suria

Luar flat buruk, dalam ‘feel’ kondo! Wanita berjaya buktikan bukan rumah besar je boleh dihias cantik - “Jangan rasa down walau rumah tidak gah”

Kediaman milik wanita ini bersama suaminya menjadi tular gara-gara dekorasi yang memukau mata.

BENAR kata pepatah, jangan menilai sesuatu hanya daripada luarannya sahaja.

Beberapa keping gambar tular di media sosial yang menunjukkan perbezaan bahagian luar dan dalaman sebuah kediaman baru-baru ini, membuktikan kebenaran pepatah tersebut.

Siapa sangka, di sebalik sebuah flat lama yang cat bangunannya sudah lapuk, tersembunyi sebuah kediaman indah yang memukau mata sesiapa yang memandang.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah pusaka lama ditinggalkan kini berubah wajah, semua ini jadi realiti kerana hasrat ibu mentua

ARTIKEL BERKAITAN: Bilik cantik sangat, tak fasal-fasal kena jadi ‘konsultan tak bertauliah’ - “Artis pun DM tanya pendapat, boleh jadi kawan pula”

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, pemiliknya Marlia Ramli berkata, perkongsian yang dibuat menerusi Facebook itu bertujuan untuk memberikan inspirasi kepada orang lain agar memanfaatkan ruang, tanpa mengira jenis kediaman masing-masing.

"Mesej kepada perkongsian ini, kita jangan memandang sesuatu seolah ia tiada nilai. Saya tak mahu orang masih beranggapan bahawa rumah yang cantik mestilah rumah besar.

"Kadang-kadang, tak semestinya rumah besar itu mempunyai interior yang cantik. Jadi apa pun jenis kediaman kita, hargai ruang yang ada.



Pemandangan dari luar persekitaran rumah flat yang didiami oleh Marlia dan keluarganya.

"Jangan kita merasa down walaupun rumah tidak gah. Kalau kita tak hargai, sampai bila-bila pun takkan improve.

"Lagi satu, saya kurang bersetuju dengan ayat 'kalau ada duit, semua boleh jalan'. Saya sendiri tiada one-shot budget, semuanya dilakukan secara beransur-ansur. Yang penting di mana ada kemahuan, di situ ada jalan," ujarnya.

Wanita berusia 34 tahun ini menggunakan pengalamannya yang sudah berkhidmat dalam bidang hiasan dalaman sejak lapan tahun lalu dalam menata rias kediaman kecilnya bersama suami itu.



Salah satu sudut rumah Marlia sebelum diubahsuai.



Menurut wanita ini yang juga pengasas sebuah syarikat hiasan dalaman, AD Studio, idea rumah idaman tersebut berjaya direalisasikan hasil perbincangan bersama suami, Mohd Asri.

"Alhamdulillah, pengalaman yang ada ketika berkhidmat untuk kediaman pelanggan, saya terapkan pula untuk kediaman sendiri. Suami saya juga dalam aliran hiasan dalaman, jadi kami sering bertukar-tukar pendapat.

"Ada beberapa perkara yang kami buat sendiri sahaja... cuma yang major atau yang bukan kepakaran, kena panggil specialist juga.



Marlia dan suaminya berganding bahu memerah idea demi merealisasikan kediaman impian.

"Tapi bagi yang berhasrat nak menghias rumah masing-masing, mereka kena tahu apa yang boleh buat sendiri (DIY) dan apa yang tak boleh. Takut nanti kalau pandai-pandai, lain pula jadinya," katanya memberikan tip dalam menata rias kediaman.

Bercerita serba sedikit mengenai kediamannya itu, Marlia berkata flat tersebut pada asalnya dimiliki oleh bapa mentuanya.

Saya kurang bersetuju dengan ayat 'kalau ada duit, semua boleh jalan'. Saya sendiri tiada one-shot budget, semuanya dilakukan secara beransur-ansur.

MARLIA RAMLI

"Pada awal perkahwinan, seperti pasangan muda yang lain, kami tidak mempunyai aset kediaman. Jadi bapa mentua beri rumah yang terletak di Taman Kobena, Cheras ini kepada kami.

"Dia sayang nak lepaskan kepada orang lain. Jadi kami ambil tanggungjawab itu dan menjaga rumah ini sebaik yang mungkin," ujarnya.

Mula duduk di flat tersebut pada 2012, Marlia berkata proses untuk mentransformasikan kediamannya itu hanya bermula sekitar 2015.



Marlia mengaplikasikan pengalamannya sebagai pereka hiasan dalaman dalam menata rias kediaman bersama suami.

"Ketika itu saya dan suami hanya mula dengan dekorasi sahaja. Pada 2017, saya dan suami buat keputusan untuk melakukan perubahan secara total. Pada awal 2019, maka bermulalah journey untuk transformasikan kediaman ini.

"Ia dilakukan beransur-ansur, dan bukan sekali harung. Ini kerana kami tiada one-shot budget, di samping ada kekangan masa juga," ujar ibu kepada seorang cahaya mata ini.



Marlia berkecimpung dalam bidang hiasan dalaman sejak lapan tahun lalu.

Tidak menyangka posting tersebut menjadi tular, Marlia gembira mesejnya 'sampai' kepada warga maya selain mengharapkan agar perkongsiannya dijadikan sebagai satu inspirasi dan motivasi dalam merealisasikan kediaman impian masing-masing.

"Usaha dan kerja keras untuk memiliki. Yang buruk bukan untuk dihina-hina, yang cantik belum tentu elok isinya. Impian adalah satu motivasi untuk menjadi lebih baik," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain