suria

Luar biasa! Isteri sanggup hidup susah, buat laporan supaya suami penagih ditangkap... kini tolong jual pisang goreng sara 4 anak

Noraini kini bekerja sebagai pembantu di warung goreng pisang bagi menyara kehidupan keluarga selepas suaminya dimasukkan ke pusat pemulihan.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan.

Begitulah kisah ibu muda kepada empat orang anak ini yang terpaksa membanting tulang dan membesarkan anak-anak bersendirian selepas suaminya terpaksa dimasukkan ke pusat pemulihan dadah, lapan bulan lalu.

Kisah ibu yang dikenali sebagai Noraini ini dikongsikan oleh seorang aktivis masyarakat, Natipah Abu yang berkunjung ke terataknya, baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dapur lantai tanah, langsir pisahkan bilik... sikit pun tak geli jejak rumah daif 6 sekeluarga ini - “Susunan baju melambangkan disiplin kuat”

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki 6 beranak, seluruh rumah diubah suai selepas ahli perniagaan pijak ‘lantai lembut’ ketika buat lawatan - “Saya yakin dia nampak sesuatu dalam keluarga ini”

"Noraini dan anak-anak merupakan antara penerima sumbangan barang dapur daripada kita.

"Dia dan empat orang anak perempuannya yang berusia 10 tahun, lapan tahun, tujuh tahun dan setahun kini hidup sendiri setelah suami ditahan atas masalah dadah sejak lapan bulan yang lalu.

"Noraini telah bertindak nekad untuk menyelamatkan suaminya dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa setelah menyedari suaminya mengambil bahan terlarang itu.



Perkongsian Natipah mengenai kisah Noraini di Facebook.

"Tidak ramai isteri setabah dia untuk membuat keputusan begitu. Namun demi masa depan anak-anak yang masih kecil ini, beliau sanggup menanggung malu dan menelan apa saja cemuhan," cerita wanita berusia 47 tahun ini mengenai kisah ibu malang tersebut.

Dalam pertemuan tersebut, kata Natipah, ibu yang menginjak usia penghujung 20-an itu turut menceritakan kesukaran hidupnya yang mencari rezeki dengan bekerja di warung goreng pisang dengan gaji RM25 sehari untuk menyara kehidupan anak beranaknya.

"Berkahwin dalam usia yang teramat muda, Noraini tidak mahu kesilapan mereka sebagai ibu bapa, merosakkan kebahagiaan anak-anak.



Noraini kini terpaksa bekerja bersendirian selepas suaminya dimasukkan ke pusat serenti sejak 8 bulan lalu.

"Tindakannya bukanlah untuk menghukum si suami tetapi itulah satu-satunya cara untuk memulihkan suami. Suaminya akan berada di pusat pemulihan selama dua tahun.

"Katanya, dia kecewa yang teramat sangat dengan kehidupan bila suami mula menagih dadah. Pernah anak-anak ke sekolah tak bawa duit poket. Beras pun kadang-kala kena beli yang timbang kilo. Bekalan elektrik pun dipotong sejak setahun lalu kerana gagal jelaskan tunggakan.

Tindakannya bukanlah untuk menghukum si suami tetapi itulah satu-satunya cara untuk memulihkan suami. Suaminya akan berada di pusat pemulihan selama dua tahun.

NATIPAH ABU

AKTIVIS KEBAJIKAN

"Melihat keadaan di dalam rumahnya, jelas menceritakan bagaimana mereka lima beranak ini hidup dalam keadaan serba kekurangan. Alhamdulillah, Zakat Kedah juga turut memberi bantuan sara hidup bulanan buat keluarga ini," cerita Natipah

Aktif terlibat dengan aktiviti kebajikan dan misi kemanusiaan sejak 10 tahun lalu, Natipah berkata perkongsian kisah Noraini bertujuan mengumpul sumbangan orang ramai bagi membiayai kos modal untuk membantu ibu muda ini memulakan perniagaan makanan secara kecil-kecilan.

"Rumah Noraini terletak di tepi jalan utama. Sekiranya dia membuka warung goreng pisang di hadapan rumah itu, tidak susah untuk mendapat pelanggan.



Bapa Noraini turut membantu menjaga cucu-cucunya ketika wanita itu keluar bekerja.

"Sambil berniaga, lebih mudah juga Noraini memerhatikan anak-anak. Pengalamannya bekerja sebagai pembantu warung goreng pisang dan pengalaman kakaknya yang sudah bertahun-tahun menjual goreng pisang tentunya sangat membantu dalam usaha ini.

"Maka 'Sedekah Jumaat' ini kita niatkan untuk Noraini memulakan pernigaan goreng pisang dan menjelaskan tunggakan bil elektrik dan kos penyambungan semula meter elektrik," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain