suria

“Semua barang kau harga kafir" - Peniaga umur 14 tahun terkesan dengan pelanggan biadab, mahu lenyapkan ayat 'customer is always right'

Menurut Hana, dia kecewa dengan kata-kata biadab yang dilemparkan oleh pelanggan itu tempoh hari. (Gambar Hiasan)

RAGAM pelanggan menjadi salah satu cabaran utama buat mereka yang berkecimpung dalam bidang perniagaan.

Terbaharu, seorang peniaga muda berkongsi kisahnya di Twitter yang mana dia berdepan pelanggan biadab gara-gara tidak berpuas hati dengan harga yang ditetapkan.

"Kenapa semua barang yang kau jual harga kafir? Aku tengok kat Shopee lagi murah. Tak baik aniaya pelanggan kau tahu tak," tulis pelanggan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Order ‘kencang’ dari pagi sampai malam... video sayu peniaga dikompaun selepas jual 5 botol air terima 1.3 juta tontonan!

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu kerja OK, kini jual keropok lekor! Pemuda hilang kerja tak sangka satu mesej WhatsApp daripada abangnya mampu buka rezeki

Menurut Hana Abdul Muttalib, 14, dia yang berniaga produk kecantikan sejak tiga tahun lalu kecewa apabila dilemparkan dengan kata-kata sedemikian oleh pelanggan itu baru-baru ini.

Bercerita lanjut kepada mStar, anak keempat daripada lima beradik itu mendedahkan kejadian seperti itu bukanlah satu perkara baharu.

"Sejujurnya saya rasa marah dan kecewa sebab dia tak hormat saya sebagai penjual. Saya dah banyak sangat jumpa pelanggan macam ni, tapi tak sebiadab ini.

Paparan skrin mesej pelanggan itu.

"Nak kata yang paling biadab macam keterlaluan pula, saya cuma harap dah tak jumpa pelanggan macam ni," ujarnya.

Menurut Hana yang menetap di Kuala Lumpur, dia menjelaskan harga yang ditawarkan dibuat mengikut ketetapan pengeluar produk itu sendiri.

Malah katanya, dia juga beranggapan frasa 'customer is always right' sudah tidak relevan pada masa kini.

"Dia tiba-tiba direct message (DM) tanya kenapa harga produk saya jual mahal?

Umi seorang ibu tunggal yang nak tampung kami lima beradik. Jadi saya kena tolong umi.

HANA

"Dan dia cakap saya aniaya pelanggan. Saya cuma ikut harga yang ditetapkan oleh HQ. Malah, saya siap bagi kos penghantaran (postage) percuma.

"Ada penjual yang jual mengikut harga yang dikawal atau ditetapkan oleh HQ dan jika kami jual harga kurang atau lebih daripada harga asal boleh jatuh hukum haram dan duit yang dapat pun duit haram.

"Boleh kan tanya elok-elok? Penjual pun ada hati dan perasaan. Sekarang dah 2021, saya kalau boleh nak lenyapkan ayat 'customer is always right' tu," ujarnya lagi.

Kata Hana, bukan pujian yang diminta, namun cukuplah dengan secebis rasa hormat buat golongan peniaga sepertinya.

Hana tidak mengenakan caj penghantaran kepada pelanggan dan harga yang ditawarkan merupakan ketetapan yang dibuat oleh pengeluar produk itu sendiri.

Selain dirinya, ramai peniaga lain turut berkongsi pengalaman sama selepas dia memuat naik kisah itu di Twitter pada Selasa lalu.

"Saya minta tolong sangat pembeli untuk hormat penjual. Kalau ada soalan yang nak ditanya tolong tanya elok-elok dan beradab.

"Penjual pun manusia. Dan awak tak nampak usaha penjual ketika buat bisnes. Kami bersusah-payah untuk dapatkan pendapatan.

"Lepas saya tweet kejadian tu, rupa-rupanya ramai lagi penjual yang kena macam saya, ada yang lebih teruk.

"Ada yang putus asa untuk menjual sebab dilayan macam orang tak ada perasaan. Lepas saya baca semua luahan ni, saya rasa Alhamdulillah sebab saya tak pernah kena macam mereka.

Antara komen netizen di Twitter.

"Tapi saya rasa sangat sedih sebab mereka dilayan sebegitu dan tak berani bersuara," jelasnya lagi.

Bercerita mengenai dirinya, Hana berkata dia enggan berputus asa kerana memikirkan keluarga serta ibunya.

Dia juga turut menjadikan kata-kata seorang peniaga makanan yang pernah ditemuinya secara tidak sengaja di tepi jalan sebagai pegangan dalam menjalankan perniagaan.

"Memang susah untuk cari kekuatan untuk teruskan bisnes, tapi setiap kali saya rasa nak putus asa, saya teringat seorang akak ni pernah cakap... anggap mereka seperti anjing digari yang menyalak, hanya pandai menyalak tapi tak boleh berbuat apa-apa pada kita.

"Saya juga fikir pasal keluarga. Umi seorang ibu tunggal yang nak tampung kami lima beradik. Jadi saya kena tolong umi," ujarnya.

Tambah Hana, ibunya juga menjalankan perniagaan secara dalam talian sepertinya.

Sehingga kini, posting Hana di Twitter menerima lebih 7,200 ulang kicau (Retweet).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain