suria

Sering ‘dambakan pujian’, anak menyesal fikir buruk tentang bapa... rahsia terbongkar ketika kemas barang arwah - “Macam nak pecah dada”

Adzim bersama arwah bapanya, Allahyarham Muhammad Mazlan Jalal ketika hari graduasi.

LULUH hati seorang pemuda apabila dia sama sekali tidak pernah menyangka akan menerima pujian 'melambung' hanya selepas bapa kesayangan dijemput Illahi pada April lalu.

Luahannya yang dibuat melalui tweet di laman Twitter itu mengundang sebak dalam kalangan netizen, malah tak kurang juga mengambil kesempatan berkongsi pendapat dan memberikan kata-kata semangat buatnya dirinya.

Bercerita lanjut mengenai kisahnya yang tular kepada mStar, Muhammad Amirul Adzim Muhammad Mazlan, 28, mengimbas kembali bagaimana dia sangat meminati bidang fotografi yang telah diceburinya sejak lima tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Berhenti jadi peguam demi ibu, tak mahu insiden 12 tahun lalu berulang... terkilan tak luahkan rasa sayang – “Doktor kata ayah ada 6 bulan, tapi 2 minggu kemudian dah pergi”

ARTIKEL BERKAITAN: Sayu... Adik bertafakur di sisi jenazah bapa sebelum jawab SPM, sempat bergegas pulang untuk solat jenazah - “Saat lihat saya solat, arwah menangis kesyukuran”

Sebelum kehilangan bapanya, dia yang lebih mesra disapa Adzim mengakui mempunyai persepsi negatif terhadap arwah kerana sepanjang menceburi bidang tersebut dirinya langsung tidak pernah dipuji apatah lagi menerima kata-kata semangat daripada insan yang disanjung tinggi itu.

Anak sulung daripada tujuh adik beradik itu berkata, dia menjadi 'anak yang paling jauh' dari segi hubungan dengan bapanya kerana sudah melanjutkan pengajian di beberapa buah negeri sejak usia muda.



Perkongsian Adzim di Twitter benar-benar mengundang sebak netizen.

Arwah bapanya, Muhammad Mazlan Jalal meninggal dunia pada usia 58 tahun, April tahun lalu, akibat kanser paru-paru tahap empat.

"Walaupun anak sulung, tapi saya dengan ayah tak rapat sangat sebab saya banyak berjauhan dengan dia berbanding adik beradik lain.

"Saya pula sejenis suka buat keputusan sendiri mengikut kehendak dan minat. Mungkin sebab itu saya rasa kurang dapat kasih sayang seorang bapa.

"Sepanjang saya dalam bidang fotografi, ayah langsung tak pernah puji saya... menang pertandingan pun dia diam saja.



Foto kenangan Adzim (tengah, depan) bersama arwah bapa dan ahli keluarganya.

"Masa tu dalam fikiran saya, biasalah bidang fotografi... mak ayah mana yang suka. Selalunya mereka impikan anak jadi cikgu, doktor, peguam dan sebagainya," ujarnya.

Bagaimanapun, tanggapan tersebut sama sekali tidak betul dan ia hanya terbongkar seminggu selepas bapanya meninggal dunia.

Adzim berkata, pada masa itulah dia amat terkejut mendengar cerita daripada beberapa staf ketika berkunjung ke pejabat bapanya.

Kalaulah dia masih ada, saya akan minta maaf, peluk dan menghargainya betul-betul.

MUHAMMAD AMIRUL ADZIM MUHAMMAD MAZLAN

ANAK

Menurut Adzim yang bekerja sebagai penyelaras media sosial di sebuah syarikat swasta itu, selepas mendengar cerita tersebut dia terus pulang ke rumah dan menangis teresak-esak di dalam bilik bapanya.

"Seminggu selepas ayah meninggal, saya ke pejabatnya untuk ambil barang-barang. Sampai di sana mereka tanya 'anak Mazlan ke' sebab tak pernah tengok saya... mungkin adik beradik yang lain mereka pernah tengok kot.

"Saya pun terus jawab 'ya anak sulung'. Mereka terus buka cerita yang ayah saya selalu tunjuk gambar-gambar saya ambil dan sentiasa puji bakat saya.



Adzim bersama hasil bidikan lensanya ketika satu pameran fotografi.

"Masa tu saya tahan sebak sangat. Macam nak pecah dada. Saya tak pernah sangka kata-kata tu keluar daripada mulut mereka. Saya ingatkan ayah tak pandang langsung pencapaian dan kejayaan saya," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Adzim yang menetap di Shah Alam, Selangor berkata perkongsian tweet itu dibuat apabila dia membelek galeri telefon lalu terkenangkan bapanya, baru-baru ini.

"Saya dekat tempat kerja masa tu. Tiba-tiba rasa nak buka galeri tengok gambar-gambar lama yang saya ambil.

"Tiba-tiba perasaan sayu tu muncul. Rasa sedih yang tak terungkap. Saya rindu sangat arwah ayah. Saya menyesal ada persepsi negatif kepadanya dulu.



Salah satu foto yang dirakam Adzim.

"Kalaulah dia masih ada, saya akan minta maaf, peluk dan menghargainya betul-betul," katanya.

Adzim memberitahu kini ibunya, Zahratol Akmar Abdul Rahman, 57, masih bertugas sebagai pensyarah di pusat Matrikulasi Arau, Perlis dan kesemua adik beradiknya sudah bekerja.

Sementara itu, dia meluahkan rasa syukur dan menganggap kejayaan yang dimilikinya sekarang mampu membuatkan ibu dan arwah bapanya berasa bangga.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p


Artikel Berkaitan

Artikel Lain