suria

Dikompaun RM50,000, isteri peniaga burger dedah ada orang tak puas hati - “Kami hanya cari makan depan tangga rumah...”

Notis kompaun RM50,000 yang dikeluarkan kepada Wan Mohd Faisal menjadi tular di media sosial. Foto: FB Faisal Burger

"TIDAK adil kami dikenakan kompaun dalam jumlah yang begitu besar, kami bukan pemilik restoran tapi hanya berniaga depan tangga rumah"

Demikian luahan penuh kecewa Nor Laili Shafii, selepas gerai burger yang diusahakan bersama suami, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, dikenakan kompaun oleh pihak polis gara-gara beroperasi melebihi had masa ditetapkan.

Bercerita kepada mStar, Nor Laili berkata gerai mereka yang terletak di hadapan rumah di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu didatangi anggota polis yang menaiki sebuah kereta pada kira-kira pukul 11 malam Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Order ‘kencang’ dari pagi sampai malam... video sayu peniaga dikompaun selepas jual 5 botol air terima 1.3 juta tontonan!

ARTIKEL BERKAITAN: Kekangan PKP, takut kena kompaun... jurugambar buat photoshoot atas bumbung rumah! Mana perginya pengantin lelaki?

"Masa itu saya dan suami sedang menyiapkan tempahan burger pelanggan... memang tiada seorang pun pelanggan di gerai ketika itu, hanya saya dan suami serta empat pekerja.

"Anggota polis keluar daripada kereta dan bertanya kenapa tak tutup lagi? Kami jelaskan sedang siapkan pesanan pelanggan yang merupakan pekerja kilang dan akan hantar (COD). Memang tak berniaga dah masa itu.

"Mereka terus meminta kad pengenalan, kami merayu dan beritahu akan terus tutup gerai tapi nampaknya rayuan tak didengari. Mereka terus keluarkan kompaun.

"Bila tengok jumlah tu memang terkejut... biar betul. Kami hanya berniaga cari makan depan tangga rumah, dan tiada seorang pun pelanggan. Namun tanpa budi bicara, kompaun terus dikeluarkan... tiada amaran atau budi bicara," kata wanita berusia 37 tahun ini.



Suami Nor Laili, Wan Mohd Faisal kebiasannya akan menghantar burger yang ditempah pelanggan.

Tambah wanita ini, menerusi apa yang dimaklumkan anggota polis, ada pihak lain yang membuat laporan mengenai gerainya beroperasi melebih waktu ditetapkan.

Difahamkan, kompaun tersebut merupakan kes berulang selepas kali pertama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini apabila mereka dikenakan kompaun RM1,000.

Untuk rekod operasi premis kedai makan atau restoran di Kelantan dihadkan sehingga pukul 10 malam sahaja sepanjang tempoh PKP yang sedang dikuatkuasakan.

Kami hanya berniaga cari makan depan tangga rumah, dan tiada seorang pun pelanggan. Namun tanpa budi bicara, kompaun terus dikeluarkan.

NOR LAILI SHAFII

ISTERI

"Mungkin ada yang tak puas hati dengan sambutan yang diterima gerai kami. Kami dah berniaga burger selama belasan tahun cuma hanya tahun lalu baru berniaga di depan rumah sebab PKP. Boleh dikatakan ramai yang tahu gerai Faisal Burger.

"Lagi pula ramai yang bekerja shif contohnya pekerja kilang. Waktu-waktu pukul 10 macam tu baru mereka nak cari beli makanan, dan ada juga nak beli untuk bersahur. Tapi dah ditetapkan operasi sehingga 10 malam sahaja.

"Pasal lebih masa, saya rasa banyak juga kedai yang ikut peraturan. Disebabkan itu saya rasa kalau nak adil, biarlah adil dan kuat kuasa peraturan kepada semua," ujarnya.

Tambah Nor Laili, bisnes burger merupakan satu-satunya mata pencariannya bersama suami justeru mereka terlalu berharap agar nilai kompaun yang dikenakan agar dipertimbangkan semula.



Antara komen netizen yang turut bersimpati dengan nasib pasangan suami isteri tersebut.

"Bayangkan, kami hanya berniaga burger tapi begitu besar nilai kompaun yang dikenakan. Kami bukannya pemilik restoran. Namun kami anggap ini ujian Ramadan.

"Namun apapun kami bercadang untuk mengemukakan rayuan kelak," ujarnya lagi.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Terdahulu, perkongsian yang dibuat mengenai perkara berkenaan di laman Facebook menjadi tular di mana sehingga kini ia meraih 5,300 shares.

Rata-rata netizen turut meluahkan rasa simpati dengan nasib pasangan suami isteri berkenaan, malah ada yang turut meminta nombor akaun bagi menyalurkan sedikit sumbangan kepada mereka.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain