suria

Angkara siapa? Mak Jem kecewa teruk sampai tertidur, ada tangan nakal rosakkan orkid kesayangan - “Dah patah, kemudian cucuk balik dalam pasu”

Emilia (kiri) berharap dapat membeli pokok orkid baharu sebelum menghantar ibunya pulang semula ke kampung pada minggu depan.

SIAPA yang tak sedih apabila pokok bunga yang dijaga rapi selama berbulan lamanya rosak angkara 'tangan-tangan nakal' yang tidak bertanggungjawab.

Begitulah kisah Jamaliah Mohamed, 77, atau lebih dikenali sebagai Mak Jem yang terkilan apabila pokok orkid miliknya musnah, dipercayai dirosakkan oleh kanak-kanak nakal di sekitar kediamannya di Kuantan, Pahang.

Kisah Mak Jem mencuri perhatian ramai selepas anak bongsunya, Emelia Abdul Malik berkongsi video duka ibunya menerusi aplikasi TikTok, baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pertama kali lihat bunga rafflesia, pelajar UMT siap banding gambar pada duit RM10 - “Ramai cakap teringin nak ke sana”

ARTIKEL BERKAITAN: Jadikan kebun depan rumah sebagai bisnes, cikgu nak pencen impi buka taman kucing pula - “Niat jual murah-murah sambil sedekah”

"Biasalah, orang tua suka bunga. Bercakap dengan pokok-pokok, macam satu terapi. Sewaktu saya balik Kuantan, mak nak tunjuk pokok orkid tu.

"Tengok-tengok dah patah, memang ada budak-budak nakal selalu main di kawasan rumah kami. Dah patah, kemudian dicucuk balik dalam pasu.

"Mak memang frust. Dia tanam anak pokok tu, memang dia tunggu lama sangat. Orkid tu ambil masa lima ke enam bulan nak berbunga," ujar anaknya yang mesra disapa Emelia kepada mStar.

Mak Jem gemar menanam bunga di halaman rumahnya.

Menurut pengusaha sambal bawang dan bilis yang menetap di Shah Alam, Selangor itu, dia bagaimanapun bersyukur apabila video yang dikongsi di TikTok menerima reaksi positif.

Malah, ramai netizen turut menzahirkan rasa simpati mengenangkan nasib pokok bunga kesayangan ibunya itu.

"Video TikTok tu saya kongsi untuk sampaikan mesej mengenai kasih sayang anak kepada ibu, untuk bagi inspirasi kepada orang agar berjasa kepada ibu selagi mereka masih ada.

"Saya dah tak ada abah, jadi apa yang saya buat hanya bertujuan untuk menggembirakan emak," ujarnya.

Imbas Emelia lagi, ibunya juga tertidur dalam keadaan terkilan pada hari kejadian pokok orkidnya musnah.

Selain orkid, ada juga bunga-bunga lain. Tapi dia frust sebab orkid tu baru je berbunga, lebat berbunga.

EMILIA

"Selepas kejadian tu, dia nak ikut saya pergi kilang sambal. Tak jauh pun dari rumah mak. Saya tinggalkan dia dalam bilik menunggu.

"Kemudian suasana macam senyap je, tengok-tengok mak dah tertidur. Tidur dalam keadaan frust. Selepas itu saya bawa mak balik ke Shah Alam.

"Mak sebenarnya ada pemeriksaan kesihatan setiap empat bulan di Putrajaya. Sekarang dia ada di rumah kakak saya," jelas Emelia lagi.

Kata Emelia, dia berharap dapat membeli pokok orkid baharu sebelum menghantar ibunya pulang semula ke kampung halaman pada minggu depan.

Perkongsian Emelia mengenai kisah itu tular di TikTok.

"Harap ada orkid untuk dibawa balik ke Kuantan. InsyaAllah saya akan cuba cari.

"Mak memang suka tanam pokok. Selain orkid, ada juga bunga-bunga lain. Tapi dia frust sebab orkid tu baru je berbunga, lebat berbunga," ujarnya lagi.

Bercerita mengenai dirinya pula, Emelia mendedahkan dia pernah berkhidmat dengan sebuah syarikat penerbangan sebagai pramugari sebelum berhenti kerja pada tahun 2015.

Pada 2019, dia kembali berkhidmat sebagai pramugari untuk penerbangan ke tanah suci Makkah, namun segalanya terhenti akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum kontraknya tamat pada pertengahan tahun lalu.

Menurut Emelia, dia kini mengusahakan bisnes sambal itu dan berharap ia dapat membantu dirinya meneruskan kelangsungan hidup dalam era pandemik serba mencabar ini.

Pernah berkhidmat sebagai pramugari, Emilia kini menjadi pengusaha sambal.

"Saya dulu pramugari. Kemudiannya syarikat ada masalah. Saya antara yang terpilih, jadi untuk beri sokongan kepada syarikat, saya berhenti.

"2019 saya fly balik untuk penerbangan umrah dan haji. Kemudian Covid-19 pula melanda, kontrak saya habis pada Mei tahun lepas.

"Sekarang full time buat sambal. Tapi ada dugaannya juga, biasalah ramai yang berniaga.

"Banyak persaingan. Tapi saya tak kisah. Yang penting kita kena buat sesuatu untuk teruskan hidup.

"Nak buat jangan sekadar untuk duit je, tapi kena ikhlas. Untuk bagi orang suka makanan kita," ujarnya anak bongsu daripada lima beradik itu lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain