suria

Kuarantin kerana jadi kontak rapat, jururawat hamil sayu dengar rayuan anak 4 tahun di ‘voice note’ – “Di luar tingkap bilik dia berdoa untuk mama, adik”

Wani (kiri) yang merupakan jururawat berkongsi kisah mengenai dua anaknya (kanan) yang melihat dari luar tingkap bilik dia menjalani kuarantin.

MENJALANI kuarantin di rumah bukan mudah seperti yang disangkakan.

Sama ada disahkan positif Covid-19 mahupun menjadi kontak rapat kepada individu yang dijangkiti virus itu, masing-masing melalui ujian untuk diasingkan daripada orang tersayang.

"Angah sayang mama... bukalah pintu," kedengaran rayuan seorang anak menerusi pesanan suara (voice note) di aplikasi WhatsApp yang dimuat naik di laman sosial, mengundang sayu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesakit tak cakap benda betul, doktor kena kuarantin... 'sakit' lihat anak meraung minta dukung - "Tolong jangan menonong masuk klinik"

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi sulung baru lahir ada di luar bilik, bapa sedang kuarantin hanya mampu kongsi klip video - "Isteri yakinkan pegang juga sekejap dengan berlapik"

Ibu berkenaan, Nor Azwani Kamaruddin berkata, klip pesanan suara tersebut dimuat naik oleh adiknya yang sebelum itu dikongsinya di grup WhatsApp keluarga.



Wani menjalani kuarantin selepas dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital di Selangor, dia memberitahu mula menjalani kuarantin di rumah selepas dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada seorang pesakit yang disahkan positif Covid-19.

"Saya bukan bertugas di wad Covid-19 dan keputusan RTK (kit ujian pantas) pesakit itu pada mulanya negatif, sebelum kemudiannya disahkan positif.

"Disebabkan kontak rapat dengan seorang pesakit ini, saya dikenal pasti sebagai berisiko tinggi kerana tidak memakai PPE (peralatan perlindungan diri) dan sedang hamil," kata wanita berusia 30 tahun itu kepada mStar.



Wani berkhidmat sebagai jururawat selama enam tahun.

Ibu kepada dua anak itu berkata, dia menjalani kuarantin di bilik berasingan di rumahnya dan tindakan itu menimbulkan tanda tanya anak-anak lelakinya yang berusia lima dan empat tahun.

"Sebab biasa memang kami (bersama suami) layan je mereka bermain. Mereka mungkin pelik kenapa mama (panggilan oleh anak-anak) berkurung dalam bilik, tak bermain sekali.

"Saya beritahu yang saya kena kuarantin. Tapi budak-budak kecilkan, cakap sekejap fahamnya pun sekejap. Suara kat voice note tu adalah anak berusia empat tahun yang lebih rapat dengan saya," katanya yang lebih mesra disapa Wani.

Sepanjang tempoh kuarantin selama 10 hari, dia bersyukur kerana mendapat bantuan suami dari segi makan dan minuman serta menguruskan anak-anak.



Wani bersama dua anak lelakinya.

"Sepatutnya anak yang sulung masuk sekolah pada 20 Januari (Rabu), tapi itulah hari pertama saya kena kuarantin.

"Saya terpaksa mesej guru dia beritahu tak boleh hantar sebab bimbang keputusan saya positif, jadinya anak saya nanti terbabit sekali. Jadi, selesaikan dulu hal saya kuarantin baru hantar anak ke sekolah," ujar Wani yang hamil 10 minggu.

Rindu sangat rasanya. Hanya boleh dengar suara, tak boleh dakap. Sekarang ni saya harap cepatlah masa berputar

NOR AZWANI KAMARUDDIN

Dia yang berkhidmat sebagai jururawat sejak enam tahun lalu berkata, pada mulanya sukar untuk anak-anaknya sehingga mengetuk pintu bilik setiap hari untuk berjumpa dengannya.

"Bilik belakang tempat saya kuarantin ni ada tingkap. Mereka akan ketuk tingkap juga. Dari hari ke hari macam mereka boleh terima dah yang saya tak boleh keluar bilik.

"Tapi paling sebak apabila anak yang empat tahun dari luar tingkap bilik, dia menadah tangan berdoa untuk mama dan adik. Dia bahasakan bayi dalam kandungan saya ni sebagai adik dia," katanya yang berasal dari Kajang, Selangor.



Wani merindui untuk kembali ke pangkuan keluarganya.

Menurut Wani, setakat ini ujian swab pertama dan kedua yang dilakukannya memberikan keputusan negatif dan akan menjalani ujian swab ketiga pada 26 Januari.

"Ujian swab pertama dan kedua saya negatif, alhamdulillah. Setakat ni tak ada simptom. Memang jaga jarak, cukup mereka tengok muka mama mereka dari tingkap.

"Tak sabar nak habiskan kuarantin, nak keluar bilik nak dakap mereka. Rindu sangat rasanya. Hanya boleh dengar suara, tak boleh dakap. Sekarang ni saya harap cepatlah masa berputar," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain