suria

Pelajar asasi buat kejutan lain dari yang lain... bersengkang mata tapi berbaloi hingga pensyarah menangis! - “Dia minta kami solat dulu setiap kali masuk waktu”

Herma dan rakannya, Irfan (berbaju oren) berpakat melakukan kejutan untuk pensyarah mereka ketika kelas terakhir sebagai tanda penghargaan atas ilmu yang dicurahkan.

NIAT awal sekumpulan pelajar membuat kejutan sebagai tanda penghargaan kepada seorang pensyarah berakhir dengan reaksi yang tidak disangka-sangka oleh wanita berkenaan.

Menerusi video yang dimuat naik di aplikasi TikTok, kelihatan penyarah wanita berkenaan tidak dapat menahan sebak di hadapan pelajarnya yang sedang mengikuti kelas secara dalam talian (online), sehingga dia menutup (off) kamera komputernya untuk menyembunyikan wajah.

Dalam video berkenaan juga, jelas kedengaran esak tangis pensyarah berkenaan ketika wakil pelajar memberikan ucapan penghargaan pada kejutan yang dilakukan pada akhir sesi kelas online itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Mulanya merajuk, gadis ini cair selepas BF gigih buat kejutan... 'pop-up window' mengusik jiwa – “Istilah ‘Perempuan Sentiasa Betul’ tak relevan”

ARTIKEL BERKAITAN: Sempoi! Guru gigih mengajar guna lantai mozek, anak tak sangka ada yang nak sedekah papan putih - “Ayah tak kekok dengan norma baharu pendidikan”

Sehingga kini, video berkenaan meraih lebih daripada 363,000 jumlah tontonan selain dibanjiri dengan komen netizen yang kagum dan memuji tindakan kumpulan pelajar tersebut untuk pensyarah mereka.

Berkongsi cerita dengan mStar, pelajar bernama Hermanuralia Fatihah Yatin berkata, kejutan tersebut dirancang secara spontan bersama seorang lagi rakan yang juga wakil kelas (class representative), Muhammad Irfan Syahmi Shahrulnizam pada malam sebelum kelas berlangsung.

"Memandangkan kami akan tamat pengajian asasi dan kelas keesokannya adalah kelas terakhir dengan pensyarah, Miss Syafrina, jadi saya terfikir nak buat sesuatu sebagai penghargaan kepada beliau.

"Miss Syafrina ajar kami subjek 'Coding', jadi tergerak nak buat kejutan lain daripada yang lain menggunakan konsep coding untuk manfaatkan apa yang diajarnya.

"Saya bincang dengan Irfan (Muhammad Irfan) dan berpakat untuk buat sesuatu iaitu mesej dalam bentuk coding. Kami bahagikan, mula-mula Irfan buat, kemudian saya pula sambung 'touch up'," cerita gadis yang merupakan penuntut di Centre for Foundation Studies (CFS) International Islamic University Malaysia (IIUM), kampus Gambang, Pahang ini.

Ujar gadis berusia 19 tahun yang senang disapa sebagai Herma ini, mereka sanggup bersengkang mata sehingga awal pagi demi menyiapkan 'kejutan' tersebut.



Semua pelajar yang mengikuti subjek 'Coding' mengucapkan terima kasih kepada pensyarah mereka, Miss Syafrina.

Tambahnya, keseluruhan proses untuk menyiapkan 'kejutan' itu mengambil masa kira-kira empat jam.

"Keesokannya ketika kelas 'Coding' habis, kami persembahkan kejutan tersebut kepada Miss Syafrina. Mula-mula dia pun tak sangka tapi dia follow je arahan mesej coding tu.

"Tiba part hujung-hujung, bila Irfan buat ucapan, wajahnya tiba-tiba berubah sebak hingga 'off' kamera dan kemudian dengar suara seperti menangis.

"Kami pulak yang terkejut, tak sangka beliau terharu sehingga begitu sekali reaksinya. Namun berbaloi kami bersengkang mata," ujar Herma.

Dia juga seorang yang suka memberi kami nasihat... apa yang sering dipesan adalah jangan lupa peruntukkan waktu untuk beribadat walau sedang sibuk.

MUHAMMAD IRFAN SYAHMI

Sementara itu Irfan yang turut bersama-sama dalam temu bual berkata, kejutan tersebut dilakukan bukan sahaja sebagai menghargai jasa pensyarah berkenaan, tetapi sebagai buah tangan kepada insan yang sangat istimewa buat mereka.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Miss Syafrina ni istimewa sangat. Kalau kelas dia waktu petang, dia akan minta kami semua break sekejap ketika waktu Asar masuk dan tunaikan solat dahulu... kemudian baru sambung semula.

"Dia juga seorang yang suka memberi kami nasihat... apa yang sering dipesan adalah jangan lupa peruntukkan waktu untuk beribadat walau sedang sibuk. Terus tunaikan solat bila masuk waktu," ujar Irfan.

Menurutnya lagi, video tersebut juga dimuat naik selepas mendapat persetujuan daripada pensyarah berkenaan.



Herma bersama rakan-rakan sekelasnya hanya sempat mengikuti pengajian peringkat asasi di kampus selama dua bulan, sebelum terpaksa mengikuti pembelajaran secara online. (Gambar ketika PKPP tahun lalu).

"Miss Syafrina ok sahaja bila kami kata nak muat naik di media sosial, asalkan dapat beri manfaat kepada yang lain," katanya.

Sementara tambah Herma pula, selepas video yang dimuat naik di akaun TikToknya viral, ramai pelajar menghantar mesej dan meminta cara melakukan 'Coding' kerana mahu membuat perkara yang sama kepada pensyarah masing-masing.

"Secara tak langsung, mesej kami yang mahu orang di luar sana menghargai pensyarah atau guru masing-masing 'sampai'," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain