suria

Anak cari duit lebih di YouTube, ibu suka membebel yang dapat ramai peminat... suami jadi penyokong tegar - “Ayah suka tengok mak, banyak kali dia ulang”

Selain YouTube, Sarah turut berkongsi sedutan video bersama ibunnya menerusi aplikasi TikTok.

ENGGAN melepaskan peluang yang ada di depan mata, seorang pelajar nekad menjadi YouTuber bagi mencari pendapatan sampingan.

Bermula dengan video ulasan kes-kes jenayah dalam dan luar negara, saluran YouTube milik Siti Sarah Padzil, 24, kini diwarnai pula dengan video celoteh ibunya, Kalsom Hashim.

Mesra disapa Sarah, dia mengakui ibunya yang kini berusia 66 tahun meraih peminat tersendiri dengan video bebelan selamba yang turut diselitkan dengan nasihat berguna.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita 10 anak cuba nasib jadi YouTuber pada usia 50 tahun... ada kisah pilu di sebalik pemilihan nama ‘Bonda Sebelas’

ARTIKEL BERKAITAN: Bermula dengan sebuah kuali baharu, makcik umur 61 tahun kini jadi Youtuber... anak dedah “setiap komen dia baca”

Selain YouTube, dia turut berkongsi sedutan pendek video melibatkan ibunya di aplikasi TikTok sehingga ia meraih perhatian ramai.

"Saya mula berjinak-jinak dengan YouTube sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara kita.

"Saya nak cari duit lebih. Alhamdulillah, dalam beberapa bulan, saya dah mengumpul sekitar 34,000 subscribers.

Sarah mula menjadi YouTuber selepas PKP dilaksanakan di negara ini.

"Mula-mula video kes jenayah. Kemudian kawan saya kata, why not buat video pasal mak? Kawan-kawan suka mak saya.

"Mak dari dulu memang suka membebel. Selain membebel, dia juga banyak selitkan nasihat," ujarnya kepada mStar.

Jelas pelajar ijazah dalam bidang Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, dia sama sekali tidak menyangka ibunya akan meraih peminat tersendiri menerusi YouTube.

Ayah suka tengok video YouTube mak, banyak kali dia ulang.

SARAH

Malah, dia turut terharu apabila ramai yang mengirimkan doa buat ibunya menerusi ruangan komen di YouTube.

"Mak saya dah tua. Jadi video di YouTube tu saya boleh simpan sebagai kenangan. Ramai yang doakan mak, saya rasa terharu.

"Lebih sedih, ada yang kata teringat arwah mak mereka selepas tengok video saya.

"Saya juga buat video YouTube dengan mak untuk gembirakan ayah. Ayah saya Orang Kelainan Upaya (OKU), ada masalah pendengaran.

Foto kenangan Sarah bersama ibu bapanya sewaktu graduasi diploma suatu masa lalu.

"Ayah suka tengok video YouTube mak, banyak kali dia ulang," ujarnya dalam nada berseloroh.

Menerusi video tular itu, ibu Sarah dirakam sedang membebel dengan celoteh tersendiri yang menghiburkan ramai sewaktu berada di dalam kereta dan pasar raya.

Malah kata Sarah, dia merancang untuk menghasilkan banyak lagi video bersama ibunya pada masa akan datang.

Sekiranya dimurahkan rezeki, dia juga merancang membawa ibu bapanya mengerjakan umrah ke Tanah Suci Makkah pada tahun depan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain