suria

Calon SPM dedah siapa dirinya selepas sanggup hulur RM500 kepada rider demi cabaran ‘bayar 10 kali ganda harga order’

Irsyad (kiri) menunjukkan cabarannya membayar 10 kali ganda harga pesanan kepada penghantar makanan.

PELBAGAI cabaran yang dilakukan di media sosial terutama dalam kalangan anak muda, sehingga menjadi satu ikutan atau trend.

Antara cabaran tersebut termasuk membayar 10 kali ganda daripada harga pesanan yang dibuat menerusi aplikasi, apabila penghantar makanan menghantar pesanan ke rumah.

Rentetan itu, seorang remaja lelaki turut tidak ketinggalan melakukan cabaran itu, namun di akhir video berdurasi tujuh minit yang tular itu mendedahkan plot twist yang mana dirinya rupa-rupanya juga merupakan penghantar makanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Order banyak, kemudian ‘ghaib’! Rider bergegas hantar makanan terdiam tengok harga lebih RM100 - “Saya dipertemukan dengan orang yang memerlukan”

ARTIKEL BERKAITAN: Tawar sushi RM1, niat bapa 2 anak sedekah 50 biji tiap Jumaat bawa rezeki berganda - "Satu hari nak buka but kereta bukan jual sushi, tapi beri percuma"

Pemuda berkenaan, Muhammad Irsyad Azhar berkata, dia sebenarnya bekerja secara sambilan sebagai penghantar barang sejak tahun lalu, dan baru sebulan berkhidmat dengan sebuah syarikat yang menawarkan servis penghantaran makanan.



Seorang lagi penghantar makanan (kanan) yang menghantar pesanan kepada Irsyad.

Remaja berusia 18 tahun itu bagaimanapun menjelaskan bahawa video cabaran yang dilakukannya itu benar-benar berlaku dan bukan sekadar lakonan semata-mata.

"Memang itu saya buat untuk video challenge saya bayar 10 kali ganda daripada harga minuman dan makanan yang saya order.

"Saya mendapat inspirasi daripada seorang YouTuber popular, Alieff Irfan yang sebelum ini pernah membuat cabaran yang sama untuk video di YouTube," katanya kepada mStar.

Lebih mesra disapa Irsyad, anak muda itu turut menjelaskan bahawa video cabaran yang dibuatnya juga bukan sekadar kandungan atau content untuk menarik perhatian netizen.

Menurut pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini, dia turut mendapat inspirasi daripada pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew.

"Saya kagum dengan kerja keras Ustaz Ebit dalam membantu orang-orang susah dan memerlukan. Teringin jadi seperti beliau untuk sama berbakti kepada masyarakat," katanya.



Irsyad (kiri) menyumbangkan bayaran 10 kali ganda daripada harga pesanan.

Berkongsi pengalaman, Irsyad yang berasal dari Skudai, Johor itu memberitahu, dia membuat cabaran tersebut pada tengah hari Sabtu membabitkan dua penghantar makanan.

"Pesanan melibatkan dua minuman berharga RM23 dan saya bayar kat rider tu sebagai sedekah saya sebanyak RM230, manakala satu lagi pesanan merupakan dua burger berharga RM27 dan saya bayar RM270 kat seorang lagi rider. Jumlah keseluruhan adalah RM500.

"Bukan setakat duit 10 kali ganda daripada harga pesanan saya sedekahkan, tapi saya beri juga salah satu daripada pesanan yang dibuat kepada rider masing-masing dan satu lagi saya ambil untuk makan dan minum," tambahnya.

Kita tak perlu jadi kaya baru nak bantu orang lain. Jika kita berkongsi rezeki walaupun sedikit, insyaAllah rezeki kita akan dapat lebih banyak nanti.

MUHAMMAD IRSYAD AZHAR

Hanya bekerja secara sambilan pada hujung minggu buat masa ini, anak bongsu daripada tiga beradik itu dapat memahami dugaan yang terpaksa ditempuhi oleh penghantar makanan.

"Antara mereka ada komitmen untuk tanggung keluarga, kejar masa untuk komisyen. Itu belum lagi kena harungi cuaca panas dan hujan selepas risiko keselamatan di jalan raya.

"Saya kira bersyukur kerana masih di bawah tanggungan ibu bapa. Saya bukanlah dari keluarga yang kaya, tapi saya bersyukur dengan apa yang ada," ujarnya.



Irsyad bertugas sebagai penghantar makanan secara sambilan.

Sehubungan itu, Irsyad mengharapkan orang ramai melihat video yang dihasilkannya dari sudut yang positif untuk memberi inspirasi kepada mereka untuk membantu orang lain.

"Jujurnya, gaji yang saya jadi rider buat part time bulan lepas dapat RM700. Sebanyak RM500 daripadanya saya dah beri pada dua rider tu dengan niat bersedekah.

"InsyaAllah cukup baki RM200 untuk saya survive sampai akhir bulan sebab banyak makan dan minum di rumah. Kalau ada rezeki, dapat tips daripada pelanggan.

"Kita tak perlu jadi kaya baru nak bantu orang lain. Jika kita berkongsi rezeki walaupun sedikit, insyaAllah rezeki kita akan dapat lebih banyak nanti," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain