suria

Tak sampai seminggu buka kafe, pemilik terkesan ada lelaki minta nasi ketika cuci pinggan... terus buat perubahan drastik! - “Allah dah bayar, datang ambil je”

Pemilik Kafe Ateyh Fried Chicken Nazirah bersama suaminya Atif.

"PERCAYA pada rezeki, semua Allah SWT dah aturkan."

Begitulah ungkapan yang keluar dari mulut seorang pemilik kedai makan selepas didatangi seorang hamba Allah untuk meminta sepinggan nasi.

Kejadian tak disangka-sangka itu berlaku ketika Siti Nazirah Norzir, 24, bersama suaminya Mohammad Atif Wan Kamal, 27, baru sahaja beberapa hari membuka kafe mereka sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Gerai ‘0 pelanggan’ selama 2 minggu... peniaga dapat tempahan besar selepas sedekah secawan air jagung - “Dia mungkin rugi RM3”

ARTIKEL BERKAITAN: Tawar sushi RM1, niat bapa 2 anak sedekah 50 biji tiap Jumaat bawa rezeki berganda - “Satu hari nak buka but kereta bukan jual sushi, tapi bagi percuma”

"Untuk warga JB, yang betul-betul memerlukan, kalau tak ada duit nak makan nasi atau ayam goreng musim PKP ni atau anak-anak nak makan ayam tapi tak cukup duit nak beli, datang je kafe abang.

"Bagitahu staf abang atau abang sendiri bahawa tak ada duit nak makan.Tak apa Allah ada, Allah yang membayarnya. Tak payah malu, makan la sampai kenyang," tulis Mohammad Atif dalam satu posting di Facebook pada Jumaat.

Perkongsian itu yang kemudiannya tular bukan sahaja mengundang sebak dalam kalangan masyarakat malah netizen turut berbangga dengan tindakan pasangan suami isteri muda ini.

Hampir dua tahun menjual nasi lemak kini mereka membuka restoran di Nong Chik, Johor Bharu.

Berkongsi cerita dengan mStar, Siti Nazirah yang lebih mesra disapa Nazirah berkata peristiwa tersebut berlaku pada Jumaat lalu, kira-kira jam 11 malam ketika dia bersama suami berada di dapur dan sedang mencuci pinggan.

“Kami sebenarnya baru saja buka kafe ni beberapa hari lalu. Tapi kami dah hampir dua tahun berniaga nasi lemak dengan ayam goreng.

“Tiba-tiba malam tu tengah kami kemas dapur dan basuh pinggan ada seorang hamba Allah bukan warganegara Malaysia datang kepada kami minta sepinggan nasi.

“Memang rezeki dia masa tu sebab ada lagi dua bungkus saja yang tinggal. Saya pun terus ambil dan hulur kepadanya," katanya ketika dihubungi.

Sejujurnya, saya cuma mahu perkongsian kami tular untuk kebaikan bersama... agar rezeki yang kami nak kongsi sampai kepada mereka yang memerlukan.

NAZIRAH

Mengimbas kejadian tersebut, Nazirah berkata dia sempat bertanyakan serba sedikit latar belakang diri lelaki warga asing tersebut dengan niat ingin mengambilnya bekerja.

Bagaimanapun, berlaku sesuatu yang tak disangka apabila wanita yang berasal dari Johor Bahru, Johor itu tidak mampu menahan air mata apabila mendengar cerita lelaki berkenaan.

“Bila saya dah bagi makanan tu saya sempat tanya dia tinggal di mana dan sebagainya. Dia beritahu tinggal di Skudai dan baru diberhentikan kerja di sebuah pasar pagi.

“Saya bersangka baik, mungkin bukan sebab dirinya bermasalah tapi sama seperti orang lain, terkesan dengan PKP.

Nazirah bersama suami menawarkan nasi lemak percuma kepada sesiapa sahaja yang terkesan dengan PKP.

“Niat saya memang nak ambil dia kerja tetapi tak kesampaian sebab dia tak ada pasport, risau juga saya, ” ujarnya.

Namun selepas lelaki itu berlalu pergi, kisah itu tidak terhenti di situ!

Setelah berbincang bersama suami, Nazirah berkata mereka berdua mengambil keputusan untuk menawarkan makanan percuma kepada sesiapa sahaja yang terkesan dalam tempoh PKP.

“Lepas lelaki tu pergi, saya rasa sebak sangat walaupun saya dah cakap dengan dia datang saja kedai kalau lapar.

“Saya terus bincang dengan suami minta pendapat dia setuju tak kalau selepas ini kami bagi makanan percuma kepada sesiapa saja yang terkesan.

“Alhamdulillah kami dapat kata sepakat dan yakin dengan keputusan untuk teruskan niat itu kerana kami pernah rasa sangat susah suatu ketika dahulu.

Perkongsian di halaman Facebook Ateyh Fried Chicken HQ ternyata mencuri perhatian masyarakat Malaysia.

“Bukan niat saya menghina rumah setinggan tetapi di situlah tempat saya tinggal dulu dan naik kereta buruk saja pergi berniaga nasi lemak jadi kami faham kesempitan hidup itu macam mana, ” katanya.

Pasangan ini yang telah dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ainun Mardiyah, 4, dan Muhammad Arsyad Nazmi, 3, berharap niat baik mereka dipermudahkan seterusnya dilimpahkan rezeki berlipat ganda.

“Sejujurnya, saya cuma mahu perkongsian kami tular untuk kebaikan bersama... agar rezeki yang kami nak kongsi sampai kepada mereka yang memerlukan, ” jelasnya.

Kafe milik pasangan ini, ‘Ateyh Fried Chicken’ terletak di Nong Chik, Johor Bahru, berdekatan dengan kediaman mereka.

Sementara itu, Nazirah meluahkan rasa syukur kerana ramai yang datang ke restorannya untuk mengambil makanan percuma dan pada masa yang sama rezeki mereka juga semakin bertambah.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain