suria

Pemuda ini ‘tewas’ dengan pertanyaan di TikTok, mengaku sering seluk poket seluar bukan sebab style tapi kerana sembunyi ‘tangan lembik’

Muhammad Farhan ditimpa kemalangan yang menyebabkan saraf tangan kanannya rosak.

SERING menyeluk tangan kanannya ke dalam poket seluar atau jaket pada setiap perkongsian di TikTok mahupun Instagram, mungkin ramai yang menganggap ia adalah 'style' pemuda ini semata-mata.

"Abang ni asyik tangan masuk poket ja," demikian komen salah seorang pengikutnya di TikTok.

Namun menurut Muhammad Farhan Mohd Nazli, tindakan itu sebenarnya mempunyai kaitan dengan satu peristiwa hitam yang menimpanya hampir dua tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya dah tak kisah” - Pemuda ini cekal jadi runner selepas kaki dipotong, kini kejar impian sebagai pemain bola sepak

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tiada dua tangan, semua buat guna kaki” - Ramai nak tahu macam-macam daripada perunding hartanah ini, termasuklah cara makan

Terpanggil untuk menjawab persoalan yang bermain di fikiran pengikutnya sekali gus merungkai 'sebab' di sebalik tabiatnya sering menyeluk tangan dalam poket, pemuda ini membuat penjelasan ringkas menerusi satu perkongsian video di TikTok.

Tanpa disangka, video tersebut meraih lebih 1.1 juta jumlah tontonan malah ia turut dibanjiri dengan ribuan komen netizen yang memberikan kata-kata semangat buat dirinya.

Menurut Muhammad Farhan, dia terlibat dengan satu kemalangan jalan raya pada Disember 2019 yang mana insiden itu mengubah hampir keseluruhan hidupnya.

"Ketika itu saya nak isi minyak petrol. Nak dijadikan cerita, motosikal saya tiba-tiba mati mengejut dekat tengah jalan. Masa itulah, sebuah kereta dari arah bertentangan tak sempat tekan brek dan merempuh saya.

"Saya tercampak dan tak sedarkan diri. Dua hari selepas kemalangan, barulah saya sedar. Doktor beritahu saraf pada tangan kanan saya rosak sebab terhentak dengan kuat. Selain itu, bahu kanan juga terhentak dan telinga kiri terkoyak.

tangan kanan 1

Tangan Muhammad Farhan mengalami kerosakan saraf akibat kemalangan yang berlaku hampir dua tahun lalu.

"Disebabkan kecederaan serius melibatkan saraf, lebih dari setahun tangan kanan saya tak boleh bergerak langsung. Jadi lembik dan lemah. Selepas jalani pembedahan, barulah boleh gerak sikit," ujar pemuda berusia 20 tahun ini.

Pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Derga ini berkata, dia 'berkurung' di rumah selama hampir lapan bulan kerana dihambat rasa kurang keyakinan diri dan malu untuk berdepan dengan orang ramai.

"Memang rasa 'down' sangat sebab kita masih muda, belajar pun belum habis... fikir tentang masa depan dan sebagainya lebih-lebih lagi saya anak sulung.

tangan kanan 3

Muhammad Farhan sering menyembunyikan tangan kanannya dalam poket.

"Namun mak, ayah dan kawan-kawan banyak bagi kata-kata semangat. Lama-lama saya boleh terima apa yang ditakdirkan. Mungkin saya rasa apa yang berlaku ni sangat teruk, tapi saya fikir, masih ramai lagi yang hebat dugaannya.

"Saya jadikan penyanyi muda, Zubir Khan, yang kudung tangan kanannya sebagai idola untuk terus bangkit. Dalam masa yang sama, sesi kaunseling serta fisioterapi di hospital juga banyak membantu. Pakar di sana bagi motivasi, 'train' bagaimana untuk gunakan tangan kiri dan macam-macam lagi," ujarnya yang berasal dari Sik, Kedah.

Memang rasa 'down' sangat sebab kita masih muda, belajar pun belum habis... fikir tentang masa depan dan sebagainya lebih-lebih lagi saya anak sulung.

MUHAMMAD FARHAN MOHD NAZLI

Anak sulung daripada tiga adik beradik ini berkata, dia baru sahaja membuka akaun TikTok kira-kira sebulan lalu untuk menyebarkan perkara positif berunsurkan motivasi dan kerohanian buat pengikutnya dan anak muda lain.

"Kawan-kawan yang cadangkan buka TikTok. Saya pun mula-mula yakin tak yakin saja tapi fikir apa salahnya saya mencuba. Tak sangka, daripada ratusan followers di TikTok, kini dah naik hingga 13,000 followers.

tangan kanan 2

Muhammad Farhan (kiri) merupakan pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Derga.

"Memang saya sendiri tak jangka. Ramai yang komen dan DM kongsi pengalaman dan beri kata-kata semangat. Nak cerita pasal fobia, memang fobia sangat. Tapi sampai bila? Saya pegang kata-kata ayah 'kalau jatuh kerana manusia, bangkitlah kerana Allah'.

"InsyaAllah, saya rancang nak jadikan content TikTok ini ke arah positif, beri motivasi kepada orang lain khususnya yang senasib dengan saya. Ingatlah, apa jua dugaan Allah beri, kita sebagai hambanya perlu terima dengan reda," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain