suria

Dari sekolah hingga ke program TV, beatboxer belajar sendiri di YouTube tak pernah hampakan permintaan ramai... ada yang samakan bunyi kentut!

Bell mempelajari seni beatbox sejak berusia 14 tahun.

SIAPA sangka, ramai sebenarnya netizen yang suka menonton video beatbox jejaka ini.

Menurut Syazmil Faizal Zainudin, 24, dia yang baru sahaja berjinak-jinak di aplikasi TikTok sejak awal tahun ini terkejut akan penerimaan orang ramai dengan bakat yang dipamerkannya.

Mesra disapa Bell, anak kelahiran Perak ini mengakui turut dihujani ratusan permintaan netizen di aplikasi itu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Rasa bersemangat nak belajar lagi” - Baru nak popular, gadis beatbox akan tinggalkan Malaysia, sambung study di UK

ARTIKEL BERKAITAN: Ada gaya! Pemuda ini ‘lulus’ cabaran push up terapung, siap buat beatbox serentak

"Saya rasa seronok bila ramai yang gembira menonton video saya. Banyak gila permintaan, sampai beratus mesej masuk.

"Mereka minta saya buat pelbagai jenis bunyi. Buat masa sekarang saya buat mana yang sempat sahaja.

"Ada yang minta bunyi pelik-pelik termasuklah bunyi enjin kapal terbang. Setakat ni apa yang orang minta, saya boleh buat lagi," ujarnya kepada mStar.

Bell kini aktif hasilkan video beatbox di TikTok.

Menurut Bell yang kini berniaga rokok eletronik di Subang Bestari, Selangor, dia juga gembira apabila video yang dikongsi menerima reaksi positif.

Tambahnya, dia juga tidak terlepas menerima komen negatif, namun langsung tidak terkesan akan hal itu.

"Komen negatif tu saya buat tak tahu. Benda tu biasa. Ada orang suka, maka akan ada orang yang tak suka.

Belajar dari Youtube. Dulu pernah juga buat persembahan di sekolah sewaktu hari guru.

BELL

"Ada komen negatif yang ditulis, tapi saya buat tak tahu. Anggap ia perkara normal.

"Contohnya, ada yang kata bunyi macam orang tengah berak, bunyi orang kentut dan sebagainya. Saya tak ambil hati," jelasnya lagi.

Berkongsi mengenai bakat itu, Bell berkata dia mula mempelajari seni beatbox sejak berusia 14 tahun.

Bell pernah membuat persembahan beatbox dalam sebuah rancangan tv beberapa tahun lalu.

Namun, semuanya dipelajari sendiri melalui tontonan video di YouTube sahaja.

"Saya mula belajar beatbox masa Tingkatan 1. Belajar dari Youtube. Dulu pernah juga buat persembahan di sekolah sewaktu hari guru.

"Kemudian pernah dijemput buat persembahan dalam sebuah racangan televisyen beberapa tahun lepas, masa Tingkatan 5.

"Untuk TikTok pula, ia sebenarnya atas idea kawan-kawan. Mereka minta saya kongsi bakat dalam aplikasi itu," ujarnya yang turut berkebolehan bermain gitar.

Menurut Bell lagi, dia juga ada menyertai dua komuniti besar beatbox di Malaysia yang dikenali sebagai Beatnation dan Beatboxarmymalaysia.

Antara video yang dikongsi di TikTok miliknya.

Dalam pada itu, Bell juga sedang merancang untuk bergelar YouTuber tidak lama lagi.

"Saya pun ada perancangan untuk buat video YouTube. Kalau ada yang nak panggil buat persembahan pun saya on je. Tak menolak rezeki biarpun dari TikTok.

"Tapi sekarang agak sibuk, mungkin saya hasilkan satu atau dua video dalam sehari untuk TikTok.

"Sejujurnya memang terharu. Tak sangka orang boleh terima apa yang saya kongsikan," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain