suria

Jangan pandang rendah hartanah buruk! Ramai terpana tengok transformasi rumah kos rendah lama selepas ‘bikin’ - “Barang hiasan banyak beli di kedai serbaguna”

Transformasi kediaman Diana dan Ridzuan yang memukau mata netizen selepas dikongsikan di media sosial. Foto: Diana Zaini

SIAPA sangka, kediaman lama jenis kos rendah ini mampu berubah wajah seperti sebuah kediaman yang baharu dan memukau mata!

Menerusi perkongsian di laman Facebook, pemiliknya turut memuat naik gambar kediamannya yang lama berserta gambar selepas melalui proses 'transformasi' sebagai perbandingan.

Apa yang boleh dikatakan, setiap penjuru rumah tersebut berubah 100 peratus selepas ditatarias dengan dekorasi mengikut cita rasa pemiliknya, Ridzuan Samsudin dan isteri, Khairul Diana Mohd Zaini.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah pusaka lama ditinggalkan kini berubah wajah, semua ini jadi realiti kerana hasrat ibu mentua

ARTIKEL BERKAITAN: Luar flat buruk, dalam ‘feel’ kondo! Wanita berjaya buktikan bukan rumah besar je boleh dihias cantik - “Jangan rasa down walau rumah tidak gah”

Berkongsi cerita dengan mStar, Khairul Diana atau senang disapa Diana berkata, rumah yang dibeli bersama suaminya pada penghujung tahun lalu itu adalah rumah 'subsale' atau hartanah terpakai jenis kos rendah yang mempunyai tiga bilik.

Menurut wanita berusia 37 tahun ini, sebaik sahaja mendapat kunci pada Disember 2019, dia dan suami sepakat untuk mengubahsuai kediaman yang terletak di Seberang Perai Utara itu dan memilih konsep 'moden minimalis'.



Pemandangan daripada bahagian hadapan rumah keluarga Diana dan Ridzuan.

"Idea dekorasi moden minimalis ini dicetuskan oleh saya selepas melihat dekorasi ilham daripada beberapa pereka hiasan dalaman terkenal, serta majalah hiasan dalaman.

"Konsep ini sesuai kerana saya gemar perabot yang minimal, sesuai juga dengan keluarga kami yang masih ada anak kecil.... jadi ruangan tak boleh padat. Biar ada ruangan untuk anak bermain.

"Idea ini diutarakan kepada suami supaya kami sama-sama dapat berbincang dan bertukar pendapat terutama pemilihan perabot, cat, hiasan, pencahayaan dan sebagainya," ceritanya.



Bahagian dapur yang turut diubahsuai, sekaligus menampilkan suasana yang berbeza.

Bercerita lebih lanjut, Diana berkata rumah tersebut dibeli pada harga RM110,000 dan keseluruhan proses ubah suai mengambil masa lebih sebulan dan menelan kos sehingga RM71,000 termasuk perabot baharu.

"Bila dapat kunci, kami terus upah tukang. Proses renovasi bermula penghujung bulan Disember 2019 dan siap pada penghujung Januari lalu. Bulan Februari, kami dah boleh masuk.

Mungkin ada yang kata rumah kecil atau dah lama tak cantik atau tak berbaloi untuk diubahsuai. Tapi bagi kami, rumah adalah syurga.

KHAIRUL DIANA MOHD ZAINI

PEMILIK RUMAH

"Tapi perabot bukan semuanya baharu, banyak kami gunakan perabot lama yang diubahsuai. Contohnya tukar sarung kerusi, pasang kertas dinding dan lain-lain.

"Barang-barang hiasan pun banyak beli daripada kedai serbaguna 'Eco'. Bagi saya, tak perlu semua baharu dan mewah. Kita kena pandai sesuaikan. Yang murah pun boleh nampak mahal. Saya juga suka survey dan buat perbandingan harga, kemudian baru beli," kata ibu kepada tiga orang cahaya mata ini.



Meja makan lama yang diberi nafas baharu.

Bercerita lebih lanjut, Diana berkata mereka yang sebelum ini tinggal di Padang Serai, Kedah memilih untuk membeli kediaman yang sudah berusia 11 tahun itu kerana mahu menetap dekat dengan kedua-dua orang tua yang sudah lanjut usia.

"Mungkin ada yang kata rumah kecil atau dah lama tak cantik atau tak berbaloi untuk diubahsuai. Tapi bagi kami, rumah adalah syurga. Kecil atau besar bukan ukurannya. Selagi minat dan ada kemahuan, isu keluasan, lama atau baharu bukan alasan.



Diana dan suami, Rizuan sepakat memilih konsep moden minimalis untuk kediaman baharu mereka. (Kanan) Anak-anak Diana dan Ridzuan.

"Bagi yang mahu ubah suai, saya cadangkan supaya rancang terlebih dahulu terutama dari segi kos dan konsep. Apa yang paling penting, ikut kemampuan masing-masing.

"Walau hanya ada karpet atau tikar getah, tetap boleh dekorasi dengan ikut bajet masing-masing. Kena rajin survey. Pokok pangkal, ia adalah syurga kita dan kita mesti nak buat sehabis baik untuk kediaman kita sendiri," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain