suria

Budak 6 tahun tunggu di kereta, beritahu teringin ais krim coklat... wedding planner sebak dengar kisah ‘tabung khas buat arwah ibu’

Faizal secara tak sengaja bertemu kanak-kanak itu berhampiran kediaman rakannya pada Isnin.

BARU berusia enam tahun, namun kepetahan kata-katanya boleh diibaratkan seperti orang dewasa.

Begitulah kisah seorang kanak-kanak lelaki yang ditemui oleh perancang perkahwinan, Mohd Faizal Maklip berhampiran kediaman rakannya di Kampung Peringgit, Melaka, pada Isnin.

Mesra disapa Faizal, dia mendedahkan dirinya cukup sebak apabila berborak dengan kanak-kanak itu yang petah bercerita mengenai kisah hidupnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh tahun berlalu, suatu malam anak autisme ajak ibu saudara ke kubur ibunya hanya untuk peluk nisan - “Kenapa umi meninggal?”

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia rindu tapi tak tahu nak cakap” - Sayu... tak pandai kira hari, tapi anak syurga ini tahu rutin ziarah pusara bapanya

"Saya berkunjung ke rumah kawan. Saya pun tak kenal budak tu. Masa saya nak keluar beli barang, saya nampak dia duduk dekat kereta saya.

"Dia tengok je, kemudian dia cakap nak ikut... dia bagitahu teringin nak makan ais krim coklat. Kebetulan saya nak keluar sekejap dan akan kembali ke rumah kawan, jadi saya bawa dia ikut.

"Masa dalam kereta barulah dia buka cerita. Dia kata ibunya sudah meninggal dunia, bapa tak tahu di mana. Dia ada empat beradik dan tinggal bersama nenek berhampiran rumah kawan saya," imbas Faizal.

Kata Faizal, kanak-kanak ini tinggal bersama nenek dan adik-beradik yang lain berhampiran kediaman rakannya.

Menurut jejaka berusia 32 tahun itu, dia terpegun mendengar kepetahan kanak-kanak yang dikenali sebagai Zaeril Putera itu sewaktu menceritakan kisah hidupnya.

Tambah Faizal, dia bertambah sebak apabila kanak-kanak itu bercerita mengenai tabung khas yang dimiliki demi merealisasikan satu hasrat buat arwah ibunya.

"Adik tu cerita, dia ada dua tabung simpanan wang setiap kali orang bersedekah kepadanya.

Hidup dia sangat sedih, saya pun tak jangka dia petah begitu.

FAIZAL

"Satu tabung untuk belanja sekolah, satu lagi tabung dia simpan duit untuk beli lembu, mahu buat ibadah korban untuk arwah ibunya.

"Saya sedih bila dengar seorang kanak-kanak cakap macam tu. Saya pula sensitif, tak boleh tahan sedih tambah-tambah lagi melibatkan kanak-kanak macam tu.

"Jadi selepas beli barang, saya bawa dia ke kedai dan beli ais krim coklat yang dimahukannya sebelum kembali ke rumah kawan saya," ujarnya lagi.

Faizal merupakan seorang perancang perkahwinan di Melaka.

Menurut Faizal, dia bagaimanapun tidak banyak bertanyakan soalan peribadi kepada kanak-kanak itu.

Sejurus pulang, dia turut berkongsi video pertemuannya dengan kanak-kanak itu di media sosial sehingga beberapa individu menghubunginya untuk menyalurkan bantuan.

"Selepas saya kongsi video, ada yang hubungi untuk bagi sumbangan wang dan pakaian. Mungkin orang pun tersentuh lihat budak kecil macam tu.

"Hidup dia sangat sedih, saya pun tak jangka dia petah begitu. Nanti dalam masa terdekat saya akan pergi hantar sumbangan kepadanya," ujar Faizal.

Faizal sebak mendengar kisah hidup kanak-kanak itu.

Bercerita mengenai dirinya, Faizal yang sudah 11 tahun berkecimpung sebagai perancang perkahwinan kini sedang aktif menghasilkan biskut untuk dipasarkan menjelang Aidilfitri tahun ini.

Ujarnya, pandemik yang melanda memberi kesan kepadanya sehingga terpaksa mencari alternatif lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Saya berkunjung ke rumah kawan saya untuk bagi dia rasa resipi baharu biskut yang akan dijual raya nanti.

"Kebetulan terjumpa dengan budak tu. Dia pada waktu tu sedang bermain berhampiran rumah kawan saya. Kawan saya pun memang kenal budak tu," ujar Faizal lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain