suria

Jangan keliru... Tidak salah ucap selamat perayaan bukan Islam tapi haram jika mengamalkannya

Malaysia sangat unik apabila terdapat berbilang kaum yang meraikan pelbagai perayaan. Foto Sekadar Hiasan

SABAN tahun menyaksikan timbul pelbagai isu mengenai ucapan perayaan daripada seseorang Islam kepada masyarakat bukan Islam.

Persoalan yang selalu diperkatakan ialah sama ada ia dibolehkan atau tidak.

Ini adalah kerana kita sedia maklum bahawa kehidupan di Malaysia adalah berbilang agama, bangsa dan budaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Seronok berkongsi stiker imej seseorang? Awas! anda mungkin mengumpul dosa, muflis di akhirat Jumaat

Maka tidak hairanlah apabila isu ini sentiasa dibangkitkan kerana kita tidak boleh lari daripada pergaulan antara muslim dan bukan muslim sama ada di pejabat atau dalam konteks berjiran.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Hujrat ayat 13: Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

Al-Zamakhsyari ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada Adam dan Hawa. Kita semua diciptakan daripada seorang ibu dan seorang ayah tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain.

Maka, tidak ada sebab untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan - (Rujuk Al-Kasysyaf, 4/374).

Pasangan suami isteri, Muhamad Ashraff Akmal Abdullah, 26, (duduk) dan Siti Azureen Mohd Zulkifli, 26, (baju hitam) dibantu anggota keluarga isterinya memasang lampu pada pokok Krismas ketika berkunjung ke rumah bapa Ashraff, Robert Kenneth Henry di Kampung Danu di daerah Padawan. - fotoBERNAMA.

Kita perlu sedar bahawa hubungan dan kesatuan antara kita sesama manusia adalah bertaut pada semangat kemanusiaan (insaniyyah/humanity) dan bukannya pada fahaman creedal nation (al-ummah al-‘aqidiyyah).

Fitrah kemanusiaan yang menginginkan keamanan, kebersamaan dan keadilan inilah yang boleh memandu kita dalam menghargai fiqh kewujudan bersama dalam kepelbagaian ini.

Adalah menjadi satu keperluan bagi seluruh manusia untuk sedar sejauh mana perbezaan warna kulit, bangsa, politik dan agama, mereka tetap bersaudara.

Ulama berselisih pandangan mengenai hukum ucapan perayaan daripada seseorang Islam kepada bukan Islam. Ia sebagaimana berikut:

1. Mengharamkan untuk mengucapkannya

Secara umumnya, jumhur ulama keempat-empat mazhab mengharamkan ucapan tahniah kepada orang bukan Islam sempena perayaan mereka.

Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah daripada kalangan mereka. - [Riwayat Abu Daud, 4031].

Allah SWT telah memerintahkan kepada kita untuk berlaku baik kepada semua manusia termasuklah kepada non-muslim

DR NUR MOHAMMAD HADI ZAHALAN (HADI ALMAGHRIBI)

PENSYARAH KANAN, FALKUTI SYARIAH (USIM)

Islam telah pun menggariskan suatu ketetapan bahawa seseorang penganut Islam daripada kalangan lelaki dan wanitanya tidak harus meniru atau mencontohi orang-orang bukan Muslim seluruhnya sama ada dari segi peribadatan, perayaan dan perhiasan yang khusus yang tertentu hanya kepada kalangan mereka sahaja.

Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda: "Bukanlah daripada kami sesiapa yang meniru dengan selain kami. Janganlah meniru Yahudi dan Nasrani dan sesungguhnya salam Yahudi itu dengan isyarat jari dan salam Nasrani itu dengan tapak tangan.” - [HR al-Tirmizi, 2695].

2. Diharuskan Mengucapnya

Adalah perlu untuk kita fahami  tiada ijmak yang jelas mengharamkan perkara ini. Ucapan tahniah sempena perayaan ini juga, tidak menunjukkan sebarang pengakuan atau keredaan ke atas kebenaran agama mereka, bahkan ia hanya satu bentuk mujamalah (perkataan yang baik dan penuh hormat) sesama manusia.

Hal ini lebih-lebih lagi sekiranya kita mempunyai hubungan kekerabatan, persahabatan dan kemasyarakatan dengan mereka. Antara dalil yang digunakan ialah seperti firman Allah didalah Surah Al-Mumtahanah ayat 8: Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Menurut Imam Nawawi, ayat ini menjadi dalil bahawa harus memulakan salam kepada non-Muslim kerana ia termasuk di bawah perbuatan baik.

Apabila ada rakan-rakan bukan Muslim mengucapkan Selamat Hari Raya kepada kita, maka kita membalasnya dengan ucapan tahniah yang sama.

Tujuannya jelas, iaitu memuliakan beliau sebagai seorang saudara, sebagai penghargaan atas ucapan beliau dan tidak bermaksud menerima dan mengagungkan agamanya.

Majlis rumah terbuka yang dihadiri masyarakat berbilamg bangsa dan agama bukti keharmonian dan sikap kasih sayang yang diterapkan dalam Islam.

Namun, perlu diingatkan bahawa diharamkan bagi Muslim menyambut sebarang perayaan orang bukan Islam sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian Muslim pada hari ini dengan melakukan perkara-perkara yang terdapat dalam agama mereka.

Bahkan kepercayaan agama lain juga mereka mempercayainya seperti memakai kostum santa atau membeli pokok Krismas serta menggunakan simbol-simbol tertentu. 

Pengharaman ini termasuk dari segi perbuatan, percakapan ataupun kepercayaan.

Maka ucapan tersebut hanyalah sebagai tanda menjaga hubungan baik, tiada paksaan dalam agama dan tidak bertujuan mengagungkan dan memuliakan agama lain.

Islam adalah agama yang membawa rahmat, keamanan dan segala kebaikan.

Allah SWT telah memerintahkan kepada kita untuk berlaku baik kepada semua manusia termasuklah kepada non-muslim

Jadi besarlah harapan supaya Malaysia terus aman dan damai dalam meraikan kepelbagaian agama, bangsa dan budaya.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim). Beliau juga merangkap Panel Rujuk Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia, YADIM.

Perayaan, Malaysia, Agama, Addin, Islam

Artikel Lain