suria

Dihulur lauk ketam busuk, ‘terbang’ RM100... peniaga seafood beri respons mengejutkan sehingga mampu ‘ikat’ pelanggan - “Ini keputusan dari hati”

Seorang peguam berkongsi kisah mengenai keikhlasan hati seorang peniaga makanan laut menerusi pengalaman rakannya.

TIDAK dapat dinafikan, segelintir peniaga lebih memikirkan keuntungan berbanding perkara-perkara kecil yang boleh mengundang keberkatan dalam perniagaan mereka.

Namun begitu, masih wujud golongan peniaga yang benar-benar ikhlas dan tidak berpaksikan keuntungan semata-mata, sebagaimana kisah yang dikongsikan oleh seorang peguam ini.

Menerusi coretan di Facebook, peguam Nor Zabetha Muhamad Nor berkongsi kisah yang dialami oleh seorang rakannya yang menghantar mesej bermakna dan 'membuka mata' mengenai keberkatan dalam perniagaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Peguam kongsi senario tak patut berlaku selepas kematian, kubur masih merah dah berebut harta - “Mereka pilih taat isu faraid, tidak bahagian lain”

ARTIKEL BERKAITAN: Peguam ‘angin’ tengok influencer hamun makcik, risau tindakan maki orang lain dianggap hebat - “Berhenti popularkan mereka ni”

"Kawan saya ini, selalu sebut-sebut pasal seorang penjual makanan laut mentah. Setiap kali pasti dia membeli bekalan makanan laut di sana. Dia sudah menjadi pelanggan setia kerana harga yang berpatutan dan paling utama kerana satu kisah ini.

"Kawan saya ini membeli ketam dengan harga RM90 untuk ahli keluarganya dari peniaga ini. Selepas dia masak, dia merasakan ketam itu seperti ada sedikit bau dan tidak segar. Jadi dia ingin adukan kepada peniaga berkenaan ketam tu tetapi ketam telah pun dimasak.

"Jadi, dia bawa sebekas lauk yang telah dimasak tersebut. Dibungkus baik-baik dan dibawa kepada peniaga. Dia jelaskan kepada peniaga bahawa dia beli ketam pada peniaga ini. Waktu itu dia bukanlah 'regular customer' lagi.

"Kata kawan saya ini, ketam yang dibeli ada sedikit bau dan tidak segar Kalau encik tidak percaya, ini buktinya. Saya bawakan sebekas. Encik boleh rasa. Jawab sahabat saya jujur," tulisnya mengimbas kembali kisah sebagaimana yang diceritakan rakannya itu.

Siapa yang tidak kecewa apabila hidangan istimewa yang ingin disediakan buat suami dan keluarga 'dicemari' dengan bau yang kurang menyenangkan kerana keadaan ketam yang sudah tidak segar.



Sejak peristiwa ketam 'busuk' itu, rakan kepada Nor Zabetha menjadi pelanggan setia kepada peniaga berkenaan. (Gambar hiasan)

Pastilah para pembeli ingin menuntut kerugian tambahan pula wang yang sudah dilaburkan bukan dalam kuantiti yang kecil.

Bagaimanapun, maklum balas peniaga berkenaan sebaik sahaja sahabatnya mengadukan perkara tersebut, nyata mengejutkan dan sangat tidak disangka-sangka.

"Peniaga itu tanya berapa harga belian ketam tu waktu kawan saya beli. Kawan saya maklumkan RM90. Kemudian dia hulurkan RM100. Kawan saya ingin pulangkan baki.

"Peniaga itu melarang sebab katanya, puan masak ini perlu sediakan barang seperti bawang merah, bawang putih dan lain-lain. Baki RM10, itu saya gantikan bagi ramuan untuk lauk yang tidak boleh dimakan oleh ahli keluarga.



Nor Zabetha sering membuat ulasan mengenai hal semasa dan isu kekeluargaan daripada sudut perundangan.

"Sejak hari itu, kawan saya sentiasa membeli stok makanan dari peniaga ini. Tiadalah dia ke tempat yang lain. Malah dengan saya juga disarankan saya beli stok makanan lauk pada peniaga yang sama.

"Saya kagum dengan sikap peniaga ini. Bukan semua peniaga yang begini. Dia dengar, dia mengakui kesilapannya dan dia memikirnya tentang hal pelanggannya. Sifat yang hebat!" cerita Nor Zabetha.

Tambah peguam ini lagi, mereka yang bergelar ahli peniagaan tentu melakukan pelbagai usaha seperti pergi ke kelas-kelas untuk belajar ilmu perniagaan, namun begitu ada sesetengah perkara yang mungkin tidak dapat diperoleh daripada buku atau pun kelas, seperti kisah si peniaga ketam berkenaan.

"Keputusan untuk peniaga tadi berikan RM100, tanpa bertanya tentang resit, bertanya tentang tarikh dan masa pembelian. Tanpa mengira untung rugi. Dengan pantas dipulangkan RM100 mengambil kira kos lain yang tidak diminta oleh pembeli untuk tanggung. Ini keputusan dari hati.

"Saya memang percaya, dalam perniagaan ini perlu ada hal-hal begini kalau hendak mendapat keberkatan. Kalau hendak terus murah rezeki. Biar ikhlas. Insyallah murah rezeki," katanya lagi.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain