suria

Berhenti jadi peguam demi ibu, tak mahu insiden 12 tahun lalu berulang... terkilan tak luahkan rasa sayang – “Doktor kata ayah ada 6 bulan, tapi 2 minggu kemudian dah pergi”

(gambar kiri) Sharifah (kanan) ketika bergelar peguam bersama ibu. (gambar kanan) Ibu Sharifah di pusara bapanya.

SIAPA sangka seorang anak sanggup berkorban melupakan impiannya untuk meneruskan kerjaya yang dibinanya demi ibu tercinta.

Luahannya menerusi video penuh emosi di laman TikTok mengundang sebak netizen, antara lain turut memberikan kata-kata semangat buatnya.

Wanita berkenaan, Sharifah Abdul Samad berkata, dia menceburi bidang guaman selama dua tahun sebelum memutuskan untuk berhenti kerja pada 2019.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas akad nikah, semua tergamam... anak lelaki tunggal ini menangis sujud cium kaki ibu di masjid - "Dia brutal sebenarnya"

ARTIKEL BERKAITAN: Sejuk perut ibu mengandung! Anak pasang aircond di bilik mengaji mak, air panas dah tak perlu masak... jodoh tolak tepi dulu!

Walaupun mempunyai alasan untuk berhenti kerja, kata Sharifah, keputusan itu ternyata mengejutkan dan mengundang marah ibunya yang berusia 67 tahun.



Kenangan... Sharifah (tengah) bersama arwah bapa (kiri) dan ibu.

"Ada sebab saya berhenti kerja. Dulu, saya tak cukup masa dengan mak. Balik rumah pun saya bawa balik fail-fail untuk selesaikan kerja..

"Saya bukan tak ada adik-beradik lain. Tapi sebab ramai yang dah berkahwin, jadi mak mahukan perhatian yang sepenuhnya daripada saya.

"Pernah mak call semasa saya di pejabat. Saya tanya mak dah makan ke belum, mak jawab belum sebab nak tunggu saya nak makan sama... sayunya saya dengar. Mak sihat... cuma dia mahukan perhatian," kata wanita berusia 30 tahun itu kepada mStar.



Ibu Sharifah merupakan ibu tunggal setelah kematian bapanya pada 2009.

Berkongsi kisah di sebaliknya, Sharifah berkata, ibunya merupakan ibu tunggal selepas bapanya meninggal dunia akibat kanser usus ketika usianya 65 tahun, 12 tahun lalu.

Pada April 2009, kira-kira sebulan selepas mendapat keputusan peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), katanya, bapanya didiagnosis dengan kanser usus.

"Banyak tawaran belajar saya tolak sebab saya nak jaga ayah. Pada Oktober tahun yang sama, doktor kata ayah hanya akan bertahan enam bulan.

"Dua minggu kemudian, ayah dah pergi (meninggal dunia). Saya reda cuma terkilan kerana saya tak pernah cakap kat ayah yang saya sayang dia sepanjang jaga dia.

"Saya pernah menyesal sebab tak cukup masa dengan arwah ayah. Jadi, saya tak nak perkara yang sama berlaku pada mak," ujarnya yang berasal dari Klang, Selangor.



Ibu Sharifah menunjukkan hasil jualan bisnes anaknya.

Tahun berikutnya selepas pemergian bapa, Sharifah mengikuti pengajian Diploma Pengajian Islam di Kolej Uniti di Negeri Sembilan pada 2010, sebelum menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) di Bangi dan Diploma Lanjutan Syariah dan Amalan (DLSA) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Menurut anak kelapan daripada 10 adik-beradik itu, dia cuba memenangi hati ibunya dengan mengusahakan bisnes secara kecil-kecilan dengan menjual produk kesihatan.

Saya pernah menyesal sebab tak cukup masa dengan arwah ayah. Jadi, saya tak nak perkara yang sama berlaku pada mak

SHARIFAH ABDUL SAMAD

"Bila buat bisnes, saya ada kebebasan dari segi masa. Lama-kelamaan hati mak berubah dan lebih gembira kerana lebih banyak masa dapat diluangkan bersama.

"Masa mula-mula buat tak sampai RM1,000 pun jualan saya dapat dalam sebulan. Sekarang jualan bulanan boleh mencecah RM30,000, alhamdulillah," katanya.



Keceriaan terpancar pada wajah dua beranak ini meluangkan masa bersama.

Walaupun tidak lagi berkhidmat sebagai peguam, Sharifah masih mempunyai minat dalam bidang guaman dan merancang untuk membuka firma sendiri.

"Saya bukan nak jadi peguam balik, tapi memenuhi impian dan minat saya dalam bidang guaman dengan membuka firma sendiri mengikut perancangan akhir tahun ini.

"Saya masih bujang, jadi saya dapat luangkan lebih masa bersama mak sebab saya tahu bila sudah berumah tangga nanti, masa saya bersama tidak sama lagi seperti sekarang. Selagi mak masih ada, saya mahu jaga mak sebaik-baiknya" katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain