suria

“Tak salah kanak-kanak solat di saf hadapan” - Mufti jawab surat kanak-kanak dihalau pengerusi surau

Adik Nadzrul Zarfan Sharul Azry menulis sepucuk surat kepada pihak pengurusan surau yang tidak membenarkannya solat di saf pertama.

BEBERAPA hari lalu tular di media sosial sepucuk surat yang ditulis oleh seorang kanak-kanak yang meluahkan rasa kesal terhadap pengurusan sebuah surau yang tidak membenarkan kanak-kanak bersolat di saf hadapan.

Adik Nadzrul Zarfan Sharul Azry dalam suratnya itu turut mempersoalkan tindakan pengerusi surau menghalaunya daripada saf hadapan.

ARTIKEL BERKAITAN: 4 ancaman untuk orang berhutang, kata-katanya juga dusta

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai umat Islam tidak rebut peluang masuk syurga! Ikutilah tip saranan nabi

Surat itu turut mendapat perhatian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yang memberi respons berhubung isu diketengahkan kanak-kanak itu.

Dr. Zulkifli memberitahu di dalam Sahih al-Bukhari, No.38 terdapat sebuah hadis yang menceritakan tentang bagaimana Rasulullah SAW menyusun saf kanak-kanak dengan mengarahkan Anad bin Malik RA berada bersama kanak-kanak kecil dan kemudian Rasulullah solat bersama mereka.

Al-Imam al-Mawardi rahimahullah di dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir: "Dan telah berkata sebahagian ashab kami, yang lebih utama itu adalah dengan meletakkan kanak-kanak (di dalam saf) di antara dua lelaki kerana lebih membawa kanak-kanak tersebut kepada mempelajari pergerakan-pergerakan solat." (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/340).

Begitu juga kata al-Khatib al-Syarbini: “Kedudukan sebagaimana yang disebutkan (kanak-kanak di belakang) ialah apabila mereka semua datang pada waktu yang sama. Sekiranya kanak-kanak hadir terlebih dahulu, tidak boleh ditarik mereka bagi memberi laluan kepada lelaki dewasa.

Dr. Zulkifli memuji keberanian Nadzrul.

Ini sebagaimana jika mereka terlebih dahulu masuk ke saf pertama, maka sesungguhnya mereka lebih berhak, pada pendapat yang sahih. Ia seperti mana dinukilkan dalam Al-Kifayah daripada Al-Qadhi Husain dan selainnya. Beliau memperakukan hal tersebut.

Ini kerana mereka (kanak-kanak) merupakan daripada jenis mereka (lelaki dewasa), tidak seperti khunsa dan wanita. Sesungguhnya kanak-kanak hanya diletakkan di belakang daripada lelaki dewasa sebagaimana kata Al-Azraie apabila saf lelaki tidak muat untuk mereka. Jika tidak, hendaklah disempurnakan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/492).

Dalam pada itu kata Dr. Zulkifli, apa yang disuarkan oleh Nadzrul itu tidak salah kerana adalah bagus seorang kanak-kanak duduk dengan orang lebih dewasa.

Dengan cara itu, mereka dapat belajar cara solat dengan lebih sempurna.

"Tahniah pakcik ucapkan... Kalau ada orang kata nanti terputus saf bila ada budak-budak antara orang dewasa, cakap pada dia, Mufti Wilayah Persekutuan belum jumpa lagi mana-mana ulama’ yang kata begitu.

"Tahniah sekali lagi pakcik ucapkan kepada anakanda Nadzrul. Pakcik doakan anakanda sentiasa menjaga solat lima waktu dan berusaha mendapatkan saf pertama setiap kali solat. Kalau jumpa pakcik di mana-mana nanti, kenalkan diri ya. Ada hadiah untuk Nadzrul," katanya.

Kalau ada orang kata nanti terputus saf bila ada budak-budak antara orang dewasa, cakap pada dia, Mufti Wilayah Persekutuan belum jumpa lagi mana-mana ulama’ yang kata begitu.

DATUK SERI DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Secara umumnya kata Dr. Zulkifli, berikut adalah keadaan saf mengikut bilangan makmum dan jantinanya.

1. Jika seorang imam bersama dengan dua orang ataupun lebih dari makmum lelaki, ataupun di belakang imam tersebut terdapat seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak maka keduanya berada di dalam satu saf di belakang imam.

2. Sekiranya seorang imam diikuti oleh dua orang makmum lelaki dan seorang perempuan, maka kedua orang lelaki tersebut berada dalam satu saf di belakang imam manakala perempuan tersebut berada di belakang keduanya.

3. Dalam keadaan ramainya makmum lelaki berserta perempuan dan juga kanak-kanak bersama imam maka kedudukan para makmum lelaki adalah di saf pertama atau kedua-dua saf yang paling hampir dengan imam.

Kemudian kanak-kanak berada di belakang mereka. Manakala terdapat suatu pendapat di sisi para fuqaha bermazhab Syafie yang mengatakan bahawa diletakkan di antara dua orang lelaki dewasa itu seorang kanak-kanak supaya dia dapat mempelajari pergerakan-pergerakan solat. (Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 27/36-37).

Meletakkan kanak-kanak di antara orang dewasa ketika solat berjemaah mereka dapat belajar solat dengan lebih sempurna.

Kepada pihak masjid dan ibu bapa, ini cadangan Dr. Zulkifli mencadangkan:

1. Jika kanak-kanak teramat kecil dan susah untuk di jaga serta mengganggu Jemaah, maka aulanya tidak di bawa ke masjid.

2. Jika kanak-kanak tidak mengganggu namun dibimbangi oleh kedua ibu-bapa akan keadaannya, maka boleh diletakkan di sebelah ibu-bapanya. Saya syorkan dalam keadaan sebegini, ibu-bapa untuk bersolat di tepi dinding (hujung saf) dan diletakkan anaknya itu dihujung sekali.

3. Jika kanak-kanak mampu berdikari, aulanya diletakkan di saf kanak-kanak. Tetapi kanak-kanak tersebut telah berada di saf pertama sejak awal, tidak perlu menghalau mereka ke belakang.

4. Sayugia juga wujudnya penyelia yang mengawasi dan membimbing kanak-kanak di dalam saf dan solat mereka agar kanak-kanak dapat melakukan solat dengan sebaik mungkin. Di samping itu, dia dapat menasihatkan kanak-kanak dari berbuat bising dengan mengajarkan adab-adab dan meraikan kehormatan masjid.

Artikel Lain