suria

Mesej wanita hamil anak sulung alami komplikasi buat doktor sentap, sanggup bawa ‘Mera Nam Hai Samhan’ ke wad - “Saya pernah lihat bayi, ibu meninggal dunia”

Dr Ahmad Samhan (gambar kecil) melawat seorang wanita hamil di wad bagi menyampaikan sesuatu.-foto wad/gambar hiasan/bilik203.blogspot

TUGAS seorang doktor bukan sekadar merawat dan mengubati, tetapi tanggungjawab mereka sebenarnya jauh lebih besar daripada itu.

Mungkin tidak ramai yang menyedarinya, tetapi tindakan mahupun kata-kata mereka membantu mengembalikan semangat yang hilang dalam diri pesakit.

Berkongsi pengalaman, Dr Ahmad Samhan Awang berkata, beliau menerima mesej daripada salah seorang pengikut di laman sosial beliau, beberapa hari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Semasa cucuk jarum doktor tak rasa apa pun, sampailah ada garam di wad bersalin... terbongkar kisah 'ulek mayang' pesakit - "Terbayang mata terbeliak, kain kuning di perut"

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor bingung pesakit tanya soalan cepu emas, tapi jawapan yang diberikan lebih sukar nak 'hadam' - "Ada orang lebih banyak pahala daripada saya"

"Beberapa hari lepas saya dapat mesej di Facebook, saya nak baca buku doktor tapi saya dalam wad. Saya nak sangat baca buku doktor sebelum bersalin.

"Tak apa. Saya boleh pos dan puan boleh baca ketika berpantang," tulis Dr Ahmad Samhan di halaman Facebook beliau.



Seorang wanita mengalami komplikasi kehamilan. -gambar hiasan

Namun, pendedahan pengikutnya mengenai status kehamilan amat mengejutkan doktor berusia 34 tahun itu.

Menurut Dr Ahmad Samhan, wanita berkenaan mengalami plasenta previa jenis empat atau komplikasi kehamilan di mana uri berada di bahagian bawah dan berisiko tinggi.

"Saya masuk wad sejak kandungan 35 minggu. Dah sebulan dalam wad. Saya plasenta previa jenis empat. Terharunya saya kalau dapat 'by hand'. Tersentap saya.

"Plasenta previa jenis empat atau uri menutup keseluruhan bukaan rahim. Risiko pendarahan sangat tinggi (semasa bersalin). Pembedahan perlu dibuat dengan sangat teliti kerana membahayakan ibu dan bayi.

"Saya sendiri pernah lihat bayi dan ibu meninggal dunia disebabkan pendarahan yang terlalu teruk," katanya yang berpengalaman bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Kuala Lumpur (HKL).



Dr Ahmad Samhan menyampaikan buku tulisannya kepada seorang wanita di wad. -foto facebook Ahmad Samhan

Pesakit itu memaklumkan bahawa dia memerlukan semangat berikutan akan menjalani pembedahan lusa iaitu dua hari lagi.

"Saya perlu semangat doktor. Lusa saya akan dibedah. Saya terus sebak. Sememangnya kehadiran buku ini adalah untuk merawat. Merawat semangat mereka yang hilang," katanya.

Plasenta previa jenis empat atau uri menutup keseluruhan bukaan rahim. Risiko pendarahan sangat tinggi

DR AHMAD SAMHAN

Dr Ahmad Samhan dan isteri menziarahi pesakit berkenaan di wad pada petang hari yang sama untuk menyerahkan sendiri buku tulisannya yang berjudul Mera Nam Hai Samhan.

"Ya Allah, doktor sanggup datang. Tak sangka doktor datang sendiri," kata pesakit itu dengan nada yang tersekat-sekat, terharu dengan kunjungan Dr Ahmad Samhan.

"Puan kena semangat ya. Ini kelahiran pertama puan. Ujian Allah buat puan. Saya hadiahkan pada puan dan bakal anak yang lahir. InsyaAllah semua akan selamat," ujar Dr Ahmad Samhan sambil menambah wanita berkenaan tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air matanya.



Dr Ahmad Samhan membuat persiapan untuk penghantaran buku-buku tulisannya. -foto facebook Ahmad Samhan

Menurut doktor itu, setiap manusia mempunyai ujian masing-masing dan mereka memerlukan semangat untuk terus cekal menghadapi ujian.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Samhan sekali lagi dikejutkan dengan mesej yang diterimanya mengenai wanita yang hamil itu.

"Keesokkan harinya saya dapat mesej. Alhamdulillah, saya dah selamat bersalin pagi ini. Patutnya esok.

"Mungkin baby pun tak sabar nak baca buku saya juga," kata Dr Ahmad Samhan secara berseloroh.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain