suria

Ditinggalkan ibu sejak lahir 3 tahun lalu, kini Iman bersama bapa bertahan tinggal di pondok kawalan… hanya mahu peti ais mini - “Ramai saya dah bantu, ini paling sedih”

Edy sebak melihat kehidupan pakcik Abdul dan anaknya yang menumpang teduh di pondok kawalan sejak dua tahun lalu.

KECIL, sempit dan serba daif. Begitulah keadaan tempat tinggal dua beranak yang dihuni sejak dua tahun lalu.

Disebabkan kesempitan hidup, Abdul Saratim dan anaknya yang hanya dikenali sebagai Iman terpaksa tinggal di pondok kawalan dekat kilang tempat dia bekerja di Inanam, Sabah.

Kesengsaraan hidup dihadapi dua beranak itu mendapat perhatian Adrian Edy Siaw Chee Hua, anak muda kelahiran Papar, Sabah yang aktif membantu golongan susah yang terkesan akibat Covid-19 di negeri itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ebit Lew beri inspirasi, pemuda terus set up food bank di Sabah... 30 minit barang dah habis - “Seterusnya bank alat tulis”

ARTIKEL BERKAITAN: “Ramai dah tiada kerja, bayi minum air suam, air gula” - Tak sanggup lihat penderitaan, guru jadi sukarelawan... tersentuh dapat sesuatu yang ‘mahal’

Mesra disapa Edy, pemuda berusia 24 tahun itu mengakui sebak sebaik berkunjung ke pondok kawalan yang didiami bapa dan anak berusia tiga tahun itu.



Edy membelikan kipas angin, tilam dan peti sejuk mini untuk kegunaan dua beranak itu.

"Masa sampai saya rasa kasihan sebab tak sangka ada lagi penduduk tempatan yang masih tinggal di pondok kawalan zaman sekarang ni.

"Ruang tempat mereka tinggal tu memang kecil, sempit dan tidak teratur. Di situlah tempat masak, dekat situ jugalah mereka tidur dan jemur pakaian.

"Saya tengok tilam pun tak ada cuma ada tikar kecil, kipas pun dah patah. Mereka kata hanya tidur beralaskan tikar kecil tu," katanya kepada mStar.

Menurut Edy, Abdul Saratim atau lebih mesra dipanggil Pakcik Abdul minta dibelikan peti sejuk mini untuk kegunaan mereka dua beranak.

"Saya tunaikan permintaan dia kerana simpati dengan nasib mereka. Lagipun dia kata membazir makanan sebab kalau beli ikan atau ayam memang tak boleh simpan lama.

"Nak tak nak kena masak semua. Kalau tak, esok memang tak boleh makan dah sebab dah busuk. Nampaklah pakcik tu struggle dengan kehidupan dia," katanya.



Edy tidak menyangka ada lagi penduduk setempat yang tinggal dalam pondok kawalan pada zaman sekarang.

Malah kata Edy, Pakcik Abdul terpaksa bekerja syif malam sebagai pengawal keselamatan di kilang tersebut demi keselamatan anaknya yang masih kecil.

"Dia kata terpaksa kerja syif malam sebab kalau siang banyak lori keluar masuk, jadi anak dia takut. Lagipun dia risau tentang keselamatan anaknya.

"Iman memang tinggal dengan bapanya selepas ditinggalkan ibunya sebaik dilahirkan. Dalam ramai-ramai orang yang pernah saya bantu, kisah ini paling menyedihkan.

Ruang tempat mereka tinggal tu memang kecil, sempit dan tidak teratur. Di situlah tempat masak, dekat situ jugalah mereka tidur dan jemur pakaian.

ADRIAN EDY SIAW CHEE HUA

Aktivis masyarakat

"Bila dapat bantuan tu Pakcik Abdul tak henti-henti bersyukur. Dia terharu sebab ada orang yang sudi bantu mereka selepas dua tahun hidup serba kekurangan," katanya.

Pada masa sama, Edy turut menghadiahkan patung dinosaur kepada anak Pakcik Abdul untuk bermain.

"Yang buat saya sedih Iman suka sangat patung dinosaur yang saya belikan. Kebetulan Pakcik Abdul beritahu Iman memang dah lama nak patung tu.



Edy menghadiahkan patung dinosaur kepada Iman.

"Saya tak tahu pula dia suka patung tu, saya saja bagi untuk ceriakan dia. Seronok tengok dia happy," katanya.

Tambah Edy lagi, dua beranak itu masih mahu terus tinggal di situ kerana kekangan kewangan.

"Dia cakap nak tinggal situ dulu. Kalau ada rezeki lebih barulah nak cari rumah lain.

"Lagipun dia tengah kumpul wang untuk sekolahkan anak tahun hadapan," katanya.

Sebelum ini mStar melaporkan, Edy mewujudkan dua bank makanan masing-masing dekat Kampung Pomotodon (Inanam) dan Kampung Tambungan (Menggatal) untuk membantu golongan tidak berkemampuan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Bank makanan itu dibuka kepada penduduk di daerah itu sejak 20 September lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain