suria

16 Mei hari keramat... guru rindu momen murid ‘berlari dengan wajah girang’, ada jumpa sorok-sorok – “Keriangan satu hari direntap begitu sahaja”

Mohd Fadli terkenang momen diraikan pada Hari Guru. foto FB Mohd Fadli Salleh (rakaman foto sebelum pandemik Covid-19)

WALAUPUN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh negara sehingga awal bulan depan, ia bukan bermakna tarikh 16 Mei harus dilupakan.

Setiap tahun, tarikh ini merupakan detik istimewa bagi golongan pendidik iaitu Hari Guru bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam mendidik masyarakat.

Seorang guru yang tidak asing lagi di media sosial atas usaha dan sumbangannya dalam aktiviti kemasyarakatan turut berkongsi luahan rasa sempena hari keramat untuk semua guru di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: "Jangan buka sekarang, saya malu" - Guru tak akan lupa bisikan murid yatim pada hari jadinya, meruntun hati tengok hadiah dalam kotak kasut

ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara mahu tinggalkan pelajar, guru akur makan mi segera dalam baldi... guna hanger patah pula - "Bila saya suap, tiba-tiba dia rindukan ayah"

"Tahun ini, tiada lagi anak-anak berlari dengan wajah girang memegang bunga dan hadiah di tangan sambil menjerit penuh tak sabar, Cikgu! Cikgu! Saya bawa hadiah untuk cikgu. Dihulur hadiah dengan penuh perasaan bangga. Puas sungguh dia dapat memberi sesuatu pada guru yang paling dia suka.

"Tiada lagi anak murid miskin datang jumpa sorok-sorok saat orang lain tak ada. Datang dengan malu menunduk tidak berani bertentang mata seraya berkata, Cikgu, saya tak ada hadiah. Tapi saya buat kad untuk cikgu. Anak itu dipeluk kasih dan perlahan bisikan guru di telinga murid," tulis guru, Mohd Fadli Salleh di Facebook beliau.



Banyak hadiah yang diterima Mohd Fadli. (rakaman foto sebelum pandemik Covid-19)

Namun kata Mohd Fadli, pemberian hadiah bukanlah satu kepentingan yang diharapkan oleh guru-guru termasuk beliau sendiri setiap kali sambutan Hari Guru setiap tahun.

"Cikgu bukan pentingkan hadiah. Awak datang hulur sekeping kad begini pun cikgu seronok sangat. Cikgu yakin awak akan berjaya suatu hari nanti. Terima kasih, cantik sangat kad awak buat ni.

"Anak itu berlalu pergi dengan senyuman yang paling lebar dalam hidupnya. Dengan kegembiraan tidak terkata dipuji gurunya. Dengan semangat paling berkobar bila guru menaruh kepercayaan kepadanya," ujarnya.

Dalam pada itu, guru berkenaan turut mengimbas kenangan apabila guru menerima kiriman hasil tangan ibu murid-murid sempena Hari Guru.

"Cikgu. Mak kata mak tak ada duit nak beli hadiah. Tapi mak buat pulut untuk cikgu. Wahhh! Sedapnya pulut mak awak buat. Cakap kat mak, cikgu cakap terima kasih dan pulut ni sedap sangat," katanya.



Kegembiraan murid-murid pada Hari Guru. (rakaman foto sebelum pandemik Covid-19)

Menurut Mohd Fadli, murid-murid juga yang paling bahagia ketika itu, dengan bersinar mata kegembiraan apabila guru dengan penuh penghargaan menerima hadiah mereka.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Murid-murid dalam kalangan anak yatim dan asnaf turut tidak terkecuali bersemangat memberi penghargaan kepada guru-guru.

Murid berkenaan datang menghulurkan sebatang pen yang telah digunakan milik kakak atau abang mereka, dengan niat untuk dihadiahkan kepada guru kesayangan.

"Dipeluk lagi anak itu dengan penuh kasih. Dengan sebak di dada. Betapa anak ini cuba menggembirakan guru walau dia sebenarnya tidak mampu," tambahnya.

Aku rindu saat ini. Rindu momen begini. Suatu momen yang seketika cuma, namun pasti diingat sampai penghujung nyawa

MOHD FADLI SALLEH

Mohd Fadli berkata, momen yang dikongsikan beliau bukanlah rekaan semata-mata, sebaliknya ia dilaluinya sendiri sepanjang 16 tahun bergelar guru.

"Bermacam momen penuh dengan suka duka, hilai tawa, tangis hiba, dilalui hanya dengan mengajar anak-anak ini. Tahun ini, tiada lagi sambutan seperti ini.

"Tiada lagi satu hari yang dinanti guru, dinanti murid, penuh dengan kegembiraan, penuh dengan senyuman, penuh dengan wajah-wajah girang. Tahun ini tidak lagi sama, langsung tidak serupa," ujarnya.



Pengalaman 16 tahun Mohd Fadli sebagai guru dipenuhi suka duka. (rakaman foto sebelum pandemik Covid-19)

Jelasnya, keriangan sambutan Hari Guru tahun ini tidak dapat dirasai seperti berbelas tahun pengalaman beliau dalam bidang perguruan, angkara pandemik Covid-19.

"Ah, Covid-19 meragut segala kegembiraan ini. Satu keriangan untuk satu hari direntap begitu sahaja. Dibawa pergi bagai angin barat menghembus debu-debu yang bertebaran.

"Aku rindu saat ini. Rindu momen begini. Suatu momen yang seketika cuma, namun pasti diingat sampai penghujung nyawa.

"Selamat Hari Guru buat semua guru-guru di seluruh dunia. Terutama kepada semua guru yang pernah mengajar aku dari dulu hingga kini.

"Tiada kata untuk menunjukkan betapa terhutang budinya aku pada kalian yang bergelar sebagai guru. Semoga Allah merahmati kalian semua, menerima segala amalan dan kurniakan syurga. Amin," kata Mohd Fadli.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain