suria

Bertekak sampai bapa tenat, doktor bertugas malam 2 Syawal sayu lihat anak menyesal... hanya mampu dakap, ucap “maaf zahir batin, abah”

Dr Kamarul berkongsi kisah seorang bapa yang terlantar di hospital pada malam 2 Syawal. -gambar hiasan

BERTUGAS semasa Hari Raya Aidilfitri pastinya merupakan perkara biasa buat mereka yang bekerja dalam bidang perubatan.

Tugas mereka untuk merawat dan menyelamatkan pesakit tanpa mengira masa meskipun terpaksa melupakan seketika keterujaan untuk menyambut lebaran.

Seorang doktor lelaki mengimbas kembali pengalamannya yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma di sebuah hospital di Johor, pada malam 2 Syawal tahun 2014.

ARTIKEL BERKAITAN: Digelar 'doktor kiriman tuhan' tapi tak mampu selamatkan bayi pramatang... jantung berdegup laju jam 1 pagi - "Jika hidup sampai esok pagi, itu keajaiban"

ARTIKEL BERKAITAN: Pesakit strok enggan lepas genggaman tangan, siapa sangka soalan yang ditanya buat doktor menyesal - "Lebih baik makcik tak ingat"

Menurut doktor itu, beliau memeriksa imej daripada mesin pengimbas tomografi berkomputer (CT) yang mengimbas otak seorang pesakit lelaki berumur 63 tahun.

"Aku hanya mampu menggelengkan kepala. Pendarahan besar pada basal ganglia (bahagian otak) sebelah kanan. Aku dah agak dah!

"Perkara yang aku paling tak suka sebagai seorang doktor adalah memberitahu berita buruk kepada pesakit. Ia membuatkan aku kecut perut.

"Hari itu adalah hari ke-2 Aidilfitri, berita yang bakal aku beritahu kepada ahli keluarga bakal melenyapkan kegembiraan mereka," Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan berkongsi pengalaman itu di Facebook beliau.



Seorang pesakit yang dimasukkan ke hospital pada Aidilfitri perlu dirawat segera. - gambar hiasan

Dr Kamarul yang berpengalaman dalam bidang perubatan kira-kira 10 tahun itu berkata, beberapa jam sebelum itu, pesakit berkenaan dibawa ke hospital oleh ahli keluarga yang mengadu lemah anggota kiri dan meracau.

Jelas beliau, selepas pemeriksaan fizikal yang fokus, pesakit tersebut disyaki mendapat angin ahmar, namun perlu mendapatkan kepastian kerana ia juga kemungkinan disebabkan trauma.

"Jika pendarahan disebabkan masalah perubatan, kes akan dirujuk kepada doktor perubatan dalaman. Jika disebabkan oleh trauma, kes dirujuk kepada doktor pembedahan.

"Jadi, aku perlu tahu apa yang berlaku sebelum pesakit jadi begini. Memandangkan pesakit agak renyah, aku panggil warisnya untuk mendapatkan maklumat lanjut. Isteri dan anak lelakinya tampil ke zon merah," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Isteri pesakit itu memaklumkan suaminya hanya menghidap darah tinggi, sebelum anak lelaki memaklumkan bapanya tidak dapat bergerak dan bercakap tidak jelas sejak petang.

"Masa tu, dia tengah buat apa? Ada terjatuh? Saya cuba singkirkan kemungkinan trauma sebagai penyebab.

"Anak pesakit, seorang pemuda berumur dalam lingkungan 30-an, mendadak keluar dari bilik konsultasi zon merah, meninggalkan emaknya untuk menjawab soalan aku tadi. Setelah beberapa ketika mendiamkan diri, makcik mula bersuara.

"Tadi pakcik tegur anak saya tu sebab asyik bertengkar dengan orang rumah (isteri) dia. Lepas tu, anak makcik melenting. Habis dua beranak tu pula bertekak. Tiba-tiba pakcik jadi macam ni," ujar Dr Kamarul memetik perbualan bersama isteri pesakit sambil menambah menjalani imbasan CT terhadap otak pesakit berkenaan.

Anda dah bermaaf-maafan dengan ibu bapa, ahli keluarga dan sanak saudara? Jika belum, pergilah mohon kemaafan daripada mereka selagi ada peluang. Jangan tunggu Hari Raya

DR KAMARUL ARIFFIN

Sebaik imbasan CT tersebut, beliau memanggil semula waris ke bilik konsultasi dan kali ini seluruh ahli keluarga masuk bersama.

"Alamak! Ahli keluarga akan bertanya, mereka pasti ingin tahu penyebab dan keadaan pesakit. Makcik dengan abang tunggu, yang lain keluar dulu, arahku.

"Aku perlu hormati privasi pesakit. Aku tak mahu beritahu sesuatu yang peribadi kepada mereka semua. Mereka mungkin tidak tahu hal yang berlaku antara pesakit dan anaknya petang tadi.

"Andai kata mereka dapat tahu juga nanti, semestinya bukan daripada mulut aku. Aku terangkan kepada isteri dan anak pesakit bahawa tekanan emosi boleh menjadi pencetus tekanan darah untuk melambung tinggi," ujarnya.



Dr Kamarul berkongsi pengalaman mengendalikan pesakit pada 2 Syawal.

Mengulas lanjut, Dr Kamarul berkata, pembuluh darah di otak hanya boleh menahan tekanan sehingga suatu tahap sebelum ia pecah dan pendarahan itu menyebabkan pesakit mendapat simptom-simptom tersebut sebagaimana yang telah berlaku.

"Mereka faham, hanya mengangguk. Maaf zahir batin, abah... ucapnya, lalu mendakap ayahnya erat. Bercucuran air mata," ujar beliau yang merujuk kepada kata-kata anak lelaki pesakit.

Dr Kamarul yang kini merupakan pengarah di sebuah pusat rehabilitasi dan fisioterapi di Johor berkata, pesakit terbabit kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru sebelum tengah malam.

"Di sini kami tiada pakar bedah neurologi untuk kendalikan pembedahan kes ini. Jadi, aku tak pasti apa kesudahannya. Aku harap itu bukan lebaran terakhir buat pakcik.

"Anda dah bermaaf-maafan dengan ibu bapa, ahli keluarga dan sanak saudara? Jika belum, pergilah mohon kemaafan daripada mereka selagi ada peluang. Jangan tunggu Hari Raya," ujar Dr Kamarul yang merindui untuk bertugas secara 'on call' pada Aidilfitri.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain