suria

Tak sabar nak buka kedai gunting rambut, pemuda ini tinggalkan universiti selepas belajar 1 semester! Dulu kerja cuci pinggan, kini ada bisnes sendiri

Syazwan pernah bekerja di sebuah kedai makan sebelum berjaya membuka kedai gunting rambut sendiri.

DI MANA ada kemahuan, di situ ada jalan.

Itulah peribahasa yang sesuai bagi menggambarkan perjalanan hidup seorang pemuda yang mengejar cita-citanya untuk bergelar tukang gunting rambut.

Perjalanan Muhammad Syazwan Azari, 21, untuk mengejar impiannya itu bukanlah mudah. Apa yang dimiliki pada hari ini adalah hasil titik peluhnya sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang guard kulit ‘bersisik’ suka buat video Tiktok waktu malam, ada yang kata terkena sumpahan - “Tak perlu kaitkan ibu, arwah ayah saya”

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu tebar roti canai, kini Ketua Polis Johor... Ayob Khan tak lupa asal usul

Mesra disapa Syazwan, dia mula bekerja secara sambilan sejak berusia 15 tahun di sebuah kedai makan yang terletak di George Town, Pulau Pinang.

Walaupun dipandang rendah oleh masyarakat kerana tidak melanjutkan pelajaran selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), anak kedua daripada empat beradik itu tidak berputus asa mencari rezeki walau hanya bekerja mencuci pinggan.

“Mula-mula saya kerja part time cuci pinggan di The Chicken Rice Shop selama setahun dan selepas tu bekerja di kedai roti bakar kepunyaan bapa saudara di Hutton Lane, George Town.

“Selama setahun saya bekerja di situ, ada pelanggan yang bandingkan saya dengan anak-anak mereka yang kerja lebih bagus. Waktu saya kerja dulu pernah juga orang ingat saya ni pekerja asing. Saudara sendiri pun pandang rendah pada saya sebab tak sambung belajar.

“Ada juga yang cakap-cakap tentang diri saya dekat ibu bapa saya, tapi mereka kata biarkan sahaja apa orang nak cakap,” katanya ketika dihubungi mStar.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]



Syazwan (dua, kanan) merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik.

Bagaimanapun, disebabkan rasa tanggungjawab sebagai seorang anak, Syazwan melanjutkan pelajaran di Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) dalam jurusan Diploma Pengurusan Bisnes.

Namun dia hanya mampu bertahan selama satu semester sahaja kerana lebih berminat untuk menjadi seorang tukang gunting rambut.

“Sejak tingkatan satu lagi saya memang suka tengok orang gunting rambut sebab seronok dapat bergaya. Saya banyak belajar cara bagaimana nak menggunting rambut melalui YouTube dan Instagram.

“Cuma saya tak berpeluang untuk mempraktikkan ilmu tersebut pada rambut orang je. Waktu bekerja di kedai roti bakar, saya dapat tawaran untuk bekerja sebagai tukang gunting rambut dan belajar lebih mendalam lagi di Mat Saleh Barber di Batu Lanchang.

“Memandangkan waktu kerja saya di kedai roti bakar dari pukul 6 pagi sehingga 2 petang, jadi selepas selesai tugasan di situ barulah saya ke Mat Saleh Barber untuk lakukan pekerjaan kedua dari jam 3 petang hingga ke 11 malam," katanya yang merupakan anak jati Pulau Pinang.

Saya mengajar budak-budak muda yang lain sebab tak nak mereka hanyut dengan melakukan aktiviti yang tidak berfaedah.

MUHAMMAD SYAZWAN AZARI

Menurut Syazwan, dia bekerja selama setahun di situ dan sempat membuat kelas mengajar golongan muda yang mahu menjadi tukang gunting rambut.

Kelas tersebut dilakukan di Mat Saleh Barber dan juga di beberapa kedai gunting rambut lain sekitar George Town.



Setelah setahun menuntut ilmu di Mat Saleh Barber, Syazwan mengambil keputusan untuk membuka kedai gunting rambutnya sendiri yang diberi nama Bruno Barbershop.

“Saya mengajar budak-budak muda yang lain sebab tak nak mereka hanyut dengan melakukan aktiviti yang tak berfaedah. Saya tahu bagaimana perasaan bila orang tak nak layan dan pandang rendah sebab kita tak belajar tinggi.

“Lagipun, mana tahu kalau mereka lebih berbakat dari saya lepas ni? Saya tak pernah pun pandang rendah pada mereka, setiap orang pasti ada potensi untuk berjaya, ” ujarnya.

Kini Syazwan telah pun berjaya membuka sebuah kedai gunting rambut yang terletak di Lebuh Chulia, George Town, dengan hasil wang yang dikumpulkan selama bekerja sebelum ini. Dia juga mengeluarkan produk rambut seperti syampu dan pomade yang boleh didapati di kedainya sendiri dan juga kedai gunting rambut di seluruh Pulau Pinang.

Untuk rekod, Syazwan memuat naik video tentang kisah hidupnya di aplikasi TikTok dan meraih sebanyak 21.7 ribu tontonan serta ucapan tahniah dari netizen atas kejayaan yang diperolehi pada usia muda.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain