suria

Gigih jual online walau tak pandai IT! Anak tak dapat rentas negeri hanya mampu bantu mak ayah cari rezeki dari jauh – “Ajar hari ini, esok kena ajar lagi”

Kegigihan ibu bapa Aliuddin mencari rezeki di kampung. Gambar kecil menunjukkan ibu bapa Aliuddin yang menetap di Alor Setar, Kedah.

BIAR jauh di mata, tapi dekat di hati. Begitulah sayu melihat seorang anak yang dari jauh berulang kali mengajar ibu bapanya, demi mencari rezeki, dek kerana larangan rentas negeri.

"Semangatnya mak abah aku mencari rezeki boleh kata hari-hari video call sebab nak ajar depa (mereka) cara print airwaybill.

"Ajar hari ni, esok kena ajar lagi. Mak ayah aku tak pandai IT. Semoga murah rezeki depa," menurut ciapan seorang pemuda di laman Twitter yang diulang kicau lebih 7,000 kali.

ARTIKEL BERKAITAN: Minta rentas negeri tapi 'tak lepas', 3 beranak menangis jumpa di sempadan disaksikan abang polis... juadah air tangan ibu ubat rindu anak

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu pasang sebab nak pantau mak ayah, CCTV di kampung kini 'lebih berjasa' selepas larangan rentas negeri - "Sebak tengok aktiviti mereka hanya dari jauh"

Pemuda berkenaan, Aliuddin Abdul Aziz berkata, ibu bapanya masing-masing berusia 59 dan 67 tahun menetap di Alor Setar, Kedah, sementara dia kini bekerja di Bangi, Selangor.



Luahan Aliuddin di laman Twitter.

Anak berusia 30 tahun itu memberitahu, kedua-dua orang tuanya telah berniaga sejak bertahun-tahun tetapi baru memulakan bisnes baju kurung dan baju kemeja sejak tahun lalu.

"Mak ayah pernah berniaga di pasar-pasar pagi sekitar Alor Setar. Tapi sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) selain bimbang dengan peningkatan kes Covid-19, mereka beralih kepada bisnes online (secara dalam talian).

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Tahun lepas ada adik perempuan yang kini berusia 21 tahun yang masih belajar, berada di rumah kerana cuti semester selain mengikuti kelas online. Jadi adik yang banyak membantu mak ayah dalam operasi bisnes online mereka," katanya kepada mStar.



Ibu bapa Aliuddin beniaga baju kurung dan baju kemeja.

Aliuddin berkata, segala aktiviti promosi di media sosial dan operasi menerusi platform e-dagang dikendalikannya bersama adik-beradik lain bagi membantu ibu bapa yang kurang mahir menggunakan Internet.

"Mak lebih tertumpu kepada urusan tempahan dan stok serta pembungkusan baju-baju, manakala ayah pula berurusan dari segi penghantaran parcel melalui kurier.

"Tapi sejak adik perempuan kembali ke kolejnya di Seremban, Negeri Sembilan bagi meneruskan pengajian, jadi tinggallah mak ayah berdua je di kampung. Pada masa sama, bisnes baju mak ayah perlu diteruskan sebagai sumber rezeki," ujarnya yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik.

Walaupun telah diajar untuk mengendalikan bisnes secara dalam talian, jelasnya, ibu bapanya masih perlu diberikan tunjuk ajar seperti cara mencetak airway bill atau maklumat pelanggan dan penghantaran menerusi rujukan tracking number.



Tekun belajar untuk mengendalikan bisnes dalam talian.

"Bukan tak dilatih, tapi mungkin atas faktor usia selain kurang mahir dalam IT, jadi mak ayah kadang-kadang lupa dan ambil masa untuk sesuaikan diri dengan cara baru.

"Tapi saya kagum dengan mak ayah sebab mereka sentiasa teruja nak belajar benda baru walaupun ambil masa. Sebagai anak, saya bersama adik-beradik lain bantu ajar mak ayah dari jauh menerusi video call berulang kali," katanya.

Saya kagum dengan mak ayah sebab mereka sentiasa teruja nak belajar benda baru walaupun ambil masa.

ALIUDDIN

Menurut jurutera itu, kali terakhir dia pulang ke kampung bertemu ibu bapanya pada Disember tahun lalu dan sejak itu hanya video call mengubat rindu dari kejauhan.

"Sedih juga sebab tak dapat ajar mak ayah secara berdepan. Hanya video call jadi pengganti untuk ajar mereka dan melepaskan rindu... dan tahun ini merupakan kali kedua saya tidak dapat beraya di kampung kerana larangan rentas negeri," ujarnya.



Aliuddin (tengah) bersama ibu dan bapanya.

Tambah Aliuddin, purata jualan baju-baju sebelum ini adalah kira-kira 30 parcel seminggu dan jumlah itu meningkat kepada sekitar 20 parcel sehari sepanjang Ramadan.

"Alhamdulillah, rezeki mak ayah di bulan Ramadan. Kami anak-anak tumpang gembira. Selepas ni kami adik-beradik nak ajar mak ayah promosi baju secara FB live pula.

"Tapi orang lama kan, jadi ambil masa untuk belajar. Tapi saya tahu mak ayah seronok belajar benda-benda baru dan kami anak-anak tak jemu ajar berulang kali," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain