suria

Anak dah 6 bulan, bekalan susu badan penuh freezer... wanita cari bayi lelaki, tawar diri jadi ibu susuan - “Baby girl pun boleh tapi jangan lima kali kenyang”

Manfuzah ingin membantu ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu.

BUKAN semua ibu-ibu yang baru melahirkan mampu memberi susu badan kepada anak yang dilahirkan.

Ada yang badan mereka tidak berupaya untuk menghasilkan susu yang mencukupi, atau mereka tidak boleh memberi susu badan kepada anak-anak kerana mereka terpaksa mengambil ubat-ubatan.

Atas sebab itulah seorang ibu tampil untuk menyumbang susu badannya kepada insan yang memerlukan.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Struggle’ baru nak belajar main golf, wanita ini tak sangka perlu juga hadap komen pengkritik selepas kongsi video di media sosial

ARTIKEL BERKAITAN: Pekak sejak lahir, percakapan kurang jelas... pemuda ini tetap gigih buat live jual baju bundle - “Kalau tak faham saya teka, selalunya kurang tepat”

Nor Manfuzah Mohamed Fuad, 36 berkata, dia tidak sampai hati untuk membuang susu yang disediakan untuk anak bongsunya yang kini berusia enam bulan.



Manfuzah mempunyai sekitar 150 susu ibu dalam simpanannya.

Menurut Manfuzah, sebelum ini dia pernah bertanyakan doktor dan juga jururawat dimana tempat yang sesuai untuk dia sumbangkan bekalan susu itu, namun masih belum mendapat maklumbalas sehingga ke hari ini.

“Lepas melahirkan susu saya memang banyak jadi saya kena pam.

“Masa dalam pantang lagi saya memang nak bagi susu ni sebab deep freezer dah full, sayang kalau nak buang.

“Saya memang pernah tanya doktor dan jururawat di mana nak salurkan susu itu, tapi setakat ini belum ada maklumbalas,” katanya yang menetap di Alor Setar, Kedah.



Anak bongsu Manfuzah, Eman Yusof masih menyusu susu badannya.

Menurut Manfuzah, dia mempunyai sekitar 150 paket susu badan yang telah dibekukan untuk disumbangkan kepada mereka yang memerlukan.

Menurut suri rumah ini, dia bagaimanapun lebih mengutamakan bayi atau kanak-kanak lelaki untuk mengelakkan masalah di kemudian hari.

“Akak bersalin melalui pembedahan czer (Caesarean section) anak akak semuanya empat lelaki dan insyaAllah lepas ni tak ada dah anak.

“Akak tak nak ada masalah di kemudian hari, dalam bab susuan ni, dalam Islam kata, jika ada anak susuan, anak kita tak boleh berkahwin dengan anak susuan itu jika berlainan jantina.

“Jadi tak akan timbul masalah di masa akan datang, anak akak suka atau bercinta dengan anak susuan,” jelasnya.



Manfuzah dikurniakan empat orang cahaya mata lelaki.

Manfuzah bagaimanapun tidak menolak sekiranya ada ibu-ibu yang kurang sihat serta perlukan susu untuk anak perempuannya.

Namun, katanya, bayi tersebut tidak boleh minum susunya sehingga lima kali kenyang.

“Untuk menjadi anak susuan ini, bayi tersebut kena minum susu badan sampai lima kali kenyang baru sah.

“Kalau ada baby girl yang memerlukan contoh ibunya berada dalam keadaan tak mengizinkan, jadi perlukan susu, saya tak ada masalah nak bagi susu cuma jangan bagi dia minum sampai lima kali kenyang,” katanya.

Menurut Manfuzah, sebelum ini dia pernah membantu anak buahnya yang tidak dapat minum susu badan ibunya yang pada ketika itu terpaksa mengambil ubat antibiotik.

“Sebelum ini akak pernah bagi susu pada anak buah sebab maknya dimasukkan ke hospital kemudian kena on antibiotik jadi dia tak boleh bagi susu badan.

“Kebetulan susu akak banyak sangat jadi terus bagi pada adik ipar, so akak dah ada seorang anak susuan,” katanya.

Kalau ada baby girl yang memerlukan contoh ibunya berada dalam keadaan tak mengizinkan, jadi perlukan susu, saya tak ada masalah nak bagi susu cuma jangan bagi dia minum sampai lima kali kenyang.

NOR MANFUZAH MOHAMED FUAD

Menurut Manfuzah, keutamaan diberi kepada mereka yang tinggal di utara bagi memastikan kualiti susu terbabit terjaga.

“Kalau yang tinggal jauh agak sukar sebab susu sekarang saya simpan dalam freezer, kalau nak hantar jauh kena penghantaran hari yang sama dan dalam suhu sejuk,” katanya.

Ibu-ibu yang ingin dapatkan susu tersebut boleh menghubungi Manfuzah melalui akaun instagramnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
susu badan, ebm, anak susuan, kedah

Artikel Lain