suria

Pagi di tadika, petang dah darjah satu... Apa berlaku sebenarnya sampaikan ramai keliru, siap jadi anak angkat cikgu!

WhatsApp Image 2021-06-15 at 12.16.56 AM

PAGI belajar dekat sekolah tadika, tiba-tiba petang ada dekat sekolah rendah.

Pelik, tapi itulah situasi sebenar yang terpaksa dihadapi Nur Bainul Adila Mohammad, 30, suatu ketika dahulu.

Berkongsi situasi mencuit hati tersebut dengan mStar, Bainul berkata semuanya berlaku disebabkan kesilapan pada tarikh lahir dalam surat beranaknya.

ARTIKLE BERKAITAN: Upah cuci kereta RM10 berubah jadi ‘bayar seikhlas hati’, apa gadis ini buat sampai uncle Bangladesh tukar fikiran?- “Sebenarnya kereta tu tak kotor pun”

ARTIKLE BERKAITAN: Gadis order makanan online niat nak kurangkan stres belajar, baca nota ditulis penjual terus jadi ‘blur’ - “Saya patut beri penerangan lebih jelas”

Menurut Bainul, yang kini bertugas sebagai pegawai pemasaran kontraktor selain membuat perniagaan menjual barangan rumah, kesilapan itu bagaimanapun hanya disedari ketika beliau berusia enam tahun.

“Kesilapan tu pada awalnya memang tak tahu lansung sehinggalah waktu saya berumur enam tahun. Satu hari tu ada seorang cikgu sekolah rendah datang dengan motor ke rumah, dia tanya mak saya ada tak anak nama Nur Bainul Adila, mak saya jawab ada, lepas tu cikgu tanya kenapa tak hantar sekolah?

“Masa tu mak saya pun panggil ayah saya dan ambil surat beranak, mak saya cakap saya baru enam tahun dan masih ke tadika, jadi cikgu tunjuk maklumat yang mengatakan saya sepatutnya masuk tahun satu, ” ujarnya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menurut Bainul, guru terbabit yang dikenalinya sebagai Cikgu Daud membuat keputusan untuk mencarinya di rumah kerana dia gagal hadir ke sekolah selama seminggu sejak sekolah dibuka dan menjadi satu-satunya pelajar yang belum mendaftar masuk.

“Bila semak dengan cikgu memang betul nama saya tertera untuk masuk tahun satu.

“Masa tu baru perasan pada surat beranak tahun kelahiran saya polis tulis 1990, sepatutnya 1991.

“Dekat bahagian atas pada bahagian tarikh lahir memang betul 22 Februari 1991 tapi pada bahagian bawah untuk pengesahan ditulis tahun 1990, ” katanya.



Tarikh pendaftaran (bulatan) pada surat beranak barunya yang telah diperbetulkan.

Mengakui terkejut dengan apa yang berlaku Bainul bagaimanapun memilih untuk melihat apa yang berlaku secara positif.

“Saya dapat belajar dengan orang yang lebih tua, lebih matang, ramai kawan dan agak dikenali di sekolah, malahan pada masa itu ada beberapa guru yang jadikan saya anak angkat.

“Saya dapat belajar membaca dengan cepat dan dapat kalahkan senior masa di sekolah kebangsaan walaupun saya masih enam tahun, ” katanya.



Bainul terpaksa masuk ke darjah satu di usia enam tahun disebabkan kesalahan pada surat beranaknya.

Menurut Bainul akibat daripada kesilapan itu juga dia terpaksa menghadiri dua sekolah pada satu masa.

“Saya perlu belajar dan cepat faham jadi memang agak penat sebab pagi saya kena pegi Sekolah Tadika Kemas Keratong 3, Rompin, Pahang, petang saya masuk darjah satu di Sekolah Rendah LKTP Keratong, 3.

“Tahun berikutnya pagi saya kena pegi sekolah agama tahun satu, petang saya kena masuk darjah dua sekolah kebangsaan, sehinggalah saya berpindah ke Kuantan sebab dekat sana tak ada sekolah agama jadi hanya sekolah satu sesi sahaja ikut umur tua setahun, ” katanya.

Selain dikenali dalam kalangan rakan-rakannya, situasinya yang dialaminya turut menarik perhatian rakan-rakan kakaknya yang kehairanan melihat kehadirannya di dua sekolah.

“Masa dekat sekolah memang kecoh, semua panggil saya adik sebab saya paling muda.

“Kawan kakak saya pun pelik sebab pagi nampak saya dekat tadika, petang masuk tahun satu, semua mereka tanya umur saya berapa sebenarnya.

“Cuma bila dah makin dewasa bila orang tanya umur saya akan jawab ikut tahun sekolah sebab saya malas nak jawab banyak soalan, ” katanya.



Bainul (dalam bulatan) gembira dapat belajar dengan rakan-rakan yang lebih berusia dan matang.

Menurut Bainul lagi dia tidak merasa sedih atau marah malah gembira kerana apa yang berlaku memberinya sedikit keistimewaan ketika berada disekolah.

“Masa tu saya seronok la sebab boleh habis sekolah awal dari usia, saya amek UPSR masa umur 11 tahun, SPM masa umur 16 tahun kemudian saya dah masuk tingkatan 1 baru saya ada kad pengenalan.

“Masa ni baru saya dapat surat beranak baru yang ikut tahun kelahiran saya, jadi saya ada dua surat beranak, satu yang ada dua tahun berbeza dan satu yang betul, ” katanya, menambah walaubagaimanapun surat beranaknya yang lama telah hilang akibat banjir yang menimpa kawasan rumah mereka dahulu.

Saya perlu belajar cepat dan cepat faham jadi memang agak penat sebab pagi saya kena pegi Sekolah Tadika Kemas Keratong 3, Rompin, Pahang, petang saya masuk darjah satu dekat Sekolah Rendah LKTP Keratong, 3.

- NUR BAINUL ADILA MOHAMMAD

Menurutnya jika bukan kerana Cikgu Daud yang kemudiannya mengambil dia sebagai anak angkat mereka sekeluarga mungkin tidak akan sedar akan kesilapan tersebut.

“Cikgu Daud guru kelas saya masa tahun satu dan dialah yang cari saya sampai ke rumah untuk suruh masuk sekolah dan mungkin sebab perkara macam ni jarang berlaku, dia jadikan saya anak angkat.

“Tapi hubungan kami terpisah lepas saya berpindah ke Kuantan ketika berusia 10 tahun.

“Selain Cikgu Daud, penyelia petang sekolah tersebut pun jadikan saya anak angkat tapi hubungan kami pun terpisah bila saya berpindah, ”katanya yang menambah situasi kembali normal apabila dia tamat persekolahan.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

ENDS.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain