suria

Baru tamat probation, graduan UiTM tak sangka diberi task hasilkan lakaran 12 haiwan terancam... pencapaian tertinggi diletak di papan iklan KLCC! - “Ibu paling gembira...”

Muaz di samping hasil kerja tangannya yang gah terpampang di KLCC Snokels.

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Begitulah peribahasa yang sesuai bagi menggambarkan pencapaian pemuda ini apabila hasil kerja tangannya terpampang gah di salah satu kawasan tarikan pelancong.

Bukan satu atau dua, malah pemuda ini menghasilkan 12 ilustrasi grafik yang memaparkan visual haiwan-haiwan yang diancam kepupusan di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bertuah abang polis... Gambar pokok kelapa disiar di Instagram Apple, Terengganu kini di mata dunia!

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Tibai’ kain pelikat kawan, model entah siapa-siapa... pemuda tak sangka foto street fashion pernah dipadamnya dulu sebenarnya luar biasa!

Kesemuanya visual haiwan seperti gajah, tapir, harimau, orang utan, burung merak dan sebagainya dipaparkan di papan iklan di lokasi ikonik negara iaitu berhampiran Menara Berkembar Kuala Kumpur (KLCC) atau KLCC Snokels.

Apa yang membanggakan, pemuda ini diberi kepercayaan oleh sebuah syarikat pengiklanan, Big Tree Outdoor, untuk menjadi sebahagian daripada 'orang penting' projek tersebut walaupun baharu sahaja menyertai syarikat berkenaan pada awal tahun lalu.



Muaz berzama salah satu lakaran hasil tangannya yang dipaparkan di KLCC Snokels.

Terdahulu, pemuda ini berkongsi klip video yang memaparkan papan iklan hasil kerja tangannya di Twitter.

Perkongsian yang meraih sehingga lebih 6,000 retweet itu turut dibanjiri dengan ucapan tahniah daripada netizen yang turut sama berkongsi kegembiraan pemuda berkenaan.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, pemuda bernama Muaz Zainuddin itu berkata, dia diberi tanggungjawab sebagai pereka grafik dalam pasukan pemasaran syarikatnya untuk projek berkenaan.



Deretan lakaran ilustrasi grafik haiwan terancam yang dihasilkan Muaz terpampang di salah satu kawasan tarikan pelancong di negara ini.

"Idea projek ini datang daripada Pengurus Besar, Nismanita Zulkifli. Seperti yang kita tahu, sekarang ini rata-rata orang bercakap mengenai wabak Covid-19. Jadi beliau keluarkan idea ini, di mana isu kepupusan haiwan juga merupakan antara perkara yang perlu diberi perhatian.

"Team kami berbincang bagaimana nak sampaikan idea itu untuk dipaparkan di papan iklan di KLCC dengan konsep pop-art, dengan warna-warna yang terang untuk digunakan.

"Saya ditugaskan untuk menyampaikan idea dalam bentuk visual. Ia merangkumi tanggungjawab untuk melakar dan buat ilustrasi grafik untuk kesemua 12 haiwan berkenaan.

"Sementara itu, rakan sepasukan, Jim Yusuff Jasmy pula ditugaskan untuk buat copywriting dan penyelidikan tentang haiwan-haiwan berkenaan. Ini kerana di papan iklan itu ada QR code, bila pengunjung scan (imbas), akan keluar informasi mengenai haiwan-haiwan ini," ujar lelaki yang senang disapa sebagai Muaz ini.



Penyu belimbing turut tergolong sebagai salah satu haiwan terancam di negara ini.

Tambahnya, projek ini adalah salah satu kempen untuk menyebarkan kesedaran kepada orang ramai mengenai hidupan terancam di negara ini.

Bercerita lebih lanjut, Muaz yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Fotografi dari UiTM berkata, dia sama sekali tidak menyangka diberi peluang memandangkan merasakan dirinya masih 'mentah' di dalam syarikat berkenaan.

"Saya mulakan kerjaya di syarikat itu pada Februari lalu, sebulan selepas tamatkan pengajian. Tempoh percubaan saya tamat pada Julai lalu. Terharu dan tidak percaya rasanya diberi kepercayaan dan peluang untuk menjadi sebahagian daripada pasukan projek ini.

"Sebelum ini saya merupakan pereka grafik secara kecil-kecilan, syukur dengan peluang yang diberikan ini, secara tak langsung ia boleh menjadi satu batu loncatan untuk saya kembangkan lagi bakat.

Sepanjang menyiapkan lakaran ini, perasaan saya bercampur baur... ada juga rasa tertekan, namun kebanyakannya saya enjoy.

MUAZ ZAINUDDIN

PEREKA GRAFIK

"Inilah hasil seni pertama yang menjadi pencapaian tertinggi saya setakat ini. Tiada apa yang mampu diucapkan selain syukur Alhamdulillah. Ini semua takkan berlaku tanpa sokongan orang sekeliling terutama ibu bapa," kata pemuda berusia 24 tahun ini.

Bercerita mengenai proses sepanjang penghasilan ilustrasi berkenaan, Muaz berkata dia mengambil masa lebih daripada sebulan untuk menyiapkan kesemua 12 lakaran haiwan-haiwan berkenaan.

"Lakaran seekor haiwan mengambil masa di antara dua hingga tiga hari. Haiwan yang paling susah adalah burung merak sebab ia memerlukan ketelitian yang lebih.



Pengunjung atau orang awam boleh mengetahui iinformasi mengenai sesuatu haiwan dengan mengimbas (scan) kod QR yang disediakan.

"Sepanjang menyiapkan lakaran ini, perasaan saya bercampur baur... ada juga rasa tertekan, namun kebanyakannya saya enjoy. Ada masanya saya rasa tak sabar nak siapkan sebab nak lihat hasilnya di papan iklan.

"Saya selalu hubungi ibu dan bercerita mengenai setiap progress yang dihasilkan. Dialah orang yang gembira bila lihat hasilnya.

"Nampak macam mudah dan ringkas tapi projek ini merupakan proses yang panjang sebab terlibat dengan copywriting dan sebagainya kerana kita nak sampaikan mesej yang tepat kepada orang ramai," kata pemuda berasal dari Kuala Terengganu ini.



Muaz bersama hasil fotografinya sempena tugasan tahun akhir di UiTM Puncak Perdana.

Dalam pada itu, Muaz turut menzahirkan rasa terharu dengan sokongan dan ucapan yang dititipkan netizen terhadap perkongsiannya.

"Saya masih tak sempat nak balas semua. Memang saya banyak terima mesej di DM. Ramai yang ucapkan tahniah. Ada juga pelajar sekolah yang DM dan tanya pasal bidang seni ni.

"Saya rasa terharu dan ini secara tak langsung membuka mata ramai bahawa bidang seni ini bukanlah bidang yang tak boleh cari makan. Bagi yang minat bidang seni, teruskan saja. Pada yang ucapkan tahniah dan share juga di media sosial masing-masing, saya ucapkan terima kasih tak terhingga," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain