suria

Selepas 7 bulan tak jumpa, pasangan suami isteri menangis anak muncul dalam rumah bagi tabik hormat... segak beruniform polis

Ibu dan bapa Sharul Aidel tidak dapat lagi menahan sebak apabila dikejutkan dengan kepulangan anak mereka.

SELAMA manakah kita boleh hidup tanpa berhubungan dengan ahli keluarga?

Walaupun ramai antara kita tinggal berjauhan dengan ibu bapa sama ada kerana urusan kerja atau belajar, bertanya khabar melalui telefon adalah satu kemestian.

Tetapi jika tidak dapat bertemu dengan ahli keluarga selama tujuh bulan tanpa mengetahui sebarang khabar mereka, sudah pasti itu sesuatu yang berat untuk ditanggung.

Namun, itulah yang perlu dihadapi Sharul Aidel Adnan, 23, yang menjalani latihan rekrut polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Bukit Sentosa, Rawang, Selangor dan video kepulangannya ke rumah selepas tamat latihan telah dikongsi oleh abangnya Sharul Afiq, 27.

Rakaman yang dimuat naik itu meraih satu juta tontonan di aplikasi Tiktok yang mana rata-rata netizen tersentuh melihat Sharul Aidel berpelukan dengan kedua orang tuanya dan masing-masing saling menangis kerana terlalu rindu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sering kongsi kisah wanita dan cinta, tapi ramai lebih berminat tengok wajah ala bintang Korea jejaka ini - “Saya tanya kawan kena perli, malu”

ARTIKEL BERKAITAN: Telefon vibrate masa solat tarawih di surau, imam dedah ada kisah silam cengkerik masuk kain - “Geli di dada sampai terasa dekat ketiak”

Ketika dihubungi mStar, abangnya yang lebih mesra disapa Afiq berkata, dia sebenarnya telah berpakat dengan Sharul Aidel untuk membuat kejutan pada hari tersebut kerana adiknya itu sudah lama tidak berjumpa dengan ibu bapa mereka.

Aidel mula menjalani latihan pada November tahun lalu dan baru berpeluang untuk berjumpa dengan ahli keluarganya pada 19 April lalu selepas lebih kurang tujuh bulan dia berada di pusat latihan.

Aidel memulakan sesi rekrut di Pusat Latihan Polis Bukit Sentosa, Rawang pada November 2020.

"Selalunya kalau yang masuk rekrut ni, mereka akan diberikan peluang untuk outing, tetapi sebab Covid-19 tak dapatlah nak keluar. Adik saya pun sepatunya ada dapat cuti seminggu selepas tamat latihan tetapi dia tak dapat keluar kerana bilangan kes meningkat.

"Nak dijadikan cerita, Aidel ada telefon saya pada Ahad lalu dan beritahu saya yang pegawai dia tanya sama ada nak cuti atau tidak. Dia pun memilih untuk ambil cuti sebab dah lama tak balik jumpa keluarga," katanya sambil menambah mereka sekeluarga menetap di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, bagi memastikan rancangan kejutan itu menjadi, dia terpaksa menipu ibunya Azura Abu Bakar, 47, dengan menyuruh wanita itu memasak lauk kegemaran Aidel untuk dihantar ke pusat latihan.

Afiq (dua, kanan) berpakat dengan Aidel (kanan) untuk membuat kejutan kepada ibu bapa mereka.

Tanpa mengesyaki apa-apa, kedua orang tuanya hanya menurut permintaan Afiq dan keluar bersama-sama bagi membeli bahan untuk menyediakan sup tulang untuk dihantar kepada Aidel yang merupakan anak ketiga dalam keluarga.

"Aidel dan abah berkongsi tarikh lahir iaitu 19 April, kebetulan hari yang dia nak balik rumah itu adalah pada hari lahir mereka. Jadi masa adik saya masuk rumah tu memang ibu dan abah tergamamlah.

"Ibu saya sampai tak boleh nak makan sebab terlalu terkejut tengok anak dia dah ada depan mata. Kami adik beradik yang paksa dia minum air kerana dia tak boleh berhenti menangis.

"Ibu saya asyik usap kepala adik sambil cakap 'kenapa tak bagitahu nak balik, kalau ibu ada sakit jantung macam mana?', kami hanya mampu ketawa sahaja bila dia cakap begitu," ujarnya.

Bila tengok Aidel dah berjaya tamat latihan di PULAPOL, tercapai lah impian abah nak tengok salah seorang anaknya jadi anggota polis.

SHARUL AFIQ ADNAN

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menerusi video yang tular itu, Aidel dilihat tenang masuk ke dalam rumah dan terus memberi tabik hormat sebaik sahaja melihat ibu bapanya di meja makan sebelum mereka saling berpelukan.

Afiq juga memberitahu bahawa bapanya Adnan Che Kasim, 51, merupakan seorang bekas Angkatan Tentera Malaysia yang telah berkhidmat selama 26 tahun. Bapanya mempunyai impian melihat salah seorang daripada anaknya menjadi anggota polis.

Adnan (kiri) berkongsi tarikh lahir dengan anaknya Aidel.

"Keturunan keluarga ibu dan abah saya semuanya terdiri daripada bekas tentera. Aidel pun pernah nak mohon jadi tentera tapi abah tak bagi. Katanya dia nak kelainan dalam famili.

"Bila tengok Aidel dah berjaya tamat latihan di Pulapol, tercapailah impian abah nak tengok salah seorang anaknya jadi anggota polis," katanya yang berkerja sebagai penghantar di sebuah hospital swasta yang terletak di Kuala Lumpur.

Setelah tamat latihannya di PULAPOL Bukit Sentosa, kini Aidel ditugaskan untuk melapor diri dan berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara, Johor.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain