suria

Lelaki ini muncul on time bantu peniaga tunai hajat, biasa 50 biji tapi kali ini dapat sedekah 1,000 sushi dari pagi ke malam – “Sebak tengok kanak-kanak seronok, teringat arwah ayah”

(gambar kiri) Kisah Hafidz menjadi tular selepas menjual sushi RM1. (gambar kanan) Hafidz (kanan) bersama seorang lelaki berbangsa Cina yang memberikan sumbangan RM1,000 untuk tujuan sedekah.

SETIAP perkara yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.

Seorang pemuda menjual sushi berharga hanya RM1 sebiji, dan bersedekah sebanyak 50 biji sushi daripada sebahagian jualannya kepada golongan asnaf, setiap Jumaat.

Berniaga secara bergerak menjadikan but kereta miliknya di Kuala Lumpur, kisahnya menjadi tular di media sosial sejak minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tawar sushi RM1, niat bapa 2 anak sedekah 50 biji tiap Jumaat bawa rezeki berganda - "Satu hari nak buka but kereta bukan jual sushi, tapi beri percuma"

ARTIKEL BERKAITAN: Setiap tahun wanita India ini tak pernah 'missed' datang surau,"Dia sedekah, hantar borang minta buat tahlil..."

Menerusi perkongsian bersama mStar pada Isnin lalu, dia meluahkan hasrat untuk tidak menjual sushi selama sehari, sebaliknya memberikannya secara percuma dengan niat untuk bersedekah.



Antara sushi yang dijual dan disedekahkan.

Namun, siapa sangka, niat murninya itu dimakbulkan apabila berpeluang melakukannya pada Jumaat (30 Oktober), bukan 50 biji tetapi 1,000 sushi yang disedekahkan!

Berkongsi berita gembira itu, pemuda berkenaan, Said Muhammad Hafidz Adhha Said Umar berkata, dia tidak menyangka hasratnya itu mendapat perhatian ramai.

"Saya ada cakap mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk turut menyumbang, dengan harapan supaya sumbangan itu dapat dilakukan dengan jumlah yang lebih besar.

"Rabu lalu, saya dihubungi seorang lelaki yang mahu menyumbangkan sebanyak RM1,000 untuk turut membantu golongan susah," kata pemuda berusia 25 tahun itu kepada mStar.



Hafidz membuat persiapan untuk menyalurkan sushi secara percuma.

Lebih mesra disapa Hafidz, katanya, lelaki budiman itu berbangsa Cina yang juga menyalurkan 50 biji sushi untuk diberikan kepada sekumpulan pengawal keselamatan yang bertugas di kondominium di kediamannya di Kuala Lumpur.

"Saya memang terharu walaupun dia bukan Muslim, tetapi mahu turut membantu memberi sedekah kepada orang-orang susah untuk menikmati sushi seperti masyarakat lain.

"Dia beritahu sebagai rakyat Malaysia, kita semua tanpa mengira bangsa dan agama perlu membantu antara satu sama lain. Kita darah semua sama, darah merah," katanya.



Antara penerima pelbagai bangsa dan agama menerima sumbangan sushi.

Bapa dua anak itu juga memperuntukkan sebanyak 50 biji sushi daripada bahagiannya untuk menyalurkannya kepada golongan yang memerlukan di sekitar Lembah Klang pada Jumaat.

"Tolak 50 biji sushi untuk pengawal keselamatan, dan ditambah dengan 50 biji yang saya memang niat untuk sedekah setiap Jumaat menjadikannya keseluruhan 1,000 biji.

"Antara penerima sumbangan sushi ini adalah keluarga asnaf, masyarakat Orang Asli dan mereka yang berpendapatan rendah tanpa mengira bangsa dan agama," ujarnya.

Dia beritahu sebagai rakyat Malaysia, kita semua tanpa mengira bangsa dan agama perlu membantu antara satu sama lain. Kita darah semua sama, darah merah

SAID MUHAMMAD HAFIDZ ADHHA SAID UMAR

Bermula dari pukul 10 pagi, Hafidz dan beberapa temannya bersama-sama mengagihkan sumbangan sushi itu secara berasingan di beberapa kawasan sehingga 9.30 malam.

Walaupun menghabiskan masa hampir separuh hari dari satu lokasi ke lokasi lain, Hafidz yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu menyifatkan tugasan tersebut amat berbaloi.



Kenangan... (dari kanan) Hafidz dan arwah bapa bersama ibu, isteri dan salah seorang anaknya.

Anak keempat daripada lima beradik itu turut mengimbau kembali kenangannya bersama arwah bapa yang meninggal dunia pada usia 60 tahun akibat serangan jantung, tahun lalu.

"Penat saya hilang bila tengok kegembiraan yang dapat digambarkan pada wajah-wajah mereka yang menerima sumbangan sushi.

"Rasa sebak melihat mereka kanak-kanak yang seronok mendapat sushi, teringat arwah ayah yang bekerja sebagai pemotong ayam di sebuah pasar raya bawa pulang ayam goreng selepas habis kerja.

"Saya bukanlah daripada keluarga yang senang. Niat saya bersedekah juga adalah bagi pihak arwah ayah yang mendidik saya untuk menjadi seorang anak yang mengenal erti syukur dan berkongsi rezeki dengan yang lain," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p


Artikel Lain