suria

Dikeji ketika live FB, pasangan Instafamous Malaysia-Korea buat laporan polis – “Tak sangka bila kami pulang ke sini, dia alami perkara sama”

Ryzal (kanan) membuat laporan polis berhubung komen negatif yang dilemparkan netizen. foto ihsan Ryzal Ibrahim

GEMPAR apabila pasangan Instafamous yang merupakan suami-isteri Malaysia dan Korea Selatan membuat laporan polis terhadap seorang netizen.

Semuanya selepas netizen berkenaan didakwa mengeluarkan komen berbaur negatif ketika pasangan yang popular dengan gelaran 'duriankimchi', Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim dan Maryam You Narae membuat video penstriman secara langsung di laman Facebook.

Susulan komen negatif yang ditujukan kepada dirinya, Maryam menerusi laman Instagram meluahkan kesedihan yang dirasainya dengan memuat naik video dirinya sedang menyediakan kopi.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita Korea Maryam You Narae buka cerita mengapa jatuh cinta dengan lelaki Melayu - "Senyuman dia comel, he is mine!"

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan Malaysia-Korea tahan mengidam nasi kerabu, dapat banyak baju raya sponsor tapi tak sampai pula - "Ramai excited tunggu majlis kahwin kami"

"Saya sedih kerana terdapat perkara negatif yang dilemparkan kepada saya. Saya faham apa yang dirasakan Sulli sebelum ini.

"Bagaimanapun, saya cuba untuk mencari kegembiraan untuk hari ini bagi mengatasi rasa sedih yang dirasai. Sesiapa yang sedang bad mood, bagaimana anda mencari kegembiraan anda sendiri?" tulisnya.



Luahan Maryam yang mengaitkan kes kematian bintang K-Pop, Sulli.

Maryam berkata demikian merujuk kepada Sulli, seorang bintang K-Pop popular yang sering menjadi sasaran pembuli siber sehingga mengakibatkan dia mengalami kemurungan.

Sulli atau nama sebenarnya Choi Jin-ri, ditemui mati di kediamannya di pinggir bandar Seoul, Korea Selatan, pada Oktober 2019.

Bercakap kepada mStar, Nik Muhammad Ryzal, 28, berkata, dia dan isteri telah membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati di Ampang, Selangor, lewat petang Jumaat.

Lebih dikenali sebagai Ryzal, komen berbaur negatif dan mengeji itu dikeluarkan oleh netizen di ruangan komen ketika mereka bersiaran secara langsung pada 10 November.

"Namun, komen tersebut hanya dibaca Maryam pada 12 November dan menimbulkan rasa kurang senang dalam dirinya sehingga dia mendiamkan diri kerana bersedih.

"Dengan saya pun dia tidak bercakap selama beberapa jam kerana amat terkesan dengan komen negatif yang dilemparkan oleh netizen berkenaan," katanya ketika dihubungi, Sabtu.



Komen-komen negatif yang dilemparkan netizen.

Ryzal yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, dia begitu bimbang dengan keadaan isterinya yang berusia 28 tahun itu kerana dia pernah mengalami masalah depresi sebelum ini.

"Maryam pernah mengalami depresi dan kemurungan sebelum ini semasa di Korea Selatan. Tak sangka pula bila kami pulang ke Malaysia, dia alami perkara yang sama akibat buli siber.

Walaupun kami sering dengan perwatakan ceria dan kelakar di laman sosial, tapi kami juga manusia yang mempunyai hati dan perasaan

NIK MUHAMMAD RYZAL NIK IBRAHIM

"Sebagai suami, saya bimbang dengan keadaan dia yang dilanda kemurungan. Dia bukan sahaja enggan bercakap dengan saya, malah tidak mahu makan selama beberapa jam.

"Jadi, saya risau keadaan kesihatannya dan tidak mahu ia bertambah buruk yang boleh menyebabkan masalah depresinya berulang," katanya yang menetap di Korea Selatan bersama isteri tetapi pulang ke tanah air, baru-baru ini.



Ryzal (kanan) bimbang keadaan isterinya, Maryam (kanan).

Susulan laporan polis itu, Ryzal meminta semua pihak supaya menjaga tutur kata terutama di media sosial supaya tidak menyentuh sensitiviti dan menyinggung perasaan orang lain.

"Walaupun kami sering muncul dengan perwatakan ceria dan kelakar di laman sosial, tapi kami juga manusia yang mempunyai hati dan perasaan.

"Saya telah berbincang dan mendapatkan nasihat guaman, yang mana kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat komen berkenaan mahupun mereka yang lain sekiranya keadaan memudaratkan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain