suria

Tunjuk ‘skill’ tiru bunyi burung tekukur dianggap senang, wanita ini berkokok pula ‘sebiji’ macam ayam jantan... siapa berani sahut cabaran?

Farikhah mencabar kaki pikat ayam untuk meniru bunyi ayam jantan berkokok.

"HABISLAH ayam betina dah berkokok," itu antara salah satu komen netizen terhadap video seorang wanita yang meniru bunyi seekor ayam jantan.

Wanita berkenaan berkongsi video tersebut bagi membalas komen salah seorang pengikutnya yang seolah-olah memandang rendah akan kebolehannya meniru bunyi beberapa jenis haiwan.

Perkongsian tersebut setakat ini meraih sebanyak 75,000 tontonan di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Jodoh’ kerja sebumbung tapi tak nampak gara-gara baju ala PPE, mujur ada Family Day... wanita Semarang akhirnya bertemu suami dari Marang

ARTIKEL BERKAITAN: Pasang Go-Pro pada wau, hasil rakaman sangat wow... macam guna dron! - “Saya serba salah, ramai rindu kampung”

Berkongsi cerita dengan mStar, Nurul Farikhah Mohd Rofi berkata, video bunyi ayam jantan itu dikongsi selepas ada komen yang menyatakan bahawa bunyi burung tekukur yang ditirunya dalam video yang dikongsi sebelum ini mudah untuk dilakukan.

Sambil menunjukkan kemahirannya berkokok. dia dalam masa yang sama turut mencabar netizen terutama kumpulan pemikat ayam untuk cuba berkokok seperti apa yang dilakukannya.

"Video bunyi ayam tu sebenarnya saya balas komen dari video terdahulu yang mana saya buat bunyi burung tekukur. Dia kata senang je, jadi saya tunjuk lagi kebolehan saya dan cabar geng kaki pikat ayam untuk berkokok.

"Memang dari kecil lagi saya dah pandai tiru ayam berkokok sebab hobi arwah atuk bela ayam jantan. Jadi dah tahu sangat macam mana bunyinya.

"Dari situ saya gigih belajar tiru bunyi ayam atuk, dalam masa tiga hari je dah boleh berkokok. Yang tahu pasal kebolehan saya ni cuma ibu je, ahli kelurga yang lain tak tahu.

fvgtht

Farikhah juga boleh meniru bunyi burung tekukur..

"Saya tak pernah tunjuk depan orang lain sebab malu dan cuma anggap benda ni just for fun je dengan kawan-kawan. Sebenarnya saya rasa apa yang saya buat ni biasa je dan saya yakin ramai orang boleh buat," katanya yang berasal dari Gambang, Pahang.

Menurut wanita berusia 23 tahun itu, dia juga boleh meniru pelbagai bunyi binatang lain seperti anak kucing, kucing jantan, monyet dan juga anjing.

Bagaimanapun, bunyi haiwan pertama yang berjaya ditirunya ialah burung tekukur ketika dia berusia 11 tahun.

"Kalau bunyi burung memang lelaki je pandai dan saya pun belajar dengan mereka. Ambil masa tak lama pun dalam seminggu je, sebab dulu memang banyak berkawan dengan lelaki.

IMG_7865

Farikhah (kanan) juga pandai meniru bunyi burung tekukur daripada kawan lelakinya.

"Saya suka masuk hutan, melastik burung atau pergi memancing dengan mereka," ujarnya yang mesra disapa Farikhah.

Walaupun pandai meniru bunyi haiwan, dia sebenarnya fobia terhadap ular sejak dahulu lagi.

Segalanya berpunca apabila ibunya, Siti Nurhasanah, 52, sering meletakkan ular mainan di bahagian depan pintu rumah mereka supaya dia tidak dapat keluar.

"Saya takut dengan ular dan memang boleh dikatakan fobia sangat dengan haiwan tu. Sebab dulu waktu umur empat atau lima tahun, mak suka sangat mengusik saya dengan ular.

"Sampai dia beli banyak sangat ular mainan dan letak depan pintu supaya saya tak keluar rumah.

Kalau dah tahu orang tu ada fobia, lebih baik kita elakkan untuk bergurau secara berlebihan.

NURUL FARIKHAH MOHD ROFI

"Kemudian waktu saya tingkatan empat, ada kawan lelaki dia bawa ular mainan untuk sakat pelajar lain di sekolah. Masa tu waktu belajar dan tiba-tiba kawan saya keluarkan ular lempar ke atas meja saya.

"Saya menjerit dan menangis seperti histeria, cikgu cuba untuk tenangkan saya dengan membawa ke bilik guru. Kawan saya pula tu dipanggil ke bilik kaunseling.

"Rupa bentuk ular tu membuatkan saya rasa takut sehingga sekarang. Kalau ada yang sakat saya dengan ular, memang boleh histeria dibuatnya," katanya yang kini membantu keluarganya di restoran mereka yang terletak di Jalan Gambang, Kuantan, Pahang.

Farikhah yang bercita-cita mahu menjadi seorang YouTuber menasihatkan agar orang ramai lebih berhati-hati ketika bergurau, lebih-lebih lagi apabila sudah tahu seseorang itu mempunyai fobia terhadap sesuatu.

Tambahnya lagi, ia bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku ketika kita sedang seronok melihat orang lain dalam ketakutan.

"Pesanan saya untuk mereka yang suka bergurau tu supaya lebih berwaspada, sebab benda tu boleh menyebabkan ketakutan yang melampau jika seseorang itu ada fobia macam saya.

IMG_7867

Farikhah (kiri) pernah diusik oleh rakan sekelasnya dengan ular mainan.

"Kalau dah tahu orang tu ada fobia, lebih baik kita elakkan untuk bergurau secara berlebihan. Takut nanti ada perkara yang tidak diingini akan terjadi.

"Sebab kita sendiri tak tahu apa perasaan orang yang mempunyai fobia terhadap suatu perkara," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain