suria

Upah cuci kereta RM10 berubah jadi ‘bayar seikhlas hati’, apa gadis ini buat sampai uncle Bangladesh tukar fikiran?- “Sebenarnya kereta tu tak kotor pun”

Syira (kanan) berkongsi pengalaman membantu seorang pencuci kereta warga Bangladesh.

TETAMU yang tidak diundang, namun kehadirannya amat dialu-alukan!

Tugasnya mungkin hanya mencuci kereta, tetapi layanan tuan rumah terhadap seorang lelaki begitu baik siap dimasak bihun goreng berlaukkan ayam goreng.

Rakaman menyentuh perasaan itu dikongsikan di aplikasi TikTok oleh seorang gadis sehingga dihujani pujian netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda belajar sesuatu daripada penjual nasi lemak selepas lalu kawasan perkuburan jam 5 pagi - "Selalu saya sanggup guna jalan jauh"

ARTIKEL BERKAITAN: Mak suruh belanja 2 makcik cleaner makan, anak turutkan saja tanpa banyak bunyi... tak lama kemudian datang rezeki tak pernah dijangka

Gadis berkenaan, Nur Syahira Erwanto, 22, berkata, rumahnya didatangi seorang lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 50-an yang menawarkan khidmat mencuci kereta, pagi Jumaat lalu.

"Uncle tu kata dia ada buat servis cuci kereta. Katanya tak ada duit, belum makan dan dia nak cari duit untuk makan... cuci kereta cuma caj RM10.

"Tapi masa tu saya dan ibu ada urusan, dan minta uncle tu datang semula tengah hari kalau dia okay. Dan dia memang datang semula tengah hari tu," katanya kepada mStar.



Syira mengambil inisiatif memasak bihun goreng untuk pencuci kereta tersebut.

Lebih mesra disapa Syira, katanya, lelaki tersebut bukanlah asing baginya kerana pernah melihatnya bekerja di sebuah kedai mencuci kereta berdekatan kediaman keluarganya.

Namun dia percaya kedatangan pekerja itu disebabkan kesan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau 'total lockdown' ketika ini yang memaksa penutupan kedai mencuci kereta.

"Pernah nampak uncle tu di kedai cuci kereta, tapi pertama kali uncle tu datang berjalan kaki dari rumah ke rumah. Dia bawa sebungkus plastik berisi sabun dan berus serta kain.

"Sebenarnya kereta tu tak kotor pun, baru je cuci sebelum lockdown hari tu. Tapi rasa kasihan kat uncle tu yang tak kenal penat cari rezeki," ujarnya yang menetap di Keramat, Kuala Lumpur.



Sebiji kek turut diberikan kepada pencuci kereta tersebut.

Melihat pencuci kereta itu melakukan tugasnya di waktu panas menimbulkan rasa belas ihsan dan perikemanusiaan dalam diri anak keempat daripada enam beradik itu.

"Sudahlah berjalan kaki, cuaca pula panas terik. Memang uncle tu kelihatan berpeluh tapi tetap bertenaga untuk mencuci kereta di luar rumah

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Saya tanya uncle tu dah makan ke, katanya belum. Jadi, saya tergerak hati untuk masakkan uncle tu bihun goreng. Memang saya masak untuk dia.

"Bila tengok kerajinan uncle tu, mengingatkan saya pada arwah ayah yang meninggal dunia ketika usia 50-an akibat kanser perut, lapan tahun lepas," katanya.

Mungkin ada antara kita berasa diri kita susah, tapi sebenarnya ada yang jauh lebih susah daripada kita. Sampai nak makan pun tercari-cari duit cukup ke tak

SYIRA

Selain membekalkan bihun goreng, kata Syira, dia turut memberikan sebotol air mineral dan sebiji kek untuk lelaki berkenaan membawa pulang setelah selesai mencuci kereta.

"Memang mulanya uncle tu tetapkan caj RM10, tapi masa nak balik dia kata bayarlah seikhlas hati. Tapi saya bagi uncle tu lebih kira sedekah. Berulang kali dia ucap terima kasih kerana bekalkan minuman dan makanan untuk dia," katanya yang mengusahakan bisnes kek secara dalam talian.



Pencuci kereta itu tidak pulang dengan tangan kosong.

Sehubungan itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dalam Perniagaan Antarabangsa di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berkata, perkongsiannya itu bagi menggalakkan lebih ramai membantu mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Mungkin ada antara kita berasa diri kita susah, tapi sebenarnya ada yang jauh lebih susah daripada kita. Sampai nak makan pun tercari-cari duit cukup ke tak.

"Tak kisahlah kita sedekah sikit pun asalkan ikhlas. Walaupun kita beri RM1 pun, tapi ia sudah cukup bermakna bagi mereka yang susah," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain