suria

Nampak adik ‘on’ kamera selepas bapa bisik sesuatu, kakak gelabah terus panjat kaunter restoran - “Apa-apa libatkan katak, dia geli”

Kakak kepada Tyra memanjat kaunter di restorannya selepas ternampak kelibat katak.

SIAPA sahaja yang tidak geli geleman apabila terlihat kelibat katak?

Sama ada spesies puru yang berkulit menggerutu ataupun betung yang berkulit licin, namun ia tetap membuatkan kebanyakan individu khususnya wanita menggelupur ketakutan.

Perkongsian seorang wanita di aplikasi TikTok baru-baru ini mengenai gelagat lucu kakaknya yang sanggup memanjat kaunter bayaran di restoran kerana takutkan haiwan amfibia itu benar-benar mencuit hati netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Tunjuk ‘skill’ tiru bunyi burung tekukur dianggap senang, wanita ini berkokok pula ‘sebiji’ macam ayam jantan... siapa berani sahut cabaran?

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas kejadian anak tak balik 2 hari diserang lipas terbang, ibunya kini lebih aman di tandas - “Tak peduli langsung ibu tengah buang air”

Sehingga kini video tersebut meraih melebihi 70,000 jumlah tontonan dengan dibanjiri komen lucu netizen.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita bernama Fazrina Athirah ini berkata, video lucu tersebut dirakamnya ketika dia bersama keluarga sedang menjamu selera di restoran milik kakaknya, Nurul Fiziela.

"Masa tu kami dekat kedai makan milik kakak saya yang nombor tiga. Tiba-tiba ayah bisik, dia beritahu ada nampak katak dan minta saya standby pasang kamera untuk rekod.

"Saya sendiri tak nampak lagi katak tu tapi sebab kami sekeluarga tahu betapa kakak fobia dengan katak, saya pun terus 'on' kamera. Kakak perasan yang saya tengah rekod dan dia dah syak ada sesuatu.

panjat tembok

Video Nurul Fiziela memanjat tembok kerana ternampak katak yang dimuat naik di TikTok sebelum ini meraih 1.9 juta jumlah tontonan.

"Sebab tu dia dah tak senang duduk dan menjerit tanya 'mana katak?'. Kami gelak-gelak lagilah dia marah sebab tak ada siapa beritahu. Suaminya dekat kaunter pun sengih-sengih je.

"Sebab terlalu takut, dia terus panjat je kaunter tu tanpa hirau keadaan sekeliling asalkan dapat jauh dari katak tu," cerita wanita berusia 21 tahun ini.

anak sakat

Anak Nurul Fiziela sendiri gemar menyakat ibunya dengan anak patung katak.

Menurutnya yang senang disapa Tyra, kakaknya yang berusia 31 tahun itu terlalu fobia terhadap katak kerana mempunyai sejarah silam yang tidak dilupakannya sehingga kini.

"Masa dia kecil, rumah kami di Felda Palong 15 black out. Dia nak cari getah rambut. Tengah meraba-raba, tiba-tiba tangannya terpegang benda sejuk dan licin. Memang menjerit-jerit la.

Beberapa bulan lepas, video dia panjat tembok rumah sebab takut katak raih 1.9 juta views. Lepas ni tak tahulah nak memanjat apa pula.

FAZRINA ATHIRAH

"Bertitik tolak dari situlah, dia fobia dengan katak. Kami sekeluarga dah maklum dah. Anak perempuannya yang berumur empat tahun pun suka sakat emaknya dengan patung katak. Patung pun dia tak boleh, dengar bunyi katak pun tak boleh... apa-apa libatkan katak, dia geli.

"Kalau nak tahu, ini video keduanya 'memanjat' yang viral. Beberapa bulan lepas, video dia panjat tembok rumah sebab takut katak raih 1.9 juta views. Lepas ni tak tahulah nak memanjat apa pula," katanya sambil ketawa.

famili

Gambar keluarga Tyra sewakt majlis persandingannya.

Tyra yang juga pengusaha restoran makanan barat (western) turut mendedahkan, kakaknya pernah menangis malah mereka adik beradik juga pernah bergaduh 'manja' gara-gara kakaknya merajuk kerana disakat dengan katak.

"Tak sangka pula video kedua dia memanjat ni viral lagi sekali. Lucu baca komen-komen netizen. Ramai juga yang kongsi fobia yang sama dengan kakak. Dia ingatkan dia seorang je yang fobia terlampau, rupa-rupanya ramai juga senasib," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain