suria

Demi ibu... Pemuda sanggup 'resign' kerja di pelantar minyak, mahu tebus kesilapan lalu - “Dulu duduk tengah laut sebulan, turun darat seminggu dua…”

Faisal membuat keputusan berhenti kerja sebagai juruteknik pelantar minyak demi menjaga ibunya yang mengalami masalah kesihatan.

SYURGA di bawah telapak kaki ibu. Itulah ungkapan tepat menggambarkan pengorbanan seorang pemuda yang sanggup berhenti kerja semata-mata mahu menjaga ibunya yang mengalami masalah kesihatan.

Muhammad Faisal Rahimi Shafie berkata kesihatan ibunya, Fatimawati Shamsudin, 64, mula merosot sejak hujung tahun lalu dan disebabkan itu dia nekad untuk meninggalkan pekerjaannya sebagai juruteknik pelantar minyak di Kemaman, Terengganu.

Malah katanya lagi, tanggungjawab itu dipikul kerana bapanya sudah meninggal dunia pada 2013.

ARTIKEL BERKAITAN: Asyik ulang alik hospital, tak tahan lihat ibu sakit kepala... kali ke-3 baru tahu hidap brain tumor - “Mak aktif, tak boleh duduk diam”

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita derita kanser lidah pergi jua... sempat tulis pesanan terakhir buat 5 anak

"Masa saya kerja di Kemaman tu mak tengah tak sihat dan selera makan pun kurang. Jadi masa tu saya terfikir siapa nak jaga mak kalau dia masuk hospital.

"Saya pula anak bongsu tiga beradik dan anak lelaki tunggal dalam keluarga. Kakak sulung kerja di Shah Alam, manakala kakak nombor dua pula dan berkahwin dan bekerja sebagai guru tadika.

"Jadi atas sebab itu saya mengambil tanggungjawab menguruskan mak sepenuh masa. Lagipun sebelum ayah meninggal dia amanahkan saya untuk jaga keluarga terutamanya mak," katanya.



Faisal bersama keluarga besarnya.

Menurut anak jati Kuala Nerang, Kedah itu, sejak dia berhenti kerja September lalu, ibunya sering tidak sihat dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar awal bulan ini.

"Sebelum ni mak masuk wad sebab ada bisul dekat tengkuk pada April lalu. Lepas tu OK kemudian masuk semula hospital baru-baru ni sebab ada jangkitan kuman dalam darah.

"Doktor cakap jangkitan kuman tu dan merebak ke jantung, jadi nadi dia memang lemah. Kalau orang panggil dia macam khayal sebab kurang oksigen.

"Lepas tu proceed empat kali tukar antibiotik, Alhamdulillah baru OK. Ikutkan doktor pakar cakap dah boleh discharge petang ni (Selasa) tapi mak masih lagi dalam pemantauan," katanya.

Alhamdulillah sekarang saya rasa lagi tenang bila mak ada depan mata. Dalam bahasa mudah apa kita nak buat tengok mak depan mata tu kerja jadi lebih mudah.

MUHAMMAD FAISAL RAHIMI SHAFIE

Anak

Meskipun ramai bimbang hilang pekerjaan ketika ini, Muhammad Faisal Rahimi atau mesra disapa Faisal tidak sesekali menyesal dengan keputusannya itu.

"Saya sedikit pun tak menyesal, keputusan tu dibuat dengan rela hati. Saya nak jaga mak sebab pengorbanannya amat besar tak dapat dibalas dengan wang ringgit.

"Betul orang cakap nak dapat kerja sekarang memang susah tapi sementara mak ada depan mata ni, kita jagalah. Kerja boleh cari tapi mak tak ada pengganti," katanya.



Ibu Faisal sudah dibenarkan keluar hospital petang Selasa tetapi masih dibawah pemantauan doktor pakar.

Malah kata pemuda berusia 28 tahun itu, dia juga mahu melaksanakan tanggungjawabnya terhadap ibu yang pernah diabaikannya sebelum ini.

"Saya belajar daripada kesilapan masa lalu. Saya dulu tak jaga mak betul-betul sebab sibuk kerja. Jadi banyak benda terabai. Bila kita fikir balik apa kita buat tu sebenarnya banyak pengaruhi kehidupan kita hari ini.

"Dulu kalau duduk tengah laut dalam sebulan, kemudian turun darat dalam seminggu dua lepas tu pergi semula ke laut. Jadi masa dengan family terutamanya mak tu kuranglah.

"Dalam setahun tu kalau balik kampung pun adalah tiga, empat kali. Lagipun kos nak balik tu tinggi sebab jauh. Jadi sekarang saya mahu tebus kembali kesilapan saya," katanya.

Pada masa sama, Faisal berkata dia kini lebih tenang apabila dapat menjaga ibunya sepenuh masa.

"Alhamdulillah sekarang saya rasa lagi tenang bila mak ada depan mata. Dalam bahasa mudah apa kita nak buat tengok mak depan mata tu kerja jadi lebih mudah.

"Saya turut berdoa semoga mak diberikan kesihatan baik dan saya mampu kembali bekerja demi masa depan. Saya percaya doa ibu pada anak amat mustajab.



Posting Faisal mendapat repons positif di kalangan netizen.

"Buat sementara ini, biarlah saya berkorban bagi memastikan mak tidak terabai dan kesihatannya semakin baik dari semasa ke semasa," katanya.

Sebelum ini, Faisal turut berkongsi kisahnya yang terpaksa berhenti kerja demi ibunya di Facebook sehingga menjadi tular.

"Sebelum ni saya selalu post tentang kerja saya di media sosial. Jadi bila saya tak buat benda sama ada yang pelik. Ada juga yang tak tahu saya berhenti kerja sebab apa.

"Sebab itulah saya post status tu. Saya nak beritahu punca sebenar saya berhenti kerja," katanya.

Rata-rata kagum dengan keputusan berani pemuda itu di saat keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

"Semoga dipermudahkan segala urusan. Terbaik... respect. Tak semua orang boleh buat. Semoga kau kuat laluinya," kata Zul.

"Semoga Allah permudahkan segala pengorbanan hang. Percayalah apa yang hang lakukan hari ini one day hang akan rasa happy sebab hang sempat bahagiakan ibu hang. Jagalah dia sebaik mungkin. Jangan pernah terasa hati dengan kata-katanya. Aku dah laluinya," kata Nurul Atiqah.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain