suria

Dek kerana 'mengidam' burger Oman, juruterbang bersama isteri gigih gali ilmu... akhirnya buka gerai sendiri - “Cari resipi, berjam-jam tengok YouTube”

Naeem dibantu isterinya berniaga burger di Bukit Jelutong sejak dua bulan lalu.

DEK kerana Covid-19 ramai di antara kita terpaksa bekerja dalam keadaan norma baharu dan tidak kurang juga ada yang karier mereka berubah sepenuhnya.

Begitulah yang dialami juruterbang Mohammed Naeem Md Nassir, yang kini beralih bidang dengan menjual burger bersama isterinya, Intan Shazia Abdul Hariz Leong, 25, di Bukit Jelutong, Shah Alam sejak dua bulan lalu.

Berusia 30 tahun dan lebih mesra disapa Naeem, dia berkhidmat sebagai pegawai pertama kanan di Oman Air selama dua tahun sebelum diberhentikan kerana pengecilan operasi di syarikat penerbangan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah puas ‘layan’ menangis dibuang kerja, pramugari terima 2 tawaran job datang serentak - “Tak sangka baca berita mengenai bekas syarikat saya bekerja”

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu di awan biru, pramugara tak mahu terus ‘terduduk’ dibuang kerja! 2 hari berkurung, kemudian buka spa di rumah – “Duduk saja bukan dapat duit”

"Saya pulang ke Malaysia awal Mac lalu untuk habiskan cuti tahunan (annual leave). Bila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan saya tak dapat nak balik ke Oman.



Intan Saiza sentiasa memberi sokongan kepada suaminya dalam apa jua yang dilakukan.

"Pada April saya dapat e-mel kena diberhentikan kerja. Masa tu terus gelisah fikirkan masa depan. Jadi saya buat keputusan untuk memulakan bisnes sendiri," katanya kepada mStar.

Pada awalnya, anak ketiga daripada lima beradik ini menawarkan perkhidmatan videografi drone bebas sebelum bergelar usahawan burger atas jenama ‘Smashed Burger’.

"Mula-mula saya buat freelance videografi drone tapi disebabkan market yang sangat ‘niche’ saya rasa tak stabil," katanya yang pernah berkhidmat bersama Malaysia Arlines selama empat tahun sebelum berhijrah ke Oman.

Naeem berkata, segalanya bermula ketika PKP apabila dia dan isteri 'mengidam' burger yang selalu mereka nikmati semasa di Oman.

"Kedai burger tersebut tiada di Malaysia, jadi saya cari resipi dan cuba buat sendiri. Berjam-jam saya tengok video YouTube dan rancangan memasak di televisyen untuk mengasah kemahiran saya.

"Sejak pertama kali saya masak burger tu, terus saya dan isteri buat keputusan untuk menjual burger berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan," katanya.



Naeem belajar menghasilkan burger melalui video di YouTube.

Jelas Naeem lagi, dia tidak kekok dengan karier baharunya itu kerana sudah berpengalaman dalam bidang makanan dan minuman (F&B).

"Saya sebenarnya sudah biasa dan berpengalaman dalam bidang F&B. Selepas habis belajar di akademi penerbangan, saya bekerja di Starbuck.

"Selain itu, saya juga pernah bekerja di beberapa kedai makan termasuk restoran mak saya sendiri sebelum bekerja sebagai pilot. Jadi tiada masalah untuk saya menyesuaikan diri," katanya.

Sejak pertama kali saya masak burger tu, terus saya dan isteri buat keputusan untuk menjual burger berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan.

MOHAMMED NAEEM MD NASSIR

Usahawan burger

Naeem berkata burger yang dihasilkannya mempunyai keistimewaan tersendiri selain menggunakan daging lembu Australia.

"Salah satu kelebihan ‘Smashed Buger’ ni saiz patty dia. Biasanya burger patty yang lain tebal. Bila saya hancurkan daging lembu tu, patty tu akan dimasak sehingga garing.

"Jadi patty tu sedikit rangup kat bahagian luar dan masih juicy di dalam. Saya juga gunakan caramelised onion sebagai sos burger.



Smashed burger dihasilkan menggunakan daging lembu Australia.

"Semua bahan saya sediakan pada hari yang sama untuk memastikan kesegarannya," katanya.

Selepas kisahnya menjaja burger tular di media sosial, Naeem berkata sambutan yang diterima daripada pelanggan amat memberangsangkan.

"Alhamdulillah tak sangka dari satu post di Instagram terus viral. Niat kami hanya mahu berkongsi perjalanan menubuhkan ‘Smashed Burger’ bagi memberi inspirasi kepada orang ramai.

"Setakat ini kami boleh jual 150 burger sahaja sehari. Namun sambutan yang diterima amat luar biasa. Sedih bila tiap-tiap hari ada customer datang dari jauh nak beli burger saya tapi dah habis.

"Ada juga order yang kena reject. Tak sampai hati saya nak cakap sold out. Jadi saya dan isteri tengah cari jalan untuk tingkatkan production sebab sekarang kami hanya ada seorang pembantu sahaja," katanya.



Naeem berkhidmat dalam industri penerbangan selama enam tahun.

Meskipun berharap industri penerbangan akan pulih segera, Naeem turut menyimpan cita-cita untuk mengembangkan perniagaan yang diusahakannya itu dengan modal sebanyak RM6,000.

"Saya harap dapat buka beberapa cawangan lagi pada masa akan datang supaya orang ramai dapat menikmati burger berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan.

"Pada masa sama, saya berhasrat untuk kembali terbang sekiranya keadaan industri penerbangan kembali pulih seperti biasa," katanya.

Bagi anda yang ingin mencuba ‘Smashed Burger’ bolehlah berkunjung ke gerai mereka yang terletak di Restoran Nasi Kandar Zubair Bistro di Bukit Jelutong yang beroperasi dari pukul 5.30 petang hingga 11 malam.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain