannya lalu diberi kepada orang yang dizaliminya.

Andainya amal kebajikan yang dibawanya belum cukup, akan diambil dosa-dosa mangsa yang dizaliminya, lalu dibebankan di atas kepalanya, kemudian dicampaknya ke dalam neraka. - [HR Muslim 2581].

Malah terdapat tutorial untuk membuat sticker wajah sendiri atau rakan anda. 

3. Menggunakan stiker wajah orang lain tanpa kebenaran

Di dalam kaedah fiqh Islam, terdapat satu kaedah yang digunakan ketika membahaskan isu ini yang perlu kita ketahui iaitu:

“Tidak boleh seseorang memanfaatkan sesuatu milik orang lain tanpa izinnya”

Izin di sini boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:

i. Izin Secara Langsung

Izin ini adalah izin yang biasa berlaku secara lisan contohnya meminta dan memberi izin secara terus antara dua pihak.

ii. Izin Tidak Langsung 

Izin jenis ini pula merujuk kepada ‘urf atau kebiasaan. Contohnya, sekalipun tidak meminta izin, kebiasaannya kita tahu bahawa pemilik barang tersebut akan reda, tidak akan marah dan akan memberi pinjam.

Keadaan ini biasa berlaku dalam kehidupan berjiran (hubungan dengan jiran mesra dan rapat) seperti ingin meminjam cangkul, penyapu yang ada di luar rumah dan sebagainya.

Jika sebaliknya (pemilik barang tidak akan suka jika kita mengambil tanpa memberitahu), maka tidak boleh mengambil barangnya sekalipun dengan niat untuk meminjam.

Begitu juga hukum menggunakan stiker gambar orang lain tanpa kebenarannya. Hukumnya berdosa dan boleh menjatuhkan maruah seseorang seperti mana yang disebut tadi.

Oleh yang demikian, seseorang muslim perlulah menjaga lidah dan tangannya daripada menyakiti orang muslim yang lain khususnya dengan penggunaan stiker dan dinasihati lebih baik menggunakan stiker daripada kartun yang tidak melibatkan batang tubuh manusia yang lain supaya kita tidak menjadi muflis diakhirat nanti.

Semoga penerangan ini dapat memberi manfaat kepada semua kerana setiap perbuatan yang kita lakukan akan dicatat amalannya apatah lagi dalam melakukan sesuatu perkara yang kita tidak sedari, ketika itu kita sedang mengumpul dosa kerana mengaibkan orang lain melalui kecanggihan teknologi.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim). Beliau juga merangkap Panel Rujuk Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia, YADIM.

Sticker, Media Sosial, Whatsapp, Addin, Agama, dosa

Artikel Lain