suria

Famous dah Cikyah! Bukan biasa-biasa, acik tudung kuning ni perlu dapat pelepasan ‘lembaga penapis’ sebelum membebel kepada masyarakat

Animoji wanita bertudung kuning bernama Cikyah semakin mendapat tempat di hati warganet.

KEMUNCULAN watak bernama Cikyah di platform media sosial seperti TikTok dan Instagram mendapat perhatian ramai sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Cikyah digambarkan menerusi animoji seorang wanita tua bertudung kuning dan berperwatakan seperti makcik kampung tipikal yang suka berleter namun dalam masa yang sama menyelitkan nasihat berguna.

Muncul dengan video santai yang sarat dengan mesej dan 'kena' dengan realiti masyarakat ketika ini, watak Cikyah berjaya mendapat tempat di hati netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanpa pembaris, tanpa pensel pelukis hasilkan potret Agong, Tunku Azizah - Pemilik nama pena Teme Abdullah mahu kekal rahsia identiti diri

ARTIKEL BERKAITAN: Spiderman Malaysia ini handal bancuh air, masak Char Kuey Teow... teringin nak pakai kostum di kafe tapi ada ‘sikit masalah’

Ramai yang tertanya-tanya, siapakan gerangan di sebalik karakter Cikyah ini.

Bukan calang-calang orang, pemilik watak Cikyah itu merupakan seorang pensyarah di Universiti Lim Kok Wing!

Berkongsi cerita dengan mStar, Amar Reza Zainalabidin berkata idea untuk menghasilkan video Cikyah tercetus berdasarkan pemerhatian dan kajian yang dilakukan terhadap persekitaran masyarakat.

"Selain bertugas sebagai pensyarah sepenuh masa, saya juga merupakan seorang pelajar sepenuh masa yang sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana (master) dalam bidang Seni Persembahan. Jadi Cikyah ini adalah hasil kajian saya.

"Saya gambarkannya sebagai seorang wanita yang duduk di Kampung Gajah Termenong, akses ke bandar pun jauh. Itulah idea ketika awal kemunculan video Cikyah.

"Saya seorang yang rapat dengan ibu, selalu ke pasar, ke bandar bersamanya. Jadi saya banyak buat pemerhatian dan dari situlah timbul idea untuk kembangkan karakter Cikyah.

"Tak sangka, sambutan yang diterima daripada orang ramai sangat menggalakkan walaupun baru mula perkenalkan Cikyah pada Mac lalu," ujar pemuda berusia 27 tahun ini.

potret family cikyah

Potret famili Cikyah bersama tiga anaknya iaitu Saiful, Dayah dan Faiz.

Dalam tempoh tujuh bulan, Cikyah berjaya mengumpul lebih 139,000 pengikut di TikTok dan lebih 47,000 pengikut di laman Instagram.

Malah saluran YouTube Cikyah juga sehingga kini mempunyai lebih daripada 15,000 subscribers.

"Alhamdulillah... saya kira ada beberapa faktor Cikyah dikenali dan mendapat tempat dalam hati masyarakat. Pertamanya kuasa media massa lebih-lebih lagi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak masa diluangkan di rumah.

"Keduanya, apa yang diketengahkan oleh Cikyah tak payah isu jauh-jauh, cukup apa yang berlaku di sekeliling kita saja... semuanya sangat berkait.

"Dan ketiga, mungkin sebab Cikyah tampil dengan gaya unik dan ia sedikit 'rare'. Dengan nada mak-mak atau nenek-nenek, kita akan rasa dekat seperti mak sendiri yang bagi nasihat.

Sebagaimana Upin Ipin dekat di hati kanak-kanak, moga Cikyah juga akan diketengahkan dan dikomersialkan. Itu harapan saya.

AMAR REZA ZAINALABIDIN

"Saya terharu bila baca komen yang kata, mereka teringat dekat mak masing-masing di kampung sebab sama style dengan Cikyah. Ada yang sanggup install TikTok semata-mata nak tengok Cikyah, malah ada yang jadi orang tengah kepada jiran-jiran kampung yang suka tonton Cikyah," ujarnya yang berasal dari Kuala Lumpur.

Sungguhpun video yang dihasilkannya kelihatan santai, namun Amar Reza mendedahkan ia bukan satu perkara yang mudah untuk dilakukan lebih-lebih lagi terikat sebagai pensyarah dan juga status sebagai pelajar.

"Semuanya saya buat sendiri, kecuali apabila melibatkan client di mana saya akan bekerjasama dengan team sendiri. Saya bersyukur majikan sangat memahami... jadual belajar dan mengajar juga tersusun.

cikyah recording

Proses penghasilan video Cikyah yang kebanyakannya dilakukan sendiri oleh Amar Reza.

"Kalau nak tahu, setiap video yang saya rakam, saya tunjuk pada ibu dulu. Dia yang jadi 'lembaga penapis'. Ibu akan beri cadangan dan kritikan untuk tambah baik.

"Pada akhir kajian nanti, saya akan buat satu dokumentari mengenai Cikyah... serba serbi bermula daripada proses cipta karakter dan sebagainya," katanya lagi.

Melihat kepada sambutan yang sangat menggalakkan terhadap video Cikyah, tiada apa yang diharapkan pemuda ini melainkan karya diangkat untuk diketengahkan di media arus perdana.

"Saya harap sangat ada pihak nampak kemampuan Cikyah untuk pergi lebih jauh. Sebagaimana Upin Ipin dekat di hati kanak-kanak, moga Cikyah juga akan diketengahkan dan dikomersialkan. Itu harapan saya," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain