suria

Kerana ‘kisah ayah’, rezeki peniaga dapat order 150 nasi kerabu buat frontliners, rider... next untuk polis berhujan panas di roadblock

Seorang peniaga membantu pelanggan memberi sumbangan kepada frontliners. foto ihsan Muhammad Hariz Jamaludin

PELBAGAI cara yang boleh dilakukan untuk menghargai petugas barisan hadapan (frontliners) ketika pandemik Covid-19, termasuk bersama-sama memerangi wabak itu.

Kaedah lain yang turut mendapat perhatian netizen adalah memberikan sumbangan berbentuk makanan kepada frontliners yang semakin sibuk ketika waktu sukar ini.

"Selesai 100 pek tempahan nasi kerabu untuk frontliners. InsyaAllah suatu hari nanti buat katering untuk majlis perkahwinan pula," tulis seorang peniaga di laman sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Penangan kisah misteri makan free, bapa 3 anak ajar rakyat Malaysia cara mudah nak buat frontliners tersenyum

ARTIKEL BERKAITAN: Niat nak belanja 'frontliner'... sampai di kaunter duit tak cukup, apa kau rasa? - "Tadi mamat tu kata boleh bayar pakai Apps"

Peniaga berkenaan, Muhammad Hariz Jamaludin berkata, dia mula berniaga nasi berlauk selepas diberhentikan kerja menerusi Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dari sebuah syarikat hartanah berikutan impak pandemik Covid-19.



Hariz (baju hitam) turut membantu menyalurkan sumbangan kepada penghantar makanan.

Menyedari diri begitu minat dalam bidang masakan, pemuda berusia 24 tahun itu tidak mahu terus bersedih, sebaliknya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

"Saya minat masak macam-macam resepi. Dari dulu bercita-cita untuk buka bisnes makanan walaupun belajar dalam bidang hartanah.

"Tak sangka pula kena VSS sebab pandemik, jadi saya jual nasi berlauk termasuk nasi kerabu dan nasi ayam masak merah mengikut tempahan dan permintaan pelanggan," kata lepasan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah dari Universiti Malaya (UM) itu kepada mStar.



Selain memasak, Hariz juga turun padang menyerahkan sumbangan.

Lebih mesra disapa Hariz, dia yang turut berniaga mengikut tempahan pelanggan dari Isnin hingga Jumaat berkata, idea mengenai sumbangan kepada frontliners pada awalnya dicadangkan oleh seorang pelanggan yang menghargai petugas barisan hadapan itu.

"Pelanggan itu menyumbangkan sebanyak 100 pek kerana menghargai pengorbanan yang diberikan oleh doktor dan jururawat yang merawat ayahnya yang sakit tua di hospital.

"Bagi saya, frontliners bukan sahaja petugas perubatan yang mengendalikan kes Covid-19 sahaja, tetapi mereka yang banyak berkorban masa dan tenaga untuk masyarakat ketika pandemik," katanya namun tidak mendapatkan maklumat secara terperinci mengenai bapa penyumbang berkenaan.



Nasi ayam merah (kiri) dan nasi kerabu antara masakan istimewa Hariz.

Susulan perkongsiannya menyediakan nasi kerabu kepada 100 frontliners di Hospital Sungai Buloh di Selangor, jelasnya, ia turut menarik perhatian ramai termasuk seorang pelanggan.

"Pelanggan itu mahu menyumbangkan sebanyak 50 pek kepada mana-mana frontliners dan dia terbuka kepada cadangan saya untuk pemberian sumbangan tersebut.

"Saya kata kenapa tidak sumbangkan kepada rider (penghantar makanan) yang bertungkus-lumus berkhidmat kepada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sebelum ini di mana kebanyakan kita dinasihatkan untuk kekal berada di rumah ketika itu.

"Jadi, saya dan rakan turun padang serahkan pek nasi ayam merah kepada rider-rider di sebuah pusat beli-belah di Shah Alam, Selangor yang masing-masing datang dan pergi untuk mengambil dan menghantar pesanan pelanggan," ujarnya yang berasal dari Klang.



Hariz (kiri) bersama rakan yang turut membantunya.

Menurut anak kelima daripada enam beradik itu, sebenarnya ramai lagi frontliners terutama mereka yang merupakan dalam kalangan pasukan beruniform.

"Frontliners lain seperti anggota polis dan bomba. Malah, saya merancang untuk membantu pelanggan memberi sumbangan kepada polis yang bertugas melakukan roadblock (sekatan jalan raya) terutama ketika PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat).

Tak sangka kena VSS sebab pandemik, jadi saya jual nasi berlauk termasuk nasi kerabu dan nasi ayam masak merah mengikut tempahan dan permintaan pelanggan

MUHAMMAD HARIZ JAMALUDIN

"Mereka berhujan dan berpanas menjaga roadblock untuk membendung penularan Covid-19. Namun, lokasi roadblock mungkin berubah-ubah maka saya perlu periksa dengan pihak polis untuk lokasi strategik mereka yang berkenaan bertugas.

"Nak menyumbang, tak perlu jumlah besar. Sekurang-kurangnya satu pek untuk seorang frontliner sudah memadai. Apa yang penting kita ikhlas untuk membantu," katanya yang membuka peluang kepada orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada petugas barisan hadapan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain